kota-kinabalu

Hatiku Tertinggal Di Kota Kinabalu Sabah 2023

Kaunter hadapan Sutera Harbour Resort Kota Kinabalu dipenuhi warga asing. Ada mat-minah salleh, warga Korea yang tak begitu K-pop malah wanita-wanita Hong Kong separuh baya.

Maklum Azril, pengasas Surebest, sebuah syarikat yang menghasilkan produk kesihatan dan kecantikan itu, senario sebegini sudah biasa kelihatan di Kota Kinabalu.

Biasanya orang Korea ni suka menempah sampai setahun. Nak menginap di sini pun saya dah tempah tiga bulan awal. Ini pun masih jadi ‘lagu’ ni,” Luah Azril yang sedikit bimbang dengan status tempahan bilik penginapannya yang masih tergantung.

Memandangkan lagi satu jam majlis besar syarikatnya bakal berlangsung, saya tidak mahu memberinya tekanan. Biar selesai dahulu urusannya, saya boleh bawa diri.

Beberapa minit sebelum majlis berlangsung, Azril memaklumkan kunci bilik ada di tangan isterinya, Ella.

Jemputan Ke Kota Kinabalu

Hari itu, saya diundang pengasas syarikat Surebest Sdn Bhd ini untuk meraikan majlis pelancaran Neuron Booster sebuah produk kesihatan yang menggabungkan madu yemen dan spirulina hidup. Saya kira saya seorang sahaja wakil dari Semenanjung.

Siapa sangka, kakak cantik bernama Hatini yang duduk bersebelahan saya tinggal di Saujana Utama, dekat sahaja dari kampung mak saya. Suaminya stokis Surebest, dia mewakili suaminya yang tak dapat hadir.

Petang itu, saya bukan sahaja memperoleh cerita pelancaran produk Neuron Booster tapi mengutip cerita wanita cemerlang, ibu tunggal malah bertemu personaliti lelaki, YB Masiung Banah, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Sabah. 

usahawan-wanita-di-kota-kinabalu
Ini bukti saya pernah ‘sweet’ ya dulu.. hahaha

Malam harinya, saya masih bersama wanita-wanita hebat yang terdiri daripada stokis dan pengedar Surebest yang hadir ke Kota Kinabalu ini. Singgah sebentar di rumah Datuk Joe dan merasai seketika gaya hidup orang-orang kaya yang humble di Kota Kinabalu.

Memandangkan perjalanan ke Kota Kinabalu tidak begitu panjang hanya dua hari satu malam, saya perlu menggunakan waktu yang ada dengan sepenuhnya. Selesai dengan Surebest, saya bertemu pula dengan sahabat lama en suami, Nizam.

Seronok sungguh en suami meluang satu hari setengah yang ada dengan kawan sekampung merangkap satu sekolah rendah itu.

Menikmati Makanan Laut Di Gerai Terbuka

Bersebelahan pasar besar KK, ada deretan kedai makanan laut yang hanya dibuka pada sebelah malam. Cuma saya tidak galakkan anda makan di sini. Harganya agak mahal.

Kata adik saya, jika mahu menikmati makanan laut sepuasnya dengan harga yang berbaloi, pergilah ke Sandakan. 

Memandangkan kami sudah sampai di situ, ambil jugalah udang saiz gergasi dimasak butter, ikan bakar yang enak rempah sosnya dan sotong.

Mulanya mahu membeli lobster aka udang kara. Waktu saya tanya penjual tentang harganya, saya terkedu dan berfikir-fikir semula. Lebih baik saya makan lobster di Moon’s Kitchen, rasanya lebih berbaloi. 

Di Kota Kinabalu, saya juga sempat ke Pulau Manukan. Air lautnya sangat cantik, bersih dan mata saya boleh memandang jelas ikan-ikan kecil berenang-renang di pinggir pantai.

Ramai juga yang membawa keluarga dan anak-anak kecil. Yang membawa kekasih hati pun ada juga. Ada tiga pulau berdekatan, iaitu Pulau Sapi, Mamutik dan Manukan. 

Kata Nizam, Pulau Manukan antara yang terbesar berbanding dua lagi pulau berdekatannya. Memandangkan waktu kami terhad, hanya sebuah pulau dapat kami lawati.

Itupun kami bertolak jam 10 pagi, dalam jam 1 barulah ada bot yang membawa kami pulang ke dataran. Kalau bawa anak-anak memang seronok, aktivitinya cuma mandi laut, bermain dengan ikan dan jika sukakan cabaran boleh bersnorkeling. 

sekitar-pulau-di-sabah

Bertemu Sahabat Di Kota Kinabalu

Sebelum pulang, kami sempat bertemu abang Norman. Sebelum ini beliau pernah berkhidmat di meja Media Hiburan.

Orang lama dalam industri hiburan ini sudah menjadi usahawan restoran yang berjaya di Kota Kinabalu ini. Restoran makannya berkonsepkan makanan cina.

Bukan sahaja dari segi makanan malah jadual restorannya juga sama. Selepas jam 2.15 petang restoran akan di tutup. Itulah konsep Restoran Puteri Hang Li Po.

Seronok mendengar cerita abang Norman ni sebenarnya. Dari kisah silam ‘Hard Rock Cafe’ yang sudah menjadi suraunya sampailah perjalanan penghijrahannya itu. 

Saya kira kebanyakan usahawan berjiwa besar mereka ada satu sifat yang sama iaitu tingginya pergantungan hidup kepada Allah. Jadi jika mahu menjadi orang hebat, prinsip sebegitu perlu menjadi pegangan. Amin.

Saya meninggalkan kisah Negeri Di Bawah Bayu ini dengan satu perasaan yang  cukup halus sekali. Ketika saya sampai di lapangan terbang KLIA, saya membelek inbox fb. “Flight kak netty pukul berapa, saya ke lapangan terbang jumpa kak Netty. Tapi saya tak turun dari kereta (kerana dia masih dalam pantang)”.

kota kinabalu
Selain Kota Kinabalu, Sabah juga terkenal dengan kawasan sejuk nyaman di Kundasang. / Kredit foto : Pexels by Nadzrin

Tulisan itu membuatkan saya sayu tiba-tiba. Sememangnya hari itu saya mahu berjumpa dengan sahabat sebilik saya di 105, Seroja 3, UiTM, tapi waktu saya amat terhad sekali.

Dahlia Dahli yang comel, kak net tak dapat berjumpa kamu hari ini. Insyaallah tahