sambal-tomato-cili-padi-simple

4 Sambal Tomato Cili Padi Simple Paling Sedap

Resepi sambal tomato cili padi ini paling sedap pernah saya masak. Bahan-bahan masakannya pun ringkas saja. Tiada penggunaan belacan, bilis apatah lagi perahan limau.

Asalnya untuk hidangan makan malam, saya dah siap goreng ikan (lupa pulak nama ikan apa) perap garam asam jawa.

Kebetulan ada salad hijau dekat rumah. Tak syok pulak makan nasi tak ada rasa pedas cili. Maka, tergigihlah menyambal sambal lada tomato ni.

Masak campak-campak je pun. Tak sangka, resepi sambal cili padi yang simple macam ini rasanya sedap yakmat. Macam sambal ayam penyet Indonesia restoran terkenallah.

Takpekan overclaim.

Jom, tengok macamana cara buat sambal tomato goreng saya ini.

Resepi Sambal Tomato Cili Padi Simple

Masa memasak : 20 minit siap wak!

Bahan-bahan Diperlukan

  • Sebiji bawang merah India (bawang ini warna dia lebih ungu)
  • 3 ulas bawang putih
  • Segenggam penuh cili padi (merah dan hijau)
  • 5 biji tomato ceri – belah 2
  • Garam
  • Gula
  • Perasa Knorr
  • Minyak untuk menumis

Cara Buat Sambal Cili Tomato

  1. Tumbuk dulu bawang putih dalam lesung batu.
  2. Kemudian, baru tumbuk bawang merah.
  3. Last sekali, tumbuk cili padi. Tak perlu halus. Kasar-kasar pun boleh.
sambal-tomato-cili-padi

Sambal Tomato Tumis Dalam Minyak Yang Banyak

  • Panaskan minyak yang banyak dalam kuali. Kenapa guna minyak banyak. Sebab nak bagi semua bahan tumbuk ini masak sekata.
  • Lagipun, saya tak guna langsung air dalam sambal cili tomato ini semasa menumis. Kata wikipedia, cara menumis, menggoreng begini namanya teknik shallow frying. Macam masak daging ketumbar Dato Rizalman yang saya pernah share sebelum ini. Gitulah tekniknya.
  • Bila minyak dah panas, masukkan bahan tumbuk tadi.
  • Bahan tumbuk dah naik bau, masukkan tomato ceri.
  • Kacau sekata, sampai tomato ceri tu layu. Saya tekan-tekan sikit bagi tomato sebati dengan cili padi bagai.
  • Masukkan garam, gula dan perasa Knorr. Seimbangkan rasa.

Angkat Bila Bahan Masakan Dah Matang, Garing

  • Terus tumis sampai bahan matang. Ikutlah anda nak garing sambal tomato simple ini macam mana.
  • Dah puas hati, bolehlah matikan api dan angkat.

Kalau anda perasan, sambal saya ini tak gunakan belacan pun. Haa.. walaupun resepi sambal tomato tanpa belacan tetap sedap. Sebabnya, en Yem kan gout. Belacan itulah pantang dia.

Suka atau tidak kenalah juga buat sambal tanpa belacan.

Baca : Masak sambal udang petai kayangan yang mudah

Cara Hidang Sambal Tomato Simple, Elak Minyak Melimpah

Sebab tadi kan menumis dengan minyak yang banyakkan. Tak naklah nanti lebih minyak dari sambal. Maka, saya gunakan penapis.

Letakkan bahan tumisan sambal cili api dengan tomato tadi dalam penapis. Tapislah minyaknya.

Dapatlah kita nikmati resepi sambal tomato dengan lebih enak. Saya tak perah jus lemon pun. Sebab rasa sambal ni sendiri dah kick semacam.

sambal-tomato-cili-padi-simple

Makan pulak dengan nasi panas, campur salad dan ikan goreng asam jawa. Ya ampun! Sedapnya resepi sambal tomato simple ini, suami tegur pun tak perasan.

Serius! Sedap.

Saya pernah juga kongsikan resepi ayam goreng sambal tomato dan sambal cili padi yang padu sebelum ini. Pun menarik rasa dia sebab guna cili kering.

Resepi Tomato Masak Tumis

Tomato masak tumis ini sememangnya masakan yang selalu mak buat bila saya kecil-kecil dulu. Maklumlah waktu itu kan bukannya senang mana.

Sayur tomato inilah yang antara yang murah dan mudah untuk di dapati di kedai runcit.

