aziz-sattar

Aziz Sattar Tak Sunyi Disapa Orang Sekeliling

Aziz Sattar tak sunyi disapa orang sekeliling | Ketika itu kak Nuri mahu adakan kolum baru ‘Minda Artis’, kebetulannya nama saya naik dalam senarai tugasan pertama.

Kata kak Nuri mahu upgrade kolum hiburan di majalah Mingguan Wanita yang nampaknya semakin tepu ketika itu.

(Bukan industri hiburan tu yang tepu, tapi wartawan yang nak buat pengisian kolum hiburan tu yang dah tepu.. hahaha)

Kadangkala bertahun menulis hal yang sama pun bosan juga.

Semeja Dengan Pak Aziz Sattar, Sentiasa Disapa Orang Sekeliling

Saya masih ingat lagi sesi interview itu cuma berlangsung di kafe Karangkraf.

Kami duduk di meja sudut (tersorok agar tak ganggu pelanggan lain).

Tapi meja kami tak pernah sunyi.

Hampir siapa saja yang masuk ke kafe Karangkraf akan berhenti dan menyapa Pak Aziz. Sungguh lah, aura Allahyarham Pak Aziz ni lain macam.

Malah, boss Nasir (Datuk Muhamad Nasir Bin Hj Hamzah) yang kebetulan ke kafe pun berhenti dan menyapa.

Saya ulang siar kisah bersama arwah yang pernah saya kongsikan pada tahun 2014 :

Pertemuan Dengan Pak Aziz Meninggalkan Kenangan Indah

Telah dua hari allahyarham Datuk Aziz Sattar yang lebih senang membahasakan dirinya ‘bapak’ meninggalkan kita semua.

Ternyata Allah lebih sayangkan seniman terakhir ‘Bujang Lapok’ ini dan memanggil beliau pulang kepangkuanNya pada usia 89 tahun.

Walaupun pertemuan saya bersama Pak Aziz Sattar ini sekali cuma, namun ia sentiasa meninggalkan kesan yang cukup dekat di jiwa saya.

Penghujung tahun 2011, Kak Nuri (ketika itu Editor Pengurusan Kanan) merancang memberi nafas baru untuk kolum hiburan yang semakin tepu.

Hasil penelitiannya, Kak Nuri mahu adakan sebuah ruangan berjudul ‘Minda Artis’.

Ia berbentuk Q&A (Soal Jawab) antara wartawan dan artis.

Isunya boleh berkaitan apa sahaja termasuklah soal dunia hiburan, isu semasa malah perihal dunia sekalipun boleh diajukan pertanyaan pada artis.

Falsafah di sebalik pembikinan ruangan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pembaca bahawa artis Malaysia itu berpengetahuan.

Bukan sahaja dalam bidangnya malah apa sahaja isu yang berlaku di persekitarannya.

Berdebar Menanti Kedatangan

Orang pertama yang diberikan tanggungjawab itu adalah saya.
(Sebenarnya kebetulan waktu itu di jadual kerja nama saya yang tertera).

Tidak boleh mencari sebarangan artis.
Perlukan seseorang yang benar-benar ‘otai’ dalam industri.

Saya mencari di internet nombor telefon artis yang begitu ingin saya temui. Siapa lagi kalau bukan Pak Aziz Sattar.

Lalu, saya menghubungi beliau dan menetapkan temujanji.

Awalnya saya mahu menemuramah di rumahnya tapi Pak Aziz Sattar dengan rendah hati memaklumkan rumahnya kecil dan tidak sesuai untuk ditemubual.

Ada cucu-cucu dan bimbang membuatkan temubual menjadi tidak selesa.

Saya akan ke karangkraf,” ujarnya membuatkan saya semakin berdebar-debar.

Rakan-rakan wartawan yang lain, masing-masing sudah memerli. Tidak patut kata mereka, minta seniman sehebat itu datang ke pejabat kami di Shah Alam.

