masak-asam-pedas-klebang-melaka

Asam Pedas Melaka Klebang, Awesome Guna 3 Daun Limau Purut

Resepi asam pedas Klebang warisan Acik Naros ini. Bagi saya rasa dia sama macam resepi asam pedas Melaka asli. Macam yang pernah saya makan waktu ke negeri Hang Tuah ini.

Kenapa saya berani overclaim macam ini? Sebab, sebelum dapat resepi ini, puas saya Google, buka YouTube. Cuba masak, tapi rasa dia tetap tak dapat yang sama macam yang pernah saya makan iaitu asam pedas Melaka Bandar Hilir.

Alhamdulillah, akhirnya dapat juga resepi asam pedas Melaka original daripada Acik Naros yang juga orang Melaka.

Resepi Asam Pedas Melaka Ikan Tenggiri by Acik Naros

Durasi memasak : 45 minit

asam pedas klebang
Masakan asam pedas Klebang ini dah banyak kali saya buat. Kali ini saya guna ikan bawal.

Bahan-bahan

  • ½ kg ikan tenggiri (atau apa saja ikan yang anda ada)
  • 4 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • Belacan saiz sudu makan
  • 2 sm kunyit hidup
  • 2 batang serai
  • 3-4 helai daun limau purut
  • 1 sudu makan halba
  • Semangkuk kecil cili kisar
  • 1 mangkuk kecil air asam jawa
  • Bendi @ terung
  • Air secukupnya
  • Garam secukupnya
  • Minyak masak

Cara Masak Asam Pedas Melaka Gaya Orang Klebang

  1. Bawang merah, bawang putih, kunyit hidup dan belacan ditumbuk halus. Ketepikan.
  2. Pastu titik serai. Ketepikan.
  3. Panaskan minyak dan tumis bahan yang telah ditumbuk bersama serai dan halba sehingga kekuningan.
  4. Masukkan cili kisar dan kacau. Sentiasa kacau sehingga cili kisar masak atau garing atau pecah minyak.
  5. Masukkan daun limau purut. Kacau rata.
  6. Pastu masukkan air asam jawa dan air biasa sehingga mencapai kepekatan kuah yang diingini. Biarkan sehingga mendidih.
  7. Setelah mendidih, masukkan ikan dan kacau. Biarkan sebentar sehingga ikan masak.
  8. Akhir sekali masukkan bendi @ terung. Perasakan dengan garam. Setelah sayur-sayuran masak, tutup api.
  9. Siap.

Mencari Resipi Asam Pedas Melaka Original Akhirnya Jumpa

Acik Naros ini, bekas wartawan majalah Pa&Ma. Orang Melaka (mak Acik Naros pernah ada bisnes catering kecil-kecilan, dan dedulu ada stall goreng pisang, cendol dan rojak) dan lepas berhenti kerja, Acik Naros (saya panggil kak Naros) balik ke Melaka.

Sekarang dah jadi consultant property. Air tangan asam pedas Melaka asli Acik Naros ni memang ‘terbaik dari ladang’.

Sampai eksklusif betul. Kitaorang cuma dapat rasa bila ada kengkawan mengandung je. Begitu sekali kau! Dia punya eksklusif.

Dalam pada itu, usahalah mencari asam pedas Melaka original. Sayangnya tak juga berjumpa.

asam pedas melaka
Setiap kali masak asam pedas Melaka, saya akan guna resepi Acik Naros. Kali ini gantikan ikan kembung dengan terung bulat.

Resepi Asam Pedas Melaka Klebang Acik Naros Tersedap

Bila Acik Naros dah jauh, lagilah tak dapat nak rasa dah. Nak kena ke Melaka pulak. Dengan PKP (waktu itu) tak boleh rentas negeri lagi.

Sedihlah sana sorang-sorang, teringin tak kesampaian.

Sekitar April 2020, Acik Naros kongsikan resepi asam pedas Melaka sedap dari Klebang Besar dia kat facebook. Apa lagi, saya pun cuba.

Ikut sebijik-sebijik macam video yang diajar. Kalau nak tengok video cara masak asam pedas Klebang, gi lah jenguk kat channel youtube Acik : Naros Naib

Memang untuk resepi asam pedas Melaka ini saya tak derhaka pun. Acik Naros garang nanti dia marah (Hahaha.. saya gurau je)

Sebenarnya, tak boleh nak derhaka sebab saya nak dapatkan rasa betul-betul macam makan asam pedas sedap Klebang Melaka tu.

Lama dah teringin nak cuba.

Baca juga : Empuknya rendang ayam pencen, paling sedap pernah dimasak

Dah Lama Cari Asam Pedas Klebang Daun Limau Purut

Saya masih ingat waktu pergi ke Klebang tak lama dulu. Waktu singgah ke pasaraya, jadi hairan sebab banyak betul daun limau purut dalam peti ais kedai.

