keseronokan

Alami Writer’s Block, Kembalikan Keseronokan Itu

Berat sungguh dada ini ketika jari jemari menekan kekunci. jemari terus mengetuk tanpa emosi. Sejak petang tadi, saya bagaikan diserang ‘sesuatu’ yang cukup ditakuti oleh setiap penulis.

Dan sampai ke saat ini, ia terus mengganggu ‘keseronokan’ saya. Kelancaran tugasan sedikit sebanyak terganggu kerana masalah yang satu ini. Ya, saya sedang dilanda ‘writer’s block’. 
 
Petang tadi ketika berbual dengan Editor Pengurusan Kanan MW, Kak Nuri saya luahkan apa yang saya rasa. Barangkali sudah ‘berkarat’. Kak Nuri sengih semacam sebab perkara yang sama juga pernah dialaminya.

Bila terlalu tepu, fikiran bercabang-cabang melayang, tidak mahu fokus pada apa yang ingin disampaikan, hati terasa sarat dengan segala macam keterpaksaan. Oh! Sungguh saya tak suka bila mengalami keadaan semacam ini.
 
Kerana penulisan adalah kerjaya saya. Mata pencarian saya. Itu adalah fitrah yang telah Allah tuliskan dalam loh mahfuz dan perlu saya hadapi dengan hati yang tabah (semangat ini saya peroleh ketika menemuramah Dato Jamelah.

Mahu tahu siapa beliau? Boleh baca entri di sini.) Namun, mengapa saya mengalami virus sebegini. Teruklah kalau virus ini terus menyerang dan tidak mahu menjauh pergi.

Bukan Sekadar Menulis Dengan Baik

Sememangnya Kak Nuri adalah guru saya dalam dunia penulisan. Dari kisah sebatang pen sampailah ke cerita artikel dibuang dalam tong sampah, memberi teladan yang mendalam buat penulis baru seperti saya. Kak Nuri bukan sekadar mengajar penulisan yang baik, ia lebih dari itu. 
 
“Menulislah dari hati. Sebelum jemari mengetuk kekunci, niatkan dahulu. Mohon pada Allah semoga penulisan yang bakal terhasil memberi manfaat kepada orang ramai, dengan sendirinya keikhlasan akan terlahir,”- pesanan kak Nuri saya ingat sampai bila-bila.
 
Bagaimana saya mahu hilangkan virus ‘writer’s block’ ini? Sungguh ianya sarat menyesakkan dada. Pesan kak Nuri lagi, ‘Kembalikanlah keseronokan itu’. Lepaskan semua tekanan dan membacalah.

Carilah apa-apa sahaja bahan rujukan, majalah atau apa sahaja. Kalau tidak dibaca pun, belek-beleklah setiap lembarannya. Pasti akan ditemui ‘sesuatu’ di situ. Walaupun majalah yang dibaca itu langsung tiada kaitan dengan artikel yang sedang dikarang.

keseronokan-menulis

Keseronokan Itu Kita Sendiri Tentukan

Jika tidak jalan dengan cara itu, bangun dan carilah ilham di mana-mana tempat sekalipun. Cara kak Nuri mencari ilham sebenarnya agak kelakar. Bila terlalu tersangkut, Kak nuri akan cari ilham di dalam tandas. Selalunya ia berjaya pada kak Nuri cuma cara itu tak berapa menjadi dekat saya.
 
Yang paling penting sebenarnya, keseronokan itu kita sendirilah yang menentukannya. Jika diri sendiri tidak berusaha mengubahnya menjadi seronok, maka tiadalah ia memberikan apa-apa hasil walau macam mana keras pun memasang angan-angan. 
 
Dan hari ini kak Nuri mengingat saya kembali dengan falsafah Kaizen. Sungguh, telah lama saya lupakan. ‘Beranilah untuk berubah’.

Bagaimana? Kembalikan mood dalam penulisan dengan membuat sesuatu yang baru dan segar. Cubalah belajar ‘dress up’, sememangnya ia menjadikan diri kita orang baru. Benarlah penampilan itu juga mempengaruhi mood dalam penulisan.

Jangan Tanya Soalan Yang Sama

Mencipta soalan juga boleh membantu. Soalnya bagaimana? Jangan bertanya soalan yang sama kepada orang yang berbeza. Carilah ‘sesuatu’ tentang individu itu. Pasti ada cerita inspirasi yang boleh dimanfaatkan kepada orang ramai. Jika betul cara kita melorongkan soalan, indahlah hasil kerja kita. 
 
Oh, sampai ke penghujung tulisan ini pun saya masih merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan entri ini. Seperti tiada jiwa yang mengiringi setiap kata-kata. Ya Allah, bantu saya untuk kembali ke track. Saya perlu segera mencari motivasi atau saya yang akan jadi ‘roti basi’.
 
Baiklah, saya mahu cuba teknik yang satu ini dahulu. Jika berjaya, saya akan kongsikan di ruangan ini kelak. Titik.
 
PS: Sukar sekali mahu meluahkan entri kali ini. Susahnya seperti menggigit tulang ayam di bahagian peha. (mood: tengah malam perut pun mula berkeroncong). Nampak sangatkan sekarang ini betapa tunggang langgangnya saya. Petang tadi pun, Intan sempat melihat kekalutan saya.

IKUTI KISAH LAIN DI SINI :
- Mingguan Wanita dari tabloid bertukar majalah
- ‘Moving to digital’ yang serba mengejutkan
- Deadline setiap minggu, mencabarnya jadi wartawan Mingguan Wanita

One Response

  1. Naroswati Naib September 19, 2013

Leave a Reply

error: Content is protected !!