Cara Buat Kerang Bakar Gebu Macam Kedai

Begini cara saya masak kerang bakar dalam pemanggang ajaib. Cara ini buatkan isi kerang tetap gebu gebas dan rasa meletus-letus ketika di kunyah dalam mulut.

Cara buat kerang bakar ini dah lama saya praktikkan. Kerang ini saya beli dengan sorang akak yang meniaga di Meru ini. Setiap kali ada kerang ke lala akak ni akak whatsapp saya.

Tahun 2021 harga kerang sekilo RM10. Sekarang harga kerang saiz besar RM15 sekilo. Kira oklah kan banding beli kerang kat luar. Orang kata nak murah cari kerang di Pantai Remis.

Harga Kerang Bakar

Harga kerang di luar, kadang sampai RM18 sekilo pun ada. Biasa dengan kakak ini saya ambil dua ke tiga kilo. Kalau dapat isi kerang segar bersaiz besar lagi seronok nak makan.

kerang-bakar
*Kerang ini saiz kecil, saya beli 3 kilo.

Kali ini, saya beli kerang kecil sedikit.

Tak kisahlah saiz kecil ke besar, saya memang akan buat resepi kerang bakar pemanggang ajaib style macam ni. Kalau takut masin, bolehlah dikurangkan jumlah garam tu.

kerang-bakar

Begini Cara BAKAR Kerang Agar Tetap Gebu Isinya

Sebelum buat kerang bakar, kerangnya cucilah dulu ya.

Saya gunakan penapis berjaring plastik macam ini. Mudah nak buang lumpur dan rumpai yang melekat dekat kerang. Masukkan kerang dalam tu, laga-lagakan sesama mereka.

Ini pun saya kira masih belum bersih betul. Tapi sebab nak cepat, kira halal sajalah. Kalau yang rajin tu, akan bersihkan satu-satu dengan berus.

Bila dah bersih, toskan. Letak dalam pemanggang ajaib.

kerang-bakar

Cara Buat Kerang Bakar Dalam Pemanggang Ajaib, Tabur Garam

Dah masuk dalam pemanggang ajaib, saya taburkan garam kasar sekeliling dia. Hidupkan api, saya guna je api besar masa masak resepi kerang bakar ini.

pemanggang-ajaib-kerang-bakar

Tutup Kejap Pemanggang Ajaib, Sekejap Saja

Macam inilah besar api tu. Tai ikutlah jenis dapur masing-masing ya. Dalam 40 ke 50 saat, saya buka semula penutup pemanggang ajaib ini.

kerang-bakar

Tutup Api, Bila Keluar Buih Dari Kerang Bakar

Dia jadi berbuih macam ni. Tak perlu tunggu lama, dalam dua tiga minit (sebab kerang kecik) dan nampak ada kerang yang dah terbuka tu terus tutup api.

Air kerang memang akan keluar. Nanti bila kita tutup api, air kerang tu tersejat. Cepat-cepatlah keluarkan daripada pemanggang ajaib. Letak tempat lain.

kerang-bakar-gebu

Gebu kan.. saya suka resepi kerang bakar yang tekstur macam ini. Kalau nak lagi garing boleh tambahkan masa pembakaran tu. Janganlah lama sangat. Nanti isinya garing.

Beginilah cara masak kerang bakar yang sedap lagi gebu gaya saya.

Hijau-hijau tu lumpur dalam kerang tu sendiri. Silalah buang masa nak makan tu ya.

UPDATE TIP : Ini tip yang saya terbaca baru-baru ini. Cara nak hilangkan lumpur dalam kerang. Sebelum masak kerang, rendam dulu kerang hidup tu dalam air garam. Nanti kerang akan mengeluarkan lumpur dari badan dia.

nettyahhiyer.com

Kerang Bakar Guna Kuali

Anda yang tidak mempunyai pemanggang ajaib, tetapi masih mahu menikmati kerang bakar dengan memasaknya menggunakan kuali. Boleh mencuba cara ini.

Kaedahnya lebih kurang memasak kerang tumis saja sebenarnya tapi ia akan mengambil masa yang lebih panjang.

Selepas bersihkan kerang, boleh masukkan kerang ke dalam kuali. Gunakan api kecil dan taburkan sedikit garam.

