Rupanya mudah saja nak buat resepi kentang goreng rangup di rumah. Atau nama omputihnya, french fries. Kentang goreng enak dimakan bersama burger homemade ataupun sup krim cendawan.
Secara asasnya, dengan peralatan dapur sendiri yang basic itu pun boleh dapat menghasilkan french fries yang rangup lagi sedap. Tak perlu pun sampai nak adakan peralatan macam dapur restoran segera, McD atau KFC.
Baru ini saya mencuba resepi kentang goreng crispy ini, plus saya olah sendiri ikut mana bahan dapur yang ada kat rumah ini. Sedap hasilnya. Dan merealisasikannya, sanggup minta anak belikan air kapur. Sebab air kapur antara faktor penting yang merangupkan kentang yang digoreng itu nanti.
Resepi Kentang Goreng Rangup Homemade
Durasi memasak : 1 jam
Bahan-bahan
- 5 biji ubi kentang
- 1 sudu besar air kapur
- Tepung goreng Bestari Original
- Minyak untuk menggoreng
Peralatan Dapur Diperlukan
- Pisau pemotong kentang yang tajam
- Papan pemotong
- Mangkuk besar
- Tisu dapur
- Sudip berjaring
- Kuali menggoreng (kalau ada periuk deep fryer lagi bagus)
- Pinggan besar beralas tisu dapur
Cara Buat Kentang Goreng
- Bersihkan kulit ubi kentang dengan betul-betul bersih. Sebab tak perlu buang kulit kentang. Tos dan keringkan. Boleh dap dap dengan tisu dapur.
- Potong kentang ikut potongan memanjang macam potongan french fries biasa. Ketebalan kentang ini mengikut citarasa masing-masing sebenarnya. Namun, anda sendiri boleh agak ketebalannya iaitu 1/4 inci tebal untuk jenis potongan klasik dan 1/2 inci tebal untuk potongan wedges. Boleh juga buat potongan jejari (nipis dan bentuk julienne) atau jenis potongan curly.
- Masukkan air sejuk dalam mangkuk bekas yang cukup untuk merendam kentang. Tambahkan 1 sudu air kapur dan masukkan potongan kentang ke dalamnya. Diamkan selama 30 minit. Cara ini membantu mengeluarkan lebihan kanji yang boleh menyebabkan kentang goreng menjadi basah. Nanti anda perlu toskan dan keringkan dengan betul-betul kering sebelum menggoreng ya. Boleh tekan perlahan dengan tisu dapur untuk mengeringkan kentang tadi.
- Taburkan kentang dengan tepung Bestari sampai melitupi keseluruhan kentang.
- Panaskan minyak yang banyak dalam kuali. Setelah minyak betul-betul panas, boleh masukkan kentang ke dalamnya. Biarkan kentang tenggelam dalam minyak panas tadi. Jangan masukkan kentang terlalu banyak, sebab ia akan menurunkan suhu minyak yang panas dan membuatkan gorengan kentang menjadi basah.
- Goreng selama 2-3 minit atau sehingga kentang itu berwarna perang keemasan dan garing.
- Angkat dan letakkan di atas pinggan berlapik tisu dapur. Cara ini boleh membuang lebihan minyak yang ada.
- Jika nak tambah perasa tambahan, boleh taburkan serbuk bawang putih atau serbuk cili paprika atau serbuk cili cayenne.
- Kentang goreng rangup homemade anda sedia untuk dihidang. Enak juga jika dinikmati bersama sos cili, sos cili thai, mayonis atau apa saja gravy kesukaan.
Tip Ekstra Cara Goreng Kentang Supaya Garing Lagi Crispy
- Gunakan kentang jenis berkanji macam kentang Russet untuk dapatkan kualiti homemade french fries terbaik dan sedap.
- Goreng dua kali. Selepas gorengan pertama (tak perlu lama), angkat. Biarkan kentang sejuk beberapa minit. Goreng sekali lagi, selama 1-2 minit sehingga perang keemasan dan jadi lebih rangup.
- Kentang perlu dikeringkan dengan betul sebelum menggorengnya. Kentang goreng yang basah akan menghasilkan percikan minyak membuatkan kentang tidak dapat digoreng garing sepenuhnya.
- Jangan menggoreng kentang sekali banyak dalam satu kuali. Ia akan menurunkan suhu minyak dan membuatkan kentang jadi basah.
- Perasakan sebaik kentang digoreng dan dikeluarkan dari minyak panas tadi.
Baca juga : Resepi mashed potato cheese buat kentang putar gebu
Kentang Goreng Sedap Dimakan Dengan Apa
Fun fries homemade ini antara kudapan yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia. Baik dari kalangan orang dewasa mahupun kanak-kanak.
Setiap kali menikmati makanan segera ala western, akan disertakan sekali fun fries sebagai hidangan sampingan.
Jika, anda buat fries rangup sendiri di rumah. Cuba hidangkan bersama set makanan ini. Antaranya :
- Burger homemade
- Sup cendawan
- kentang lenyek
- Masak lempeng korea
- Ayam goreng
Selain kentang goreng potongan biasa, ada juga kentang curly yang dipanggil juga curly fries. Cara buat curly fries ini sedikit berbeza dan memerlukan alatan tertentu.
Kenapa Perlu Goreng Kentang Warna Keemasan
Elakkan makan kentang goreng yang hangit atau gorengan terlebih daripada warna keemasan. Menurut kajian, kentang yang digoreng pada suhu yang tinggi akan mengeluarkan bahan yang dinamakan acrylamide.
Sebaiknya elakkan sampai kentang digoreng menjadi hangit. Cukup sekadar warna keemasan saja.
Bahan acrylamide jika diambil dengan kuantiti yang banyak boleh menyebabkan kanser. Sebab itulah tak digalakkan memakan apatah lagi menggoreng kentang sampai hangit. Walaupun ada rasa sayang nak buang yang hangit tu kan, tapi demi kesihatan tinggalkanlah.
Goreng kentang rangup membolehkan anda menikmati ubi kentang goreng dengan enak bagaikan makan di restoran makanan segera kegemaran.