Berani gagal tanda orang berjaya dalam hidupnya | Perlukah keberanian untuk menjadi gagal? Bukan semua orang mampu menerima kegagalan dalam hidupnya.
Ada yang menangis pagi-petang-siang-malam akibat tidak dapat menerima kegagalan yang dialami.
Baik di alam percintaan, mahupun dunia kerjaya. Hakikatnya, orang yang berani gagal adalah orang yang paling berjaya dalam hidupnya.
Thomas Alva Edison sendiri gagal sebanyak 10083 kali dalam menghasilkan penciptaan mentol lampu yang sempurna.
Begitu juga pencipta-pencipta inovasi terdahulu seperti Alexander Graham Bell dan sebagainya. Itu contoh yang jauh dari kita.
- Contoh yang paling dekat adalah diri kita sendiri.
- Berapa kali kita gagal melaksanakan misi apa yang dirancang dalam hidup kita?
- Adakah kita mengalah dengan kegagalan itu?
Mengalah bererti kalah.
Meneruskan usaha membawa maksud kejayaan yang lebih besar lagi sedang menanti kita.
Pernah Alami Kegagalan Demi Kegagalan
Saya juga pernah melalui kegagalan demi kegagalan, penolakan demi penolakan sepanjang bergelumang dalam kerjaya kewartawanan ini.
Di saat akhir temujanji yang diatur dibatalkan dan sebagainya.
Tapi semua itu mematangkan diri untuk menjadi seorang wanita besi dan tegar jiwanya. Tiada apa yang mustahil dalam hidup kita.
Saya cukup percaya tentang kita adalah apa yang kita fikirkan.
Dan itulah yang terjadi kepada diri saya ketika ini. Di saat saya menjadi cukup lemah dan tidak berdaya untuk meneruskan sesuatu usaha, akan ada kekuatan yang Allah berikan tanpa disangka-sangka.
Kerana di dalam otak saya yang terhad ini sentiasa memikirkan setiap sesuatu yang terjadi itu telah tertulis di loh mahfuz dan bagaimana kita berhadapan dengan suratan takdir itulah yang amat payah untuk diharungi.
Kadangkala kita berfikir, kita telah merancang begitu begini, kenapa ia tidak menjadi begitu begini? Menyalahkan orang sekeliling yang tidak memahami perancangan kita adalah paling mudah dilakukan.
Walhal ada yang lebih besar hikmah di sebalik kegagalan itu. Kerana Allah tahu yang kita belum bersedia untuk menerimanya. Dan Dia sedang merencanakan sesuatu yang lebih baik untuk kita di masa hadapan.
Jadi jangan putus asa.
Baca : Panduan hasilkan penulisan berjiwa
Berani Gagal Bukan Bererti Kalah
Lalui kegagalan itu dengan muhasabah diri dan senang hati.
Fikirkan saja yang baik-baik. Dan yang paling penting, jangan sampai diri sendiri dibuli oleh diri sendiri.
Eh! Pelikkan bunyinya.
Maksudnya di sini, kalau kita kecewa dengan kegagal kita yang sedikit itu, bagaimana kita mahu berhadapan kekecewaan akibat kegagalan yang lebih besar kelak.
Kalau ujian sekecil ini pun sudah mengalah, bagaimana Allah mahu beri kita sesuatu yang lebih besar? Jadi jangan sampai kita terpedaya dengan ujian hati yang tidak seberapa itu. Teruslah menjadi kuat.
Semoga ia juga bermanfaat untuk semua. Amin.
Disclaimer : Ini catatan bertarikh 23 Oktober 2013
Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis
lama catatanya ni tapi masih relevan ke hai ini. org yg berani utk gagal adalah org yg berjaya
Alhamdulillah.. terima kasih sudi baca.