Saya tak paksa, Pak Aziz sendiri yang mahu datang.” Jawab saya mempertahankan

Hari yang dinanti tiba juga.

Tanggal 30 November 2011, lelaki berkemeja batik abstrak bertubuh sederhana itu meredah lebuhraya Persekutuan, berpusing di bulatan seksyen 15.

Dan akhirnya memberhentikan kenderaan yang dipandu sendiri di perkarangan Kompleks Media Karangkraf.

Terbayang Cerita Layar Hitam-Putih

Langkah penuh cermat di atur dan kami membawanya ke kafeteria.

Pak Aziz  belum sarapan ketika itu.

Pesanan Pak Aziz Sattar masuk buku saya. Saya gembira kerana dapat berbuat sesuatu untuk orang yang saya hormati.

Bukan sahaja saya, sesiapa yang menemuinya pasti menyapa. Malah hari itu, En Nasir yang juga ‘Board of Director’ kami tak melepaskan peluang merakam kenangan bersama.

Sungguh pertemuan itu benar-benar terkesan di hati.

Menerusi beliau seolah-olah saya mengenali selebih dua orang seniman Bujang Lapok yang telah tiada.

Ia membuatkan minda saya menerawang jauh membayangkan seolah-olah berada di studio Jalan Ampas bersama insan yang sudah melekat disanubari sejak saya kecil lagi.

Saya membesar dengan cerita layar hitam-putih itu.

Dendangan lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee adalah lagu kegemaran saya. Muzik klasik itu sentiasa mententeramkan jiwa kala dihimpit bahang stress bergelar pelajar.

Lalu apakah yang paling istimewa tentang pertemuan itu?
Ia menemukan saya tentang sesuatu yang indah tentang Allahyarham.

Pak Aziz ini cukup aktif orangnya. Aktivitinya sentiasa padat dengan pelbagai jemputan ceramah di sekolah mahupun universiti.

Ada satu pesanan Pak Aziz yang masih melekat di hati adalah tentang menjaga solat.

Aziz Sattar

Dan amalan itulah yang membuatkan tubuhnya sentiasa sihat dan cergas.

Situasi yang sama pernah saya temukan ketika menemuramah Dato’ Hattan.

Itulah yang pernah Dato’ Hattan kongsikan. “Selama ini saya mencari ke sana ke mari. Rupa-rupanya rahsia itu hanyalah menjaga solat.”

Dato’ Hattan

Jenaka Pak Aziz Sattar

Hari itu, Pak Aziz kongsikan cerita yang sama ditambah cerita jenaka tentang banjir.

Katanya, waktu itu berlaku banjir di set pengambaran.
Pak Sudin dengan cemas berlari-lari sambil minta kawan-kawan selamatkan diri sebab banjir sudah sampai ke paras pinggang Ibrahim Pendek.

Kawan-kawan yang dengar kelam kabut mahu berlari.

Kemudian mereka terfikir,  bukankah paras pinggang Ibrahim Pendek cuma separas lutut mereka saja? Itulah yang menimbulkan kelucuan dan cerita itu langsung di bawa ke atas pentas.

Ya, cerita itu membuatkan kami (saya dan jurugambar) berasa senang sekali.

Tidak mahu rasanya bangun dari kerusi dan mahu terus mendengar cerita-cerita ‘behind the scene’ industri perfileman dahulu.

Setiap tutur kata Pak Aziz pasti ada humornya.
Lelaki ini sememangnya ‘comedian’ sejati.

Ya Allah tempatkan roh Allahyarham Pak Aziz di kalangan orang-orang beriman dan dirahmatiNya. Amin.

Sebelum mengakhiri bicara, saya kongsi di laman ini artikel ‘Minda Artis’ yang pertama kali di siarkan di Mingguan Wanita tidak lama dahulu.

Yang saya kongsikan ini edisi ‘uncut’. Maksudnya tidak diedit akibat kekurangan ruang di majalah atau hal-hal lain yang berkaitan dengan dunia penerbitan.

