pemasaran

Pilih Strategi Betul Dalam Pemasaran Produk Jualan

Pilih strategi betul dalam pemasaran produk jualan | Eh! Ada Fara fauzana. Dia buat apa di meja kerja saya. Bawa tuala wanita pula tu? Itu cuma gimik saja. Fara Fauzana tak datang pun Karangkraf, apatah lagi membawa tuala wanita. Suka suki, saya buat andaian ya!
 
Yang sebenar-benarnya, itu adalah sampel tuala wanita yang diedarkan oleh syarikat antarabangsa Kao (Malaysia) Sdn Bhd kepada karyawan KMK.

Dalamnya ada sampel ‘pad’ dan ‘panty liner’. Seronoknya jadi orang media ini, kalau ada apa-apa perkara baru kami pasti dapat tahu dahulu.

Sekarang ini saya lihat, syarikat-syarikat besar begini sudah ada strategi pemasaran mereka yang tersendiri.

Tidak semata-mata menjual produk kepada pelanggan tetapi memperkenalkan dan berkongsi kebaikan produk kepada pelanggan.

Bagaimana caranya? 

Strategi Pemasaran Terbaik Adalah Bahagiakan Pelanggan

Salah satunya adalah dengan apa yang mereka lakukan di atas. Memberikan sampel percuma kepada pelanggan lagi-lagi orang media ini.

Orang media seronok memakai, mereka mewar-warkan keseronokan itu kepada pembaca majalahnya. Pembaca terkesan dan akan cari produk itu di kedai langsung jadi pelanggan setia.

Cara itu lebih berkesan kerana dekat di hati para pelanggannya.

Berniaga Bukan Semata Kejar Untung

Begitulah halnya kalau kita mahu menjadi usahawan, jangan keterlaluan mengejar keuntungan. Perlu ada matlamat perniagaan yang jelas dan nilai dalam sesebuah perniagaan itu.

Mengapa mereka berniaga? Mahu kaya cepatkah? Mahu untung berganda-gandakah? Atau semata-mata seronok berkongsi kebaikan produk dengan pelanggan?
 
Selama hampir lapan tahun menjadi wartawan di meja Mingguan Wanita, pekerjaan yang paling saya suka adalah menemuramah para usahawan baik lelaki mahupun wanita.

Oh!
Bukan kerana saya suka setiap kali pulang akan membawa produk yang macam-macam.
Waktu mula-mula jadi wartawan dulu, mendapat freebies adalah satu perkara yang cukup menyeronokkan sekali. 
 
Sekarang ini pun seronok juga, cuma tidaklah seghairah dulu.

Saya anggap hadiah yang diberikan itu sebagai satu cara seseorang menghargai cara kerja saya. Saya tidak suka mengganggapnya rasuah. Kerana jika fikir begitu, begitulah jadinya. Ini pandangan personal saya ya.
 
Saya tahu soal pemberian hadiah ini terlalu sensitif untuk dibicarakan. Titik!

Gali Ilmu Dari Usahawan Berjaya

Mengapa saya amat gemar menemuramah para usahawan?

Kerana setiap daripada mereka mempunyai rahsia kejayaan yang secara tak langsung membangkitkan inspirasi dalam diri saya.

Kisah susah senang mereka berniaga, membuatkan saya bersyukur dan menghargai diri sendiri. Paling saya suka bila usahawan tidak lokek berkongsi cerita cemerlang dalam perniagaan. 
 
Macam-macam ilmu saya peroleh dan setiap input itu saya simpan kemas dalam hati.

Tapi satu perkara yang sering membuatkan saya hampir mati akal apabila ada peniaga memberitahu tentang ‘sebelum berjaya saya akan membuat penyelidikan dahulu’. 

Mengapa Usahawan Perlu Buat R&D

Sungguh kata-kata itu sentiasa bermain-main dalam minda saya yang terhad ini.

Mengapa perlu ada penyelidikan? Bagaimana mereka membuat penyelidikan? Pentingkah penyelidikan untuk berjaya? Apa kaedah yang mereka gunakan? Kalau saya bernasib baik, adalah usahawan yang sudi berkongsi cerita mengenainya.
 
