Bukan semua orang ada pressure cooker dekat rumah kan. Tapi hajat hati nak masak rendang ayam pencen yang lembut isinya. Boleh cuba tip berkesan cara melembutkan ayam tua yang bakal direndang.
Sebab ayam tua yang berjaya dilembutkan isinya ini akan jadi tersangat sedap bila dimasak rendang ayam pencen ataupun dibuat dijadikan ayam ungkep.
Cuma proses nak melembutkan ayam tua ini sememangnya mengambil masa yang panjang, jika tidak menggunakan pressure cooker. Namun, ada petua mudah yang boleh digunakan untuk mengempukkan ayam yang dah berhenti bertelur ini dalam tempoh antara 1 jam sahaja.
Ayam Tua in English
Ayam yang sudah tua disebut sebagai ayam pencen atau ayam telur tua. Manakala ayam tua in English juga dikenali dengan nama old hen atau old chicken. Ia mendapat gelaran sedemikian, kerana ayam jenis ini sudah tidak lagi produktif untuk bertelur.
Isi dagingnya juga menjadi liat. Begitu juga dengan kulit ayam nya. Kalau dibuat masak perlu untuk dilembutkan dahulu. Sebaliknya, jika anda terus memasak atau menggoreng tanpa dilembutkan. Alamat tercabutkan gigi semasa menggigit isi daging ayam itu nanti.
3 Cara Melembutkan Ayam Tua Dengan Cepat Tanpa Pressure Cooker
Sebab itulah, ada bermacam petua lembutkan ayam yang tua ini yang boleh dibaca di google. Dan setiap cara itu mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Paling mudah tentulah dengan menggunakan pressure cooker. Yang mana, masa yang diambil sekitar 45 minit saja untuk melembutkan isi dagingnya yang liat.
Sekiranya tiada gajet dapur seperti pressure cooker itu, jangan susah hati. Anda masih boleh mencuba petua suri rumah lama ini yang masih lagi praktikal untuk digunakan. Ada yang saya pun baru tahu. Padahal petua itu dah dikongsikan dari tahun 2016 lagi.
Semak tip yang dikongsikan ini.
Guna Rice Cooker Untuk Lembutkan Ayam Pencen Dengan Cepat
Sebagaimana yang pernah dikongsikan oleh pengguna facebook bernama Najwa Romli. Ayam pencen atau daging boleh diempukkan dengan pantas tanpa pressure cooker mahupun periuk Noxxa. Sebaliknya gunakan saja periuk nasi atau rice cooker yang ada di rumah.
Caranya, potong ayam pencen menjadi bahagian kecil. Cuci bersih dan toskan. Kemudian, bolehlah masukkan dalam periuk nasi anda. Tak perlu tambah air semasa proses ini. Tekanlah suis ON pada periuk nasi itu. Tunggu sehingga button ‘COOK’ naik sendiri.
Macamana pula jika, anda menggunakan periuk nasi tefal dengan button digital itu? Sebab dekat rumah ini saya gunakan periuk nasi spherical bowl itu. Kalau ikut logiknya. Bolehlah tekan button ON dan apabila mengeluarkan bunyi ‘bip’ boleh tutup api periuk nasi.
Rebus Ayam Tua Cepat Empuk Dengan Air Kelapa Muda
Satu lagi kaedah oldschool yang boleh anda gunakan dan pastinya menjadi adalah merebus ayam kampung tua dengan air kelapa muda. Rebuslah selama 1 jam di dalam periuk atas api dapur.
Sebaik empuk, toslah air kelapa itu dan ayam empuk boleh dimasak seperti biasa. Pastikan semasa merebus, ayam sudahpun dipotong menjadi bahagian kecil. Semakin kecil potongan ayam, semakin cepatlah proses mengempukkan isinya yang liat itu.
Dalam masa yang sama cara ini dapat mengekalkan kemanisan isi ayam yang tua itu. Malah, air kelapa juga dapat menghilangkan bau hanyir pada ayam tua. Tentunya isi ayam yang yang dah empuk ini akan jadi bertambah enak bila dimasak.
Ayam Tua Dibakar Lembut & Sedap Setelah Dimasak
Satu lagi kaedah iaitu membakar ayam tua selama beberapa minit ini telah dipraktikkan oleh seorang usahawan ayam di Johor. Akuinya ayam tua dibakar ini dapat menjadikannya isi ayam lebih sedap dan lembut sebaik dimasak.
Dalam masa yang sama dapat menjaga kebersihan ayam pencen atau ayam kampung itu sendiri. Kulit ayam yang dibakar akan dapat menghilangkan bulu putih ayam itu.
Bagi seekor ayam tua dibakar harga jualannya boleh mencecah RM13. Manakala harga ayam tua tanpa dibakar hanyalah RM12.
Macam ditempat saya ini, hendak membeli ayam telur tua di kedai ayam perlu mengikut hari-hari tertentu. Bukan setiap hari boleh beli ya.
Baca juga : Resepi sup ayam simple jernih no.1 tersedap ala samgyetang
Patutlah abah saya dulu, setiap kali selesai sembelih ayam abah akan celur ayam dalam air rebusan. Kemudian, buang bulu-bulu ayamnya. Selesai membuang bulu, barulah abah layurkan ayam atas api dapur gas untuk membuang bulu putih halus ayam itu. Memang teliti betullah, dari bab menyembelih, mencuci sampai memasak, prosesnya memang ambil masa yang panjang.
Tapi, walaupun panjang. Masakan ayam kampung mak tetap nombor satu di hati saya. Sedapnya tiada galang gantinya. Nak-nak bila mak masak rendang ayam tua waktu Hari Raya, mahupun buat ayam ungkep dengan rempah simple mak tu.