Baca : Rahsia cinta Pak Hamid Gurkha dan Makcik Fatimah

Bicara Minda Lagenda Pelawak Negara, Pak Aziz Sattar

Studio Jalan Ampas dan filem-filem arahan Tan Sri P Ramlee begitu sinonim dengan nama seniman negara Datuk Aziz Sattar.

Menerusi lontaran dialog dan watak lakonan yang dimainkan membuatkan namanya terus meniti di bibir rakyat Malaysia sehingga 6 dekad lamanya.

Pastinya tidak ramai pelakon seumpamanya yang mampu menghasilkan lakonan hebat sekaligus meninggalkan kesan di jiwa para penonton untuk satu-satu tempoh yang panjang.

Datuk Aziz Sattar atau lebih mesra dengan panggilan Pak Aziz ini telah membuktikan apa yang diusahakan oleh artis-artis terdahulu mampu dijiwai peminat sekaligus menjadi panduan kepada generasi akan datang.

Pertemuan singkat yang berlangsung antara Datuk Aziz Sattar dengan Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf menjawab beberapa persoalan mengenai industri seni tanahair, pengiktirafan seseorang artis dan perjuangan Datuk Aziz Sattar terhadap nasib artis-artis veteran di negara ini.

Artis Veteran Masih Berlakon

MW : Bagaimana Pak Aziz melihat senario sesetengah artis yang masih perlu berlakon pada usia emas?

Setiap manusia akan meningkat usianya. Tetapi itu tidak bermakna umur tua seseorang itu tidak boleh berbuat apa-apa hanya menunggu anak-anak menyara hidup kita.

Saya melihat konsep usia panjang sebagai satu anugerah daripada Allah.

Bermakna saya masih boleh bekerja dan diberikan kesihatan yang baik membuatkan saya masih boleh berusaha sampai sekarang.

Saya tak pernah minta apa-apa, tetapi bila saya sakit anak-anak pasti akan mengambil berat. Apabila kita terlalu memikirkan soal malas, esok lusa ia akan menjadi satu hobi yang akan merosakkan tenaga. Kita perlu sentiasa berusaha dan bergerak agar dimurahkan rezeki.

Sememangnya artis-artis kita tidak mempunyai simpanan hari tua kerana kerja mereka dibayar secara kontrak.

Di Singapura (dahulu) juga begitu, gaji artis sahaja dipotong tetapi bonusnya tidak. Jadi bila sudah meningkat usia, pendapatan kami tidak dapat seperti orang lain.

Saya amat berharap kiranya, penerbit-penerbit menyediakan kemudahan simpanan hari tua untuk para pelakon mereka. Yang mana, buat masa sekarang kemudahan sebegini belum ada lagi.

Pak Aziz Sattar Aktif Orangnya

MW : Pak Aziz sendiri masih sedia bekerja sampai hari ini? Tidak letihkah?

Sekarang ini orang masih panggil berlakon. Kalau tak ada kerja lain, saya pergi berceramah di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Saya tak minta apa-apapun, orang beri saya ambil, kalau tidak, tak mengapa. Tujuan saya hendak beramal kepada masyarakat. 

Walaupun saya berlakon, tapi saya tak tinggal solat lima waktu. Kerana ibadah itulah yang membantu kita. Insyaallah, ada bekalan untuk kita disana.

Mudah-mudahan amalan terbaik yang kita buat itu diterima Allah.

Artis Perlu Bijak Rancang Kewangan

MW : Adakah itu juga bermakna artis sendiri perlu bijak merancang kewangan mereka?

Itu terserah pada diri masing-masing. Saya paling takut berhutang. Orang tua saya pernah bertanya, siapakah orang yang paling senang hidupnya.

Saya bilang, orang kaya. Bapa saya pula bilang, bukan orang kaya yang paling senang, tapi orang yang tak ada hutang yang paling senang dalam hidupnya.

