nikmat

Syukur Itu Nikmat Yang Perlu Diinsafi, No.1 Epic Didiklah Hati

Syukur itu nikmat yang perlu diinsafi | Pesan abah, sebelum masuk ke pejabat zikirkan puji-pujian pada Ilahi dan mohon nikmat keberkatan rezeki. Sekali nafas dan pasakkan di dada dalam-dalam.

Walau, sesewel manapun perasaan ketika diserang godaan syaitonnirajim, hati masih mampu bertabah dan cekal hadapi rintangan kehidupan mencabar.

Syukur padaNya malam ini saya kembali bersemangat berjuang konon habis-habisan menulis di ‘belog’ yang semakin bersawang.

Esok hari saya perlu bersiap-siap untuk tugasan pengambaran bersama seorang selebriti. Tak boleh nak sebut lagi sebab saya hendak cerita serba sedikit tentang satu kisah kelakar plus entah apa-apa ini.

Memahami Nikmat Kehidupan

Tentang kerja kahwinnya yang pernah membuatkan kak Nuri pun pening kepala. Mahu cerita ke tidak ya. Bagi saya fikir dua ke tiga minit. Baik atau tidak kalau saya kongsi di sini.

Ermmm… ermmm… tak apalah biarkan dahulu.

Selesai tugasan saya esok, kemungkinan besar akan saya kongsikan juga. Semoga esok mendatangkan lebih banyak ion-ion positif sepanjang saya bersamanya. Ya Allah tolong cas kami-kami yang akan saling bekerjasama di esok hari.

Saya mahu membayangkan yang indah-indah saja buat masa sekarang. Amin.

nikmat
Pokok bunga orkid ini mak yang tanam. Tangan mak memang menjadi tanam pokok spesies ini.

Lalu, apa modal saya untuk berkongsi cerita nikmat yang perlu disyukuri ini?

Cerita tentang anak pun bagus jugakan? Macam tak menarik saja. Perjalanan harian saya hari ini pun biasa-biasa saja. Ambil baju untuk pengambaran di Butik Ariani dan Butik kak Saidatulnisa.

Itu semua rutin yang hampir sama sejak berbelas tahun saya bergelar wartawan majalah Mingguan Wanita.

Yalah, diam tak diam saya sudah melewati 9 tahun mengarang di situ. Lamanya…. dan sudah bermacam-macam perkara yang saya tempuh.

Jumpa orang susah, menemuramah wanita-wanita hebat, masuk ke rumah orang-orang berada. Walhal semua itu tidak pernah terbayang lansung di fikiran.

Baca juga : makna bahagia setiap orang berbeza, ini buktinya

nikmat
Salah satu ‘game’ tradisi yang Mirza cukup suka mainkan bersama kawan baiknya, Salim.

Tiada Buku Matematik

Saya ini hanyalah anak kampung dari tanah kelahiran Kampung Budiman, Meru. Abah saya hanyalah seorang tukang kayu yang sesekali membuat kerja-kerja kampung.

Mak saya pula bekerja kilang sebelum mengambil keputusan menjadi suri rumah sepenuh masa.

Dahulu hendak beli buku sekolah pun kami terpaksa berkira. Di sebabkan kesusahan, abah tak mampu pun hendak belikan saya buku matematik.

Ya, saya bersyukur kerana ketiadaan buku itu, akhirnya saya terjerumus ke dunia karang mengarang ini. Dan jangan berani-berani tanya saya tentang nombor.

Rahsia besar orang suratkhabar ini, mereka bukannya pandai sangat tentang nombor!

nikmat
Bunga apa ini ya. Lebat dan cantik bunganya. Semut api pun suka bertenggek di dahan dan daun pokok bunga ini.

Sampailah saya masuk universiti, segalanya perlu dicatu. Mujurlah yuran belajar di UiTM itu bukannya mahal mana. Semester akhir, yurannya cuma RM400 lebih (waktu itu). Sekarang tentu sudah berbeza.

