Kalau pergi restoran Chicken Rice Shop tak sah tak makan sambal halia. Sambal halia Chicken Rice Shop ini dihidang bersama nasi ayam Hainan.
Walau cuma guna bawang putih dan halia saja. Sedap rasanya. Kalau ada ayam kukus bersos kicap, sambal cili nasi ayam lagilah lengkap.
Sebelum ini saya pernah mencuba resepi sambal halia macam dekat restoran The Chicken Rice Shop. Tetapi rasa dia tidak sesedap resepi saya kongsi ini.
Resepi Sambal Halia Chicken Rice Shop
Durasi memasak : 20 minit
Bahan-bahan
- 2 inci halia (lebih sedap guna halia muda)
- 7 ulas bawang putih
- Garam, perasa
- Sedikit cuka
- Minyak
- Sedikit daun sup
Cara Buat Sambal Halia Nasi Ayam
- Tumbuk halia dengan bawang putih.
- Perasakan dengan garam dan ajinamoto ikut citarasa. Titiskan dua tiga titis cuka dalam bahan tumbuk.
- Panaskan minyak sampai betul-betul panas. Matikan api dan masukkan bahan tumbuk. Kacau sampai sebati dengan minyak.
- Kena cepatlah ya, kalau lama-lama takut terhangit pula nanti.
- Bila dah masukkan dalam mangkuk, taburkanlah daun sup.
- Siap sambal halia nasi ayam.
Resepi Mudah Sambal Halia Untuk Orang Berpantang
Durasi memasak : 15 minit
Bahan-bahan
- 1 inci halia muda
- 1 sudu kecil lada hitam
- 1 ulas bawang putih
- Sedikit ikan bilis goreng dalam minyak yang sedikit
Cara Membuat Sambal Halia Berpantang Bersalin
- Tumbuk kesemua bahan mentah sampai halus. Tak perlu dimasak. Boleh terus dimakan mentah dengan nasi panas.
- Jika, bayi anda mengalami demam kuning tak perlu masukkan lada hitam dalam bahan masakan ini. Lada hitam itu panas sifatnya.
- Bagaimanapun, sambal halia ini bagus untuk membuang angin dalam badan.
Baca juga : Makanan Orang Berpantang
Info Masakan
Boleh juga tukar ajinamoto dengan sesudu dua stok ayam. Nak tambah minyak bijan sikit pun boleh. Akan lebih berbau wangi macam sambal halia chicken rice shop nanti jadinya.
Cuma, anak-anak saya ini tak gemar bau minyak bijan tu. Tidaklah saya mencampurkannya dalam sambal halia ini.
Daun sup itu pun ekstra letak. Kalau tak nak masukkan pun sedap juga.
Saya gunakan lesung batu untuk melumatkan halia dan bawang putih. Sebab mahukan tekstur kasar-kasar itu. Dan tak mahu mencampurkan dengan air pun iya. Kalau guna blender, kena masukkan air kan.
Kalau ada chopper pun boleh juga guna sebenarnya. Cuma bila menumbuk ini rasanya lebih enak dan tradisional gitu.
Selain nasi ayam Hainan ini, ada juga versi nasi ayam thai yang unik sambalnya. Gunakan daun ketumbar sebagai bahan asasnya.
Sambal bawang putih halia pun bagus untuk orang berpantang sebenarnya. Cuma resepi sambal halia untuk orang berpantang ini tak perlu digoreng dengan minyak yang banyak. Tambahkan lada hitam, tumbuk mentah-mentah.
Cukup sekadar menggunakan sedikit minyak saja. Anda boleh juga buat serunding halia untuk orang berpantang dengan menggunakan resepi airfryer.
Kalori Nasi Ayam
Bagi satu hidangan sepinggan nasi ayam bersamaan 278 kalori. Manakala untuk setiap 100 gram nasi ayam bersamaan 121 kalori.
Apa Beza Halia Muda Dan Halia Tua
Halia ini pun ada beza halia tua dan muda. Halia muda ini kulitnya lebih licin dan warna kecoklatan. Manakala halia tua ini kulitnya lebih kasar dan warnanya lebih coklat gelap.
Rasa halia muda pun berbeza daripada halia tua. Halia muda lebih lembut, manakala halia tua lebih kuat dan tajam rasa dia. Teksturnya pun lebih keras.
Sebab itulah, halia tua ini lebih sesuai untuk dibuat masak rendang mahupun kari. Malah, masakan berkuah macam sup daging tetel.
Jadi, untuk sambal halia nasi ayam hainan ini penggunaan halia muda akan membangkitkan aroma lembut pada sambal bawang putih halia itu nanti.
Jenis halia muda mahupun tua ini, boleh anda dapati dengan mudah di pasaraya borong seperti NSK, Segi malah Econsave. Harga halia muda dan harga halia tua juga tidak sama.
Setelah mengetahui info yang dikongsikan ini, diharap masakan akan jadi lebih enak lagi nantinya.
Sedap kan, saya juga suka sambal halia ni. Nampaknya bolehlah saya juga belajar buat sendiri 🙂
Sila-sila.. seronok juga bila pandai ni.. hihi
kalau pergi CRS memang suka makan nasi ayam dengan sambal halia ni. nanti boleh lah try ikut resipi nett ni, terbaik.