Tak lama dulu saya pernah menemuramah kak Mona Din, usahawan fesyen yang kaya raya.

Antara tips penyelidikan yang dia pernah kongsi bersama adalah mencari ilham rekaan pakaian sampai jauh malam.

Baik di internet mahupun di majalah. Lalu, petua-petua yang telah dihimpun lama itupun saya aplikasikan dalam diri. 
 
Ya, internet adalah gedung ilmu yang cukup luas sekali. Dalamnya ada pelbagai cara, teknik dan apa sahaja perkara yang mahu saya cari.

En Suami juga selalu mengingatkan, tak perlu keluar berkepuk-kepuk duit untuk pergi kursus sana-sini. Di internet sahaja ilmunya bersepah-sepah.

Rajin tak rajin sahaja mencarinya.

Baca : Karipap berderai, ada teladan perlu difahami

Betulkan Niat Dalam Setiap Usaha

Sememangnya en Suami cukup suka mencabar saya.

Dalam dunia berblogging mahupun segala macam perkara berkaitan dengan internet, jarang sekali dia mahu berkongsi ilmu.

Walhal di Karangkraf dialah orang kuat IT. Tetap dia tak mahu memanjakan saya bab yang satu itu. Sudahnya, saya explore sendiri.
 
Daripada tidak tahu langsung tentang blogspot (ketika itu saya gunakan medium blogspot untuk berblogging). Alhamdulillah, tidak lagi merangkak-rangkak.

Sekarang ini, saya ‘explore’ pula wordpress yang tak kurang mencabarnya.

Kata kuncinya, rajin tak rajin saja. Kalau rajin, perkara-perkara yang mustahil pun boleh jadi tak mustahil. 
 
Selesai urusan penyelidikan, usahawan perlu memasarkan produknya.

Bagaimana mahu memasarkan produk? Strategi pemasaran juga antara kelemahan yang ada pada usahawan Melayu. Sebab itulah kursus Dr Azizan Osman boleh cecah sehingga ratusan ribu.

Kerana beliau seorang pakar dalam dunia pemasaran. Ilmu pemasarannya antara yang terbaik di negara kita. 
 
Usahawan sanggup membayar puluhan ribu semata-mata mahu berkongsi ilmu pemasaran yang ada padanya. Itu pakar pemasaran yang sudah ada nama dan bila saya sebut semua orang kenal.

Ada juga sifu pemasaran internet yang hebat-hebat dan tak lokek ilmu. Mahu tahu siapa? carilah dalam carian google. Kata mahu jadi usahawan internet, kenalah rajin.

Baca : Menulis dari hati biar sampai ke jiwa pembaca

Pentingnya Pemasaran Internet

Mengapa pemasaran internet ini cukup penting sekali? Kerana sekarang ini semuanya serba di hujung jari.

Pusing keliling, dunia android mahupun tablet sudah menguasai ruang lingkup hidup kita. Kata mudahnya, semua orang gila gadget.

Hatta, pakcik yang umur 60 tahun pun tak sabar mahu buka akaun facebook. Itu belum lagi cerita soal twitter, we chat, whatsapp dan sebagainya. Mahu terbelit otak memikirkan.  Namun, itulah realitinya. 
 
Dunia di hujung jari cukup memudahkan usahawan mahupun pembeli berkomunikasi. Cuma kepercayaan itulah yang sukar untuk dicari.

Andai tidak memegang amanah yang betul, mudahlah penipuan berlaku. Sebab itulah perlunya berbalik kepada niat dalam berniaga.

Carilah niat yang betul dan dengan tujuan mencari redha Allah. Hanya dengan rahmat dan redhaNya inilah yang membolehkan kita hidup bahagia malah kaya dunia dan akhirat. Insyaallah.

Mahu tahu promosi terbaru tentang produk Kao? Layari facebook/Kaolaurier
 
Disclaimer : Catatan ini bertarikh 26 September 2013

Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis
Telegram : https://t.me/NettyAhHiyerTulis

2 Comments

  1. Andi May 6, 2021

Leave a Reply

error: Content is protected !!