Tapi waktu itu, harga sebegitu cukup mahal bagi saya. Atas alasan itulah, waktu di kolej saya tekad kuat-kuat mahu dapatkan subsidi duduk di asrama.

Sebab saya tahu abah bukannya orang senang yang boleh berikan saya belanja bulanan untuk sewa mahupun makan harian.

Jadi dari semester satu sampai enam, saya berjaya duduk di kolej. Makan pun subsidi juga di dewan makan Seroja 3. Waktu itu, saya sudah belajar erti survival.

Padahal, dulu saya ini hendak ke bandar Klang menaiki bas pun terketar-ketar. Pernah juga sepupu saya sinis memperli bila saya maklumkan tidak berani menaiki bas sendirian ke bandar Klang nan permai (ketika itu).

Baca juga : Belajar mensyukuri nikmat menjadi seorang isteri

Nikmat Syukur

Syukur alhamdulillah, walaupun orang kata wartawan itu mesti berani sendiri-sendiri cari berita tapi kebanyakan tugasan saya ada saja yang turut serta. Kalau tidak teman wartawan dari majalah lain, pasti ada jurugambar di sebelah.

Langkah berjaga-jaga pun masih perlu kita amalkan. Jangan terover ‘confidence’. Bahaya untuk kesihatan emosi. Segalanya perlu dilaksanakan dengan besederhana dan penuh hemah.

Cerita saya mula-mula bergelar pelajar praktikal di ‘Busines Times’ tak kurang kelakarnya. Waktu itu editor tugaskan saya ke satu tugasan yang saya pun sudah lupa nama lokasinya. Tempatnya dekat-dekat dengan Mandarin Oriental Hotel.

Ultraboy ibu yang manja dan gedik.

Saya ke sana dengan menaiki teksi. Ok, teksi pun berlalu meninggalkan saya di pintu masuk bangunan itu. Belum pun sempat saya melangkah mahu menaiki tangga, saya jatuh terjelepuk di hadapan sekumpulan wartawan dan jurugambar senior.

Oh… alangkah malunya. Rasa macam mahu lari pulang ke rumah. Tapi apakan daya, terpaksalah saya meneruskan saja emosi malu yang berpanjangan.

Kisah saya jatuh terkelempap itu bukan setakat itu. Ada bermacam siri cerita lucu yang membuatkan saya gelihati sendiri. Pernah juga saya jatuh di hadapan Datin Pearl yang manis dan baik hati.

Mujurlah waktu itu, saya sudah selesai menemuramahnya. Jurugambar saya pula hanya sempat memanggil lembut nama saya dan memandang saya yang sudahpun bersimpuh sopan di atas lantai.

Baca juga : Rahsia kebun abah, ada rezeki alam seluas lautan

nikmat
Abah yang lelah selepas memesin rumput seluas padang bola di kebun pisangnya. Abah saya kuat! Semoga abah sihat dan diringankanNya berhadapan penyakit semputnya. Amin.

Terharu Datin Pearl Masih Ingat

Rupa-rupanya peristiwa saya jatuh itu dah meninggalkan kesan yang mendalam pada Datin Pearl. Setelah bertahun-tahun saya tidak menghubunginya, baru-baru ini teman wartawan sempat bersembang dengannya di satu majlis rasmi.

Dalam elok berbual itu, dia bertanya sama ada saya masih ada lagi di Mingguan Wanita atau tidak? Tiba-tiba, saya rasa cukup terharu. Sebak, barangkali kenangan saya jatuh di hadapannya yang membuatkan dia tidak boleh lupa dengan wartawan yang satu ini. Wink! Wink!

Disclaimer : Catatan ini bertarikh 2 April 2014

Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis
Telegram : https://t.me/NettyAhHiyerTulis

Read More

2 Comments

  1. wanariahamiza April 8, 2014
  2. Netty Ah Hiyer April 11, 2014

Leave a Reply

error: Content is protected !!