Jadi saya pegang kata-kata itu. Lagipun, seorang ulama juga pernah berkata hutang sudah termasuk dalam satu penyakit yang terbesar dalam dunia.

Umpamanya, apabila kita dapat seringgit, belanjakan 50 sen dan selebihnya disimpan. Alhamdulillah, sampai hari ini saya dapat kumpul wang dan membeli kereta dan rumah PPR secara tunai.

Bukan soal rumah flat, tapi saya fikir rumah yang saya duduk selesa untuk kami berdua itu sudah mencukupi.

Saya juga tidak perlu bimbang dengan ketukan pintu dari orang-orang yang menuntut hutang. Kalau rumah besar, tetapi berhutang bukankah itu akan lebih menyusahkan.

Kalau tak terdaya, mengapa kita hendak tonjol-tonjolkan. Itu pada saya, orang lain saya tak tahu masing-masing ada cara hidup sendiri.

Royalti Filem Lakonan Aziz Sattar

MW : Bagaimana dengan filem-filem Pak Aziz yang ditayangkan di televisyen? Tidakkah mendapat bayaran royalti darinya.

Saya tidak dapat royalty dari filem yang saya lakonkan dengan P Ramlee di Jalan Ampas. Sampai sekarang ia ditayangkan, saya tidak merasa duit satu sen itu dibelah empat.

Sedangkan di pihak yang satu lagi sudah merasainya. Saya pernah mengemukakan perkara ini kepada pihak penerbit di Singapura dulu.

Dalam perjanjian ia mengatakan yang saya tidak dibenarkan berlakon dengan syarikat lain selama lima tahun dan saya tidak dibenarkan ke luar negeri.

Tapi perjanjian itu tidak termasuk soal tayangan filem di televisyen. Apa yang saya tuntut adalah tayangan di televisyen.

Lalu dia jawab, filem itu hak mereka. Benar saya akui itu, tapi dia lupa yang ‘talent’ itu hak siapa? Tanpa ‘talent’ dapatkan filem itu ditayangkan?

Saya berharap pihak kerajaan dapat membantu kami mengemukakan perkara ini kepada pihak tertentu supaya yang masih hidup ini dapat merasa sedikit.

Tak banyak, sedikitpun jadilah. Mungkin itu akan menjadi ubat buat kami selama kita berkorban menjayakan usaha mereka.

Hasil Karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee

MW : Bagaimana Pak Aziz melihat hasil kerja Tan Sri P Ramlee?

Orang selalu bertanya, filem P Ramlee boleh tengok berkali-kali. Mengapa? Kerana keikhlasannya. Sewaktu mengarah, P Ramlee akan didik orang lain sampai jadi bagus.

Dia tidak mahu bagus seorang diri. Lihat sahaja dalam ‘title’ nama pelakon, dia boleh dahulukan namanya tapi dia letakkan nama saya dan Sudin di atas namanya.

Lihat juga tiada seorang pun pelakon perempuan yang gagal masa zamannya. Ini yang menjadikan orang sukakan dia.

Mengapa bayaran artis veteran dan artis baru dibeza-bezakan? Sedangkan artis veteran itu jauh lebih berpengalaman dalam bidang lakonan?

Persoalannya mengapa ia boleh jadi begitu? Kalau sesetengah pihak boleh menghargai saya, mengapa tidak di pihak yang lain.

Tidakkah mereka fikir apa yang saya rasa? Saya pernah ditawarkan dengan bayaran yang tidak setimpal.

Yang sebelum itu, tawaran yang sama pernah diberikan kepada rakan baik saya dalam industri ini. Kalau saya terima tawaran itu, apa perasaan kawan saya.

Saya tidak mahu mengkhianatinya. Mungkin inilah sifat orang kita. Waktu di Jalan Ampas dahulu pun tidak begitu. Contohnya seniman Ahmad Nisfu, satu hari ‘shooting’ dia dibayar RM75 jika sekarang menyamai RM800.