Hairan seketika. Bila dah dapat resipi asam pedas Melaka dari kak Naros, fahamlah saya kenapa. Sebab dalam asam pedas Klebang ini diaorang;

  • Tak guna daun kesum atau bunga kantan.
  • Gaya masakan Acik Naros ni, adalah resepi asam pedas Melaka daun limau purut yang specialnya.
  • Letak juga halba (tapi jangan banyak, nanti pahit).
  • Guna kunyit hidup jugak.
  • Nilah yang buat asam pedas Klebang rasa special.
  • Saya suka sebab resepi Acik Naros ini asam pedas kuah pekat. Itu yang power!

Cuma ikan tu saya tak ada ikan tenggiri, saya guna bawal. Kata Kak Naros guna ikan apa pun boleh. Kalau untuk daging atau daging tetel, penggunaan bahan-bahan untuk masak asam pedas klebang ini jadi berbeza.

Eh! Tapi kan tetel tu sedap juga buat sup daging tetel tau.

Tip : Untuk asam pedas daging atau tetel, jangan letak belacan. Masukkan lengkuas dan lada hitam.

Alhamdulillah, pada Jun 2020 saya dapat masak resepi asam pedas Melaka. Dengan rasa yang sebijik saya idam-idamkan sangat tu.

Resepi ni dah banyak kali saya cuba. Makin lama try, makan pandai dan sedap dia tetap sama.

Ini resepi yang saya ambil dari facebook Acik Naros (minta halal ya kak), Cuma saya punya resepi asam pedas Klebang Melaka ikan bawal emas, sebab tak ada ikan tenggiri.

Serius! masakan asam pedas Melaka Acik Naros ini resepi asam pedas simple terbaik pernah saya cuba.

Masak asam pedas ini ada macam-macam versi sebenarnya. Macam resepi asam pedas Muar, macam yang kawan saya share kena letak daun kesum tak pakai pun daun limau purut. Ada juga resepi yang pernah saya dapat letak daun kari.

Haa.. setiap penggunaan bahan masakan ikut resepi tertentu, akan hasilkan rasa asam pedas yang berbeza. Setiapnya ada kesedapan dan keenakan yang tersendiri.

Silalah cuba ya.

Baca juga : kerang bakar tetap gebu, mudah masak guna pemanggang ajaib

asam-pedas-klebang
Asam pedas ikan jenahak di restoran yang pernah viral dekat Bandar Hilir Melaka. Dalam kuali terus dia hidang kat kitaorang satu famili.

Mencari Kedai Asam Pedas Melaka Viral

Sewaktu mahu ke bandar Hilir Melaka itu, sebelum sampai hotel. Kami cuba menikmati asam pedas Melaka yang viral.

Carilah kedai asam pedas Melaka Viral di Google. Baca reviewnya terasa sedap betul.

Maka, bermulalah misi mencari dan terjumpalah senarai asam pedas Melaka yang boleh diterjah. Rupanya di sekitar bandar Hilir itu banyak sungguh kedai asam pedas yang ada.

Cuma mahu atau tidak saja.

Antara kedai asam pedas Melaka near me yang top yang boleh anda jejak di Bandar Hilir;

  • Asam Pedas Selera Kampung (kami nampak signboard kedai ini bila dah selesai makan asam pedas.. hahaha)
  • Asam Pedas Lot 35
  • Asam Pedas JR dekat dengan Newton Culture Food Village
  • Asam Pedas Claypot LimaBeradik

Kedai Makan Asam Pedas Di Klebang Yang Sedap

Di Klebang pun ada asam pedas Melaka sedap yang boleh anda singgah dengan keluarga. Antara yang terkenal Restoran Asam Pedas Power Perigi Hang Li Poh.

Katanya, restoran asam pedas terbesar di Malaysia dekat Klebang ini.

Dan jika anda berada di Klebang boleh juga google restoran asam pedas Klebang near me. Tentu akan ditunjukkan senarai restoran asam pedas sedap Klebang dengan ratingnya sekali.

16 Comments

  1. ajumohit June 14, 2021
  2. sii nurul June 14, 2021
  3. adianiez AIDA June 14, 2021
    • nettyahhiyer June 14, 2021
  4. ZAIDALIFAH HUSSIN June 14, 2021
    • nettyahhiyer June 14, 2021
  5. MrsPip June 15, 2021
  6. Shamiera Osment June 15, 2021
  7. Maisarah June 15, 2021
  8. Marina June 15, 2021
  9. Alia June 16, 2021
  10. rozita June 16, 2021
  11. Mamy Syu June 17, 2021
    • nettyahhiyer June 17, 2021

Leave a Reply

error: Content is protected !!