Berkat air tangan ibu membesarkan anak | Sejujurnya saya bukanlah ibu yang sempurna. Dalam membesarkan anak-anak, saya cukup bertuah kerana mempunyai seorang ibu yang sanggup berkorban apa saja untuk saya dan anak-anaknya yang lain.
Sekali pandang, wajah emak saya, Puan Sulbiah Sarijo kelihatan sedikit garang. Namun, hatinya baik dan pemurah. Dia seorang yang ‘defensive’ terhadap anak-anaknya atau sesiapa sahaja yang dekat di hatinya.
Kadangkala saya tidak berapa setuju dengan cara mak.
Kerana ada ketikanya saya juga berbuat silap. Sebolehnya mak akan melindungi kesilapan itu. Dalam sesetengah kes, saya rasa selamat. Dalam sesetengah kes pula saya rasa bersalah.
Barangkali sikap mak yang terlalu mempertahankan saya itu membuatkan saya sedikit manja dan kadangkala ‘take things for granted’.
Dan kerana sikap mempertahankan ibu itu jugalah yang membuatkan saya mampu bertahan dalam kerjaya yang penuh pancaroba ini.
Air Tangan Ibu Membesarkan Anak
Saya masih ingat setiap inci kasih sayang abah dan mak. Bagaimana sukarnya keluarga kami ketika saya mahu memasuki darjah dua. Sakit abah cuma mak yang tahu.
Kesusahan hidup membuatkan mak berhadapan masalah kewangan untuk membiayai wang persekolahan saya.
Demi sebuah ilmu, mak sanggup meminjam wang adiknya untuk membayar yuran dan membeli buku sekolah saya.
Ketika saya dalam darjah tiga, mak terpaksa mengayuh basikal sejauh 6 kilometer semata-mata mahu membawa saya ke sekolah.
Pernah satu ketika, mak melintasi simpang empat dan akibat gagal mengawal basikal, kami berdua telah jatuh tergolek tidak jauh selepas melepasi simpang itu.
Habis bertaburan buah tembikai dan barang dapur yang baru mak beli di kedai. Tapi mak tak pernah patah semangat, dia kuat dan tabah orangnya.
Air tangan emaklah yang membesarkan kami adik-beradik. Dan air tangan ibu itulah juga yang tak pernah jemu memasakkan suaminya.
Ada Abah Yang Penyabar
Abah saya pula, orangnya lembut dan tinggi kesabarannya. Keluarga abah besar, adik-beradiknya ramai dan keadaan itu membuatkan kehidupan keluarga arwah nenek sebelah abah sarat kesusahan.
Disebabkan hal itu jugalah, abah terpaksa beralah dan tidak pergi ke sekolah. Membesarlah abah menjadi remaja yang tidak pandai membaca.
Sampai hari ini, kalau abah tengok suratkhabar, abah cuma boleh tafsir gambar sahaja.
Membesar dalam suasana demikian, membuatkan abah tidak begitu memahami kepentingan pendidikan untuk anak-anaknya.
Tapi ada sesuatu yang membuatkan saya senang dengan sikap abah; abah tak pernah memaksa anak-anaknya. Dia memberi kami pilihan untuk menjadi apa yang kami inginkan.
Dan disebabkan kesedaran pentingnya ‘memandaikan anak’ ada dalam diri mak, dia sanggup berbuat apa saja demi pelajaran saya.
Tapi mak cuma dapat memberikan sesuatu mengikut kemampuan kewangan abah pada ketika itu.
Tetap Bersyukur Walau Tak Mampu Beli Buku
Pernah juga saya tidak dapat membeli sebuah buku matematik akibat kesempitan wang. Dan di dalam kelas, cuma saya seorang yang tiada buku matematik itu.
Tapi saya tak pernah sekali menyalahkan mak mahupun abah disebabkan kesusahan yang saya alami. Saya bersyukur kerana akhirnya ketiadaan buku itulah membuatkan saya mampu membina impian dalam dunia penulisan.
Disebabkan kemiskinan kami pada ketika itu jugalah membuatkan mak mendatangi saya dengan satu pesanan yang masih saya ingat sampai hari ini.
“Ada orang kata abah kau tak sekolah. Tak pandai membaca. Anak-anaknya pun akan jadi sama macam dia. Kakak (ini panggilan manja mak untuk saya) kena buktikan kata-kata orang itu salah. Belajar sungguh-sungguh sampai berjaya.”
Sememangnya sebagai anak sulung saya sentiasa mencari ‘sesuatu’ dalam diri. Apa saya mahu jadi bila besar nanti. Itulah yang sering bermain-main dalam kepala.