Tapi P Ramlee sanggup ‘shooting’ sampai 3 ke 4 hari kerana nawaitu mahu bantu kawan dapatkan bayaran yang setimpal.

Gosip Jalan Ampas

MW : Berlakukah gosip artis pada zaman Pak Aziz?

Kalau tengok majalah dulu-dulu, tak keluar cerita-cerita gosip.

Dulu saya boleh tengok wayang berdua dengan Saadiah selama seminggu. Tak adapun gosip kerana nawaitu masing-masing. Allah lindungi. Dulu minum di warung kopi pun boleh. Sekarang? Coffe house…

Lagipun, dahulu kami tak mengejar glamour. Hari ini, banyak dipengaruhi oleh kemewahan sehingga melihat dunia seolah-olah syurga.

Waktu zaman kami, orang tengah susah. Hendak membeli tiket berharga 30 sen pun orang tak mampu. Sanggup mereka duduk di luar. Sangat susah waktu itu. Kerana melihat keadaan itulah, P Ramlee rasa insaf dan timbul satu pendapat bahawa ‘Seni bukan untuk wang, tapi seni untuk masyarakat’.

Itulah perjuangan kami dahulu, Alhamdulillah, mungkin kerana nawaitu itulah kami disanjung sampai sekarang. Walaupun sudah 39 tahun P Ramlee dah meninggalkan kita, jasanya masih dikenang sampai hari ini.

Makna Pelawak Sejati

MW : Komen Pak Aziz mengenai pelawak sejati.

Saya sendiri tidak berani bilang diri sebagai pelawak kerana saya tidak tahu sejauh mana kebolehan saya. Dahulu, saya ada pakai kostum, tapi bila saya pulang malam hari saya terfikir yang saya perlu betulkan kembali konsep lawak itu.

Orang ketawa bukan kerana pakaian kita tetapi gerak geri dan penyampaian kita. Jadi saya pesan pada P Ramlee yang malam itu kami akan melawak di sekolah orang putih. 

Saya gunakan ‘broken English’ tapi orang ketawa terbahak-bahak.

Bila balik saya faham yang lawak itu bukan kerana baju, topi atau misai tapi apa yang kita sampaikan. Sebab itulah dalam filem Bujang Lapok, ia tidak dilakukan sampai berlebihan.

Itulah ilmu yang mula-mula kita dapat dan disampaikan sampai hari ini. Lawak sebenarnya adalah cerita yang disampaikan dan bagaimana hendak membuatkan orang ketawa dengan cerita itu.

Komedi tidak perlu mencarut. Ia perlu disampaikan dengan cara memberi ilmu kepada penonton. 

Pelawak perlu mencari satu bahan yang boleh memberi kesan atau ikutan kepada anak muda supaya generasi akan datang boleh melakukan seperti kita, Bukannya meniru tetapi untuk dijadikan contoh.

Relevankah Persatuan Artis

Saya tubuhkan Kebajikan Artis-artis Veteran untuk membantu artis kita bukan bayaran bulanan tetapi bantuan jika sakit di hospital kerajaan mahupun soal kematian.

Untuk taja bulanan kami belum mampu. Ini kerana, kami prihatin dengan nasib para pelakon kita. Kebanyakan artis bila disuruh masuk persatuan akan kata apa persatuan boleh beri?

Tapi dia lupa, biasanya kita bekerja dapat gaji dahulu atau gaji dapat dahulu?

Tidak ada satu majikan yang ambil orang bekerja dengan memberi gaji dahulu. Itulah satu masalah yang paling berat sekali untuk kita fikirkan.

Walaupun begitu,kita akan terus berusaha dan teruskan usaha ini. Semoga Allah membantu kita. Lagipun segalanya datang dariNya dan ia memerlukan juga kerjasama semua.

Disclaimer : Ini catatan 9 May, 2014

Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis

Leave a Reply

error: Content is protected !!