Tutup kuali, tetapi anda perlu sesekali mengacau agar kerang bakar tidak hangit di satu-satu tempat. Mungkin anda perlu ambil masa lebih 3 minit, untuk dapatkan resipi kerang bakar dengan tekstur gebu yang diinginkan.

kerang-bakar

Sos Kerang Bakar

Nak sedap memang kena makan dengan sos pencicahnya. Kali ini buat sos kerang bakar ala Thai. Dengan harapan, samalah dengan resepi kerang sos thai Khairul Aming tu.

  • 4 helai daun ketumbar – dihiris sedang
  • 1 ulas bawang putih – hiris kecil
  • 3 biji cili padi – hiris kecil
  • Sedikit taucu
  • Sedikit kicap manis
  • Sedikit sos ikan
  • Perahan lemon
  • Gula

Cara buat sos kerang : Satukan semua sekali. Kacau sebati. Siap. Last sekali, curah atas kerang bakar.

kerang-bakar-tumis
Selain bakar, saya suka buat kerang tumis serai macam ni. Ini cara masak kerang simple. Sedap makan terus dengan nasi panas-panas.

Resepi Kerang Tumis Serai Simple

Bahan-bahan Kerang Masak Serai

  • Sekilo kerang
  • Sebiji bawang besar– hiris
  • 7 tangkai cili kering (kalau tak nak pedas kurangkan)
  • 2 batang serai – hiris serong macam nak buat tomyam
  • Serbuk kunyit
  • Garam, perasa

Cara Masak Kerang Tumis Serai

  1. Tumis bawang, cili kering, serai sampai naik bau.
  2. Masukkan kerang dalam kuali, tambah serbuk kunyit, garam dan perasa
  3. Kacau sehingga kerang terbuka. Tu tanda dah masaklah tu.
  4. Tak perlu campurkan air ya. Nanti air kerang keluar sendiri. Jangan risau kalau airnya sedikit. Resipi kerang macam ini memang tak keluarkan banyak air.

Nota masakan : Ada macam-macam cara masak kerang bakar sebenarnya. Salah satunya, masak kerang bersama sambal. Sambal macam nak buat sambal tumis tu, tapi saya tambah sikit serbuk cili kering dan daun kunyit. Resepi kerang bakar sambal lagi ‘kick’ nanti rasa dia.

Antara resepi kerang yang sedap untuk dicuba adalah kerang tumis pedas.

Kerang Panggang Dalam Tin

Kalaulah rasa leceh nak buat resepi kerang bakar dalam kuali pemanggang, atau nak buat kerang masak serai rupanya ada cara lagi mudah.

Beli saja kerang panggang. Haa.. jangan tak tau ya ada rupanya kerang panggang dalam tin ini. Saya pun baru tau.. hahaha.

Boleh beli online saja dekat lazada.

Kerang panggang jenama Rex atau grilled clam ini dah siap dikupas. Tinggal ceduk makan sajalah. Saya belum pernah rasa, cuma kongsikan infonya saja.

Selain kerang panggang Rex pun ada sotong tin yang dijual di pasaran.

Manfaat Kerang

Dulu waktu saya mengandung, saya memang ada masalah kekurangan darah merah. Atau kata sains dia hemoglobin.

Nurse kerajaan yang check saya itu beri tip agar saya makan kerang untuk tambah darah merah. Tapi nak masak kerang ini pun ada caranya.

Kata nurse tadi, selepas kerang dibersihkan. Masukkan dalam kuali, goreng kilas dan tutup. Tak perlu lama sampai kecut, tapi pastikan darah kerang itu jangan ada.

Lagipun, ibu mengandung tak digalakkan makan kerang yang masih mentah berdarah. Tak bagus untuk kehamilannya.

Port Makan Kerang Bakar Sedap

Sekarang ini agak susah sebenarnya nak mencari kerang. Ikut musim dia, tapi kalau anda teringin sangat nak makan resepi kerang.

Bolehlah cari port makan kerang dekat kedai kerang bakar sekitar kediaman anda.

Antara yang terkenal :

  • Kerang Bakar Pantai Remis
  • Pak Abu Station (Kerang Bakar) di Seksyen 7, Shah Alam
  • One Ikan Bakar Bangi (Viral kedai ni)

Atau anda boleh juga google ikan bakar near me. Tentu akan jumpa lokasi makan-makan kerang bakar near me dekat dengan kediaman anda.

Baca juga :

Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis

2 Comments

  1. Myzan August 21, 2022

Leave a Reply

error: Content is protected !!