Keledek bakar dalam oven ini kira beginner buat saya. Rasanya manis malah kulitnya keledek ungu mak bagi ni boleh terus dimakan gitu je.
Berbanding keledek rebus, kulitnya kita perlu siat dan buang kan. Cara bakar keledek dalam oven ini kulitnya boleh dimakan terus. Sedap bila ditambah cheese, sour cream atau apa saja perisa kegemaran pun boleh.
Nak dapatkan keledek bakar oven yang sedap ini pun ada cara sebenarnya. Sebab, selepas melakukan beberapa percubaan dapatlah saya faham cara terbaik untuk masak keledek bakar yang betul-betul menjadi guna oven di rumah.
Kalau orang dulu-dulu, diaorang tak payah nak gaduh-gaduh. Nak makan keledek bakar, lempar je dalam bara api dapur kayu dekat kebun. Tak payah nak balut dengan aluminium foil pun.
Bila dah masak, tepuk-tepuk sikit. Kupas kulit yang hangit tu boleh terus makan. Ya Allah.. seronoknya. Terkenang nostalgia zaman budak-budak pulak.
Bila bakar guna oven, tak perlu kupas kulit keledek pun. Boleh terus makan gitu je.
Mak pernah cerita yang ada sekali itu, mak bakar keledek dalam bara api. Lepas dah masak tu, kupas kulit makan masa panas-panas. Manis semulajadi keledek ungu bakar nilah yang sedap.
Makan gitu je tak yah letak gula.
Berapa Lama Bakar Keledek Dalam Oven
Tertanya-tanyakan berapa lama nak bakar keledek ungu ini guna oven. Jawapannya, ia bergantung dengan :
- Saiz keledek yang anda mahu bakar
- Suhu kepanasan oven masing-masing. Sebab setiap oven ini kan tak sama kan.
Cara Buat Keledek Bakar Dalam Oven
- Basuh bersih keledek ungu di bawah air paip ya. Buanglah akar-akar kecil yang ada di sekitar keledek.
- Keledek ini kan membesar dalam tanah, jadi melekat-lekatlah tanah dekat dia. Saya cuci guna tangan saja, gosok kuat-kuat sedikit. Tapi jangan sampai mencederakan permukaan keledek ungu tu pula.
- Selepas dibasuh bersih, saya toskan seketika.
- Sebab nak cepatkan, saya ambil tisu dapur dan lap-lapkan dia. Sebolehnya kena bagi dia betul-betul kering sebelum mulakan proses membakar keledek dalam oven.
- Susun keledek dalam loyang pembakar, letak parchment paper supaya nanti keledek tak melekat kat loyang.
- Sebolehnya pilihlah keledek yang sama saiz ya. (tak dapat sama sangat, sipi-sipi pun boleh) Agar ketika dibakar, ianya akan masak sekata.
- Saya tak kupas pun kulitnya. Ia akan dibakar sekali. Dan kulit keledek ini sebenarnya boleh dimakan. Warna ungu kulit keledek itu kaya dengan khasiat.
- Ratakan minyak extra virgin olive oil ke seluruh bahagian keledek. Buh lebih pun takpe.
- Taburkan garam atasnya. Sekadar untuk beri perasa.
- Kemudian, cucuk keledek dengan garfu di beberapa tempat. (tapi saya terlupa nak buat yang ni. Saya bakar terus. Pun ok saja hasilnya.. hahaha)
Bakar Keledek Guna Oven
- Panaskan oven dulu dalam 10 minit. Kemudian, masukkan loyang berisi keledek dalam oven.
- Bakar keledek pada suhu 200 darjah celsius selama 45 minit. (Ikut saiz keledek, kalau saiznya kecil boleh kurangkan masa. Suhu pun bergantung juga pada oven masing-masing).
- Keluarkan keledek dari oven, cuba cucuk keledek dengan garfu. Jika ianya boleh tembus sehingga ke bawah, bermakna keledek dah masak. Nak tergelak tengok parchment paper saya rentung. (mungkin saya letak atas api sangat ni.. hahaha)
Keledek Bakar Dalam Oven Hias Dengan Keju
- Belahlah tengah-tengah keledek ya. Hati-hati sebab masih panas lagikan.
- Saya letak keju di tengah-tengahnya. Ada mozarella, parmesan dan cheddar. Biarkan sekejap dalam 3 minit macam tu. Nanti cheese itu akan mencair sendiri. (sebab keledek bakar dalam oven ni masih lagi panas) Kalau nak letak sour cream, butter, taburan gula pun sedap juga.
- Ikut anda nak letak apa, terpulang.
- Boleh ke makan kulit keledek ni? Boleh je sebenarnya. Kulit keledek ini akan jadi crispy selepas dibakar. Makan terus dengan kulit-kulitnya. Ada khasiat pada warna ungu keledek tu. Sedap betul, rasanya lebih manis daripada keledek ungu rebus.
Khasiat Keledek Ungu
Keledek ungu ini isinya berwarna kuning. Emak saya tanam di kebun wak Idah. Jadi, bila ubinya dah ranum dan banyak, mak beri sedikit pada saya.
Alhamdulillah tak perlu nak beli. Orang kata khasiat keledek ungu ini antaranya anti oksida yang tinggi dan anti radang. Nak-nak warna kulit ungunya itu. Ada kandungan serat, kalium dan vitamin A dan C yang diperlukan oleh kulit dan mata.
Vitamin A ini kan amat penting, lagi-lagi zaman smartphone lekat kat tangan ni. Senang sangat mata nak jadi kelam.
Sebab itulah, saya tak buang kulit masa memanggang keledek guna oven ini. Kulitnya nanti boleh dimakan terus selepas dibakar.
Selain miliki fiber yang tinggi, keledek ini juga bagus untuk otak dan usus.
Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis
Telegram : https://t.me/NettyAhHiyerTulis
Sedapnya nampak. Makan masa hari hujan memang syok ni!