Kad hibah MAIS. Pentingnya setiap umat Islam mengetahui cara pengurusan harta miliknya dengan adil dan patuh syariah. Selain wasiat, hibah merupakan salah satu pemberian harta yang boleh dilakukan semasa masih hidup, sihat dan waras.
Hibah maksudnya adalah suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan (rujukan laman web MAIS).
Malah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut membantu masyarakat menguruskan harta mereka dan hibah adalah salah satunya. Terbaru, sempena Bulan Hibah Negeri Selangor, MAIS sendiri telah melancarkan Kad Hibah sebagai tanda pengenalan kepada penghibah yang berdaftar dengan MAIS.
Kad Hibah MAIS
Pada 17 Julai 2024, Pengerusi MAIS, YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bi Mohd Yusof telah melancarkan KAD HIBAH semasa perasmian Seminat Hibah : Sayang Jangan Sampai Melayang.
Kad ini mempunyai bermacam kelebihan antaranya :
- Ada nombor rujukan hibah dan nama pemberi hibah untuk memudahkan rujukan dokumentasi.
- Kad yang telah siap didaftarkan akan dihantar ke rumah pelanggan secara percuma dengan perkhidmatan kurier.
MAIS komited untuk melaksanakan mahupun menyaksikan proses pengisytiharan hibah dan pindah milik harta yang dihibahkan berlaku secara adil, telur, profesional dan patuh syariah kepada penghibah dan penerima hibah.
Sejak tahun 2006 sehingga kini, sebanyak 5,000 dokumen hibah telah dikendalikan oleh MAIS. MAIS telah menambahbaik cara pendaftaran hibah melalui kaedah atas talian yang lebih berinovasi yang telah dilancarkan pada 1 Jun 2022 iaitu Sistem Wasiat dan Hibah (SISWA MAIS).
Baca juga : Kempen Kesedaran wang tidak patuh syariah, MAIS sasar RM2.5 juta

Bulan Hibah Negeri Selangor 2024
Sepanjang bulan Muharram 1446H merupakan Bulan Hibah Negeri Selangor. Tujuannya diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat berkaitan informasi hibah dan manfaat mendaftarkan hibah.
Bermacam program telah diatur sepanjang kempen hibah MAIS. Antaranya:
- hebahan informasi berkenaan hibah,
- Seminar Hibah,
- Forum Perdana Hibah,
- Hari Bersama Baitulmal,
- Tik Tok Live Hibah,
- Kuliah Maghrib Khas Hibah,
- Slot Celik Ilmu Pewarisan & Baitulmal Radio IKIM,
- Rancang Harta Urus Pusaka Radio Klasik,
- siaran secara langsung Selamat Pagi Malaysia RTM
- Assalamualaikum TV Al-Hijrah.
Baca juga : beza hibah dan medical card, pilih mana satu

Seminar Hibah MAIS ‘Sayang Jangan Sampai Melayang’
Program Seminar Hibah bertema Sayang Jangan Sampai Melayang ini menghimpunkan empat panel pembentang yang pakar dalam bidang masing-masing. Mereka adalah,
- Panel pertama : YBhd Dr. Ahmad Zamro Bin Muda – Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Syariah, FPI, UKM
- Panel kedua : Tuan Ahmad Tarmizi Bin Abdullah- Peguam Bela, Peguam Cara & Peguam Syarie, Tetuan Termizi & Co.
- Panel ketiga : Tuan Mawardi Bin Che Man, Timbalan Pengarah Rayuan, Perbicaraan dan Penyelidikan, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan.
- Panel keempat : Ustaz Indera Shahril Bin Mohd Shahid, Pengarah Baitulmal MAIS
Seminar hibah MAIS bertujuan memberi pendedahan berkaitan kepentingan hibah, meningkatkan kefahaman hibah mengikut hukum syarak, praktik amalan hibah di mahkamah syariah dan perkongsian pengalaman pelaksanaan hibah di MAIS.
Antara poin penting yang diperoleh semasa seminar ini adalah berkaitan rukun hibah. Yang mana, rukun atau prinsip hibah itu perlu mempunyai pemberi hibah, penerima hibah, barang yang dihibah dan sighah iaitu lafaz akad hibah dan qabd.
Dan sekitar 200 orang peserta hibah MAIS dari pelbagai agensi dan organisasi telah mengikuti seminar yang berlangsung selama sehari ini.

Dimana Nak Buat Hibah
Terdapat bermacam organisasi berdaftar yang menjalankan perkhidmatan hibah. MAIS adalah salah satunya yang menyediakan perkhidmatan pengurusan hibah.
MAIS berbidang kuasa dan berkepakaran menyediakan perkhidmatan penyediaan Dokumentasi Pengisytiharan Hibah dan pelaksanaan hibah selaras dengan Hukum Syarak dan undang-undang sedia ada.
Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat dan melaksanakan pengurusan harta di MAIS, boleh layari laman web MAIS www.mais.gov.my.
Dengan adanya program hibah MAIS sebegini diharapkan masyarakat ada kesedaran yang tinggi dalam merancang harta semasa masih hidup.
Seterusnya membolehkan harta diuruskan dengan mudah terutama selepas kematian dan melantik MAIS sebagai pentadbir pengurusan harta.
Anda yang mahu mendapatkan maklumat lanjut berkaitan aktiviti hibah MAIS sepanjang Bulan Hibah Negeri Selangor, boleh berbuat demikian dengan mengikuti perkembangan MAIS di media sosial seperti Facebook, Instagram dan Tik Tok Majlis Agama Islam Selangor