Senang buat kerabu pucuk paku letak kerang, keladi rawan dan taugeh ini. Resepi orang lama kampung Lenggong yang enak. Hidang makan tengahari tak cukup sepinggan. Ratah macam tu je pun dah sedap.
Kerabu pucuk paku ini pun sejenis ‘salad’ orang Melayu yang sangat popular bagi hidangan kampung. Sayuran perlu dicelur sekejap, santan atau isi kelapa perlu dimasak sekejap atas api. Proses ini penting untuk elakkan kerabu cepat basi.
Ini petua yang dikongsikan kakak ipar saya yang duduk di Lenggong. Belah Perak ini memang terkenal dengan kerabu kerang pucuk paku yang sedap. tempat makan paling saya suka untuk menikmati kerabu paku ini adalah di restoran Talam.
Resepi Kerabu Pucuk Paku Cara Orang Lama Lenggong
Durasi memasak : 20 minit
Bahan-bahan
- Seikat pucuk paku pakis – dicelur
- Seikat keladi rawan – dicelur
- Segenggam taugeh – dicelur
- 1 mangkuk kerang – direbus dan kopek kulitnya
- 4 biji bawang merah kecil – dihiris kasar
- 5 tangkai cili padi – ditumbuk
- 1 batang serai muda – dihiris dan ditumbuk
- Sedikit santan kotak / kelapa parut – disangai
- Sedikit ikan bilis / udang kering – disangai dan ditumbuk
- Sedikit belacan – dibakar
- 2 sudu besar kerisik
- Sedikit jus limau kasturi
- Gula, garam dan perasa (optional) secukupnya
Cara Buat Kerabu Pucuk Paku (Langkah Demi Langkah)
Penyediaan Sayuran
1. Sediakan sayuran kerabu dahulu. Bersihkan dan potong kecil (siang) pucuk paku pakis, keladi paku rawan dan tauge. Basuh dan celur sayuran dalam air panas yang dicampur sedikit garam. Dalam 3 minit macam tu, boleh angkat dan lalukan bawah air paip untuk mematikan proses yang boleh mematangkan sayuran. Kemudian toslah sayuran tadi.
2. Sementara itu, rebus kerang dalam periuk. Masukkan sedikit garam semasa merebus. Bila kerang dah terbuka, boleh tutup api. Bila dah sedikit sejuk bolehlah kopek kerang dan ambil isinya sahaja.
3. Kemudian, hiris kasar bawang merah kecil dan ketepikan.
Penyediaan Bahan Pes
4. Masukkan cili padi, serai muda, ikan bilis (yang dah disangai) dan belacan dalam lesung batu. Tumbuk sampai kesemua bahan menjadi pes yang halus.
5. Belacan ini optional. Kalau tak makan belacan tak perlu letak ya.
Siap Untuk Jadikan Kerabu Pucuk Paku
6. Satukan kesemua sayuran dan kerang dalam bekas yang besar. Kemudian, bolehlah panaskan santan kotak atas kuali. Kalau guna kelapa parut, sangai tanpa minyak kelapa parut tu sekejap. Kemudian tumbuk kelapa parut sangai tadi cukup sekadar menghaluskannya.
7. Tak perlu tumbuk terlalu lama bimbang jadi kerisik pula nanti.
8. Masukkan santan tadi dalam sayuran dan gaul sebati. Bolehlah masukkan kerisik (tak perlu ambil minyaknya). Perasakan dan perahkan jus limau kasturi.
Tip
- Jika tak suka pedas, boleh kurangkan cili. Kalau nak ada rasa pedas, boleh tambahkan cili padi.
- Tak mengapa jika tak masukkan belacan dalam kerabu. Sedapnya masih juga dapat dirasai.
- Kerabu sedap dimakan terus segar-segar. Kalau disimpan lama dalam peti sejuk rasanya dah tak sedap mana.
Petua Orang Lama Buat Resepi Kerabu Pucuk Paku Kerang
- Kerabu pucuk paku kerang yang simple ini boleh juga ditambah dengan sayuran lain seperti daun kesum ataupun bunga kantan.
- Kongsi kak ipar saya, tujuan memasak seketika santan, selain untuk mengelakkan lambat basi. Ia juga dapat mengelakkan anda yang makan kerabu tak mudah terkena sakit perut. Nak-nak khasiat pucuk paku ini antara ulam yang buat awet muda.
- Jika tiada udang kering, boleh juga gunakan ikan bilis untuk menjadi perasa tambahan. Sangai udang kering atau ikan bilis untuk menaikkan rasa dalam kerabu.
- Kerabu pucuk paku Kelantan menggunakan ikan rebus dalam kerabu. Sedikit berbeza dengan resepi kerabu pucuk paku utara.
- Elakkan merebus sayuran kampung terlalu lama, untuk elakkan jadi lembik dan berair.
- Belacan dibakar agar jadi lebih wangi dan enak berasa.
- Gunakan lesung batu sepanjang proses menumbuk untuk memberikan rasa original autentik pada kerabu anda.
Hidangan kerabu ini antara yang kami gemar sediakan bila balik ke kampung Lenggong. Sebab kakak ipar saya, kak Huda sememangnya cukup pandai membuat masakan Perak yang simple dan menyelerakan.