Cuma resepi ini saya olah ikut bahan lebih ada dalam peti ais. Kalau original dari mak memang guna tomato, cili, bawang putih, bawang merah, bilis dan belacan semata.

Sebab ada belacan, saya makan anak beranak sajalah. En Yem tak gemar sangat lauk gini.

Bahan-bahan dan sukatan :

  • 4 biji Tomato segar – belah 6/8 (ikut saiz tomato lah ya – saya punya ni saiz besar jugak)
  • 2 biji Bawang merah – hiris
  • 1 ulas Bawang putih – hiris
  • Suku Cili benggala merah – hiris
  • Suku Cili benggala kuning – hiris
  • 5 tangkai cili padi – hiris
  • Sikit belacan
  • Sikit ikan bilis
  • Gula/garam/perasa (optional)
  • Minyak untuk menumis

Cara Masak Tomato Tumis Belacan

  1. Panaskan minyak, masukkan ikan bilis dulu. Dah separuh garing masukkan belacan dan semua bahan hiris, kecuali cili benggala tu.
  2. Tumis sampai garing, naik bau.
  3. Masukkan tomato. Kacau sampai layu. Bila dah layu macam yang kita bayangkan (hahaha pandai-pandailah bayangkan sendiri ya) masukkan cili benggala.
  4. Kacau seketika masukkan gula, garam, perasa.
  5. Kacau sebati dan rasalah dulu. Bila dah dapat balancekan rasa tu baru matikan api.
  6. Sebab tomato ni masamkan. Gula dengan garam tu memang kena pandai imbangkan.

Resepi Sambal Tomato Mentah Indonesia

Selain sambal tomato cili padi ala Jawa yang pedas macam yang saya kongsikan dekat atas tu, ada satu lagi sambal tomato mentah Indonesia yang menarik untuk dicuba.

Sambalnya macam nak buat sambal belacan tu.

Youtuber Indonesia menamakannya ‘Sambal Terasi Tomat Entah (mentah)

  • Bahan sambal tomato mentah : cili padi, belacan (bakarlah dulu ya – saya ini orang Jawa, entah kenapa belacan mesti kena dibakar dulu), tomato, bawang merah, limau nipis atau limau kasturi, gula, garam dan perasa.

Sambal tomato Indonesia ini tak perlu pun dimasak. Mungkin sebab itulah dipanggil mentah.

Nak lagi sedap kesemua bahan ini perlu dilenyek lumat menggunakan cobek batu gunung berapi. Atau diaorang panggil batu uleg.

Baca juga : Cara buat sambal ayam penyet Wong Solo tersimple pedas

Cara buat sambal tomato mentah

  • Lenyekkan dulu cili padi, belacan, garam, gula dan perasa.
  • Dah lumat, masukkan tomato yang dihiris kecil. Lenyek sampai lumat.
  • Masukkan pula bawang dan lenyekkan lagi. Kalau guna lesung batu, kenalah tumbuk halus ya.
  • Akhir sekali perahkan limau dan boleh saja masukkan dengan limau-limaunya sekali. Buanglah bijinya ya untuk hilangkan rasa pahit tu.

Sambal tomato macam ini sedap dijadikan pencicah ikan bakar. Jadikan lauk makan tengahari pulak tu. Huii.. pedas-pedas membuka selera betul.

sambal cili

Resepi Sambal Cili Padi Simple

Masa memasak : 20 minit

Bahan-bahan

  • 5 tangkai cili merah besar
  • 5 tangkai cili hijau besar
  • 5 tangkai cili padi hijau
  • 1 labu bawang putih
  • Garam, perasa

Cara Buat Sambal Cili

  1. Basuh bersih kesemua bahan. Panaskan minyak dan masukkan segala cili dan bawang putih. Sebaiknya tutup kuali kerana bahan tumisan ini mudah terpercik. Selepas dua ke tiga minit, boleh matikan api.
  2. Setelah suam, boleh masukkan kesemua bahan dalam pengisar dan blend sampai lumat.
  3. Panaskan minyak dalam kuali dan masukkan bahan kisar tadi. Tumis sampai terbit minyak.
  4. Perasakan dengan garam dan perasa.

Baca juga : Rendang hitam

Tags:

6 Comments

  1. Miss Niyda September 6, 2021
  2. Maria Firdz September 7, 2021
    • nettyahhiyer September 7, 2021
  3. ZAIDALIFAH HUSSIN September 8, 2021
    • nettyahhiyer September 8, 2021

Leave a Reply

error: Content is protected !!