Alhamdulillah, walaupun belum sampai di tahap membanggakan, sekurang-kurangnya saya berjaya keluar dari kepompong ‘keturunan tidak pandai membaca’ itu.
Andai kita miskin, tidak bermakna kita akan miskin selamanya. Tidak pandai matematik juga bukan pengakhiran dalam hidup kita.
Bangun teman-teman!
Jangan matikan hati hanya kerana mendengar sindiran orang lain. Jiwa orang Islam perlu kuat dibangunkan dengan nur dan hikmah.
Berkat Air Tangan Ibu
Suatu ketika dahulu, saya juga pernah bersikap lemah sebegitu. Apabila dikritik langsung hilang semangat juang dalam diri.
Seorang penulis yang baik, perlu ada kekuatan dalaman yang ampuh dan tidak makan sindiran. Tapi jangan pula terlalu yakin sampai tidak mahu mendengar pandangan orang lain.
Kadangkala, pandangan orang luar hatta kakak tukang sapu sekalipun amat bernas untuk digunapakai. Percayalah tiada satupun perkara yang berlaku dalam hidup kita tanpa ada sebab dan musabab.
Setiap sesuatu telah digerakkan oleh Yang Maha Pencipta. Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.
Katakan saya mampu membeli buku matematik dahulu, pasti laluan saya ke bidang penulisan jauh dan panjang.
Tapi Allah lorongkan segalanya dengan cukup mudah sekali. Samalah halnya bagaimana saya boleh bermula sebagai pelajar komunikasi massa dan akhirnya bergelar wartawan.
Abahku Tukang Urut
Abah saya pernah menjadi tukang urut. Satu ketika, dia telah merawat pesakit yang jauh berada di Shah Alam. Waktu itu saya anggap jauh kerana kami tiada kenderaan. Untuk sampai ke Shah Alam, perlu ada orang yang membawa abah ke sana.
Biasanya abah hanya pulang bila sudah jauh malam.
Dengan keizinan Allah, pesakit yang abah rawat itu sembuh dari derita yang ditanggung bertahun-tahun lamanya.
Peristiwa itu berlalu dan beberapa tahun selepas itu, saya menghantar permohonan ke UiTM dengan memilih jurusan utama, diploma pentadbiran awam dan pilihan kedua, diploma komunikasi massa.
Tak lama selepas itu, saya menerima panggilan dari seseorang di UiTM. Wanita itu, bertanya tentang latar abah.
Ternyata abah adalah orang yang dicari-carinya selama ini. Tak lama kemudian, dia memaklumkan tentang permohonan saya ke UiTM.
Katanya, mengapa saya memilih jurusan diploma sedangkan kelayakan saya ketika itu membolehkan saya menyambung pengajian ijazah sarjana muda dalam komunikasi massa.
Kalau Sudah Rezeki
Lalu, dia meminta izin untuk menukar permohonan saya dan menyerahkan kepada rezeki sama ada saya diterima masuk ke institusi itu atau sebaliknya.
Dan selepas beberapa ketika berbual, tahulah saya bahawa wanita itu adalah pesakit yang pernah abah saya tolong ketika kunjungannya ke Shah Alam.
Saya percaya, Allah telah melorongkan hati wanita itu untuk menghubungi saya.
Inilah takdir yang telah Allah tentukan untuk saya. Pasti ada sebabnya mengapa saya berada di laluan ini. Fitrah saya di sini, dalam dunia penulisan ini.
Tapi perlu diingat, mahir menulis tidak terbentuk sehari dua.
Ia memerlukan latihan demi latihan.
Menilai kembali entri saya waktu mula-mula mengisi ruang blog ini, membuatkan saya senyum sendiri. Saya bercerita ikut suka dan sedap hati sendiri. Sama sekali tidak berusaha memartabatkan Bahasa Melayu Tinggi yang telah dicipta indah dan penuh seni.
Walhal, lenggoknya masih juga cantik jika saya menggunakan bahasa Melayu yang betul. Masih boleh berkelakar, bersantai dan menggembirakan hati pembaca. Mungkin ketika itu saya belum yakin diri.
Disclaimer : Ini catatan bertarikh 27 September 2013
Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis
Air mata saya berjuraian kala membaca entri ini, sungguh kak net orgnya tabah. Setabah ibu dan ayah kak net.
Aduh Ida, tak yah nangis2. Meh join kak net dalam kelas asas penulisan dan blog. Nanti airmata tu bertukar menjadi ringgit.
This comment has been removed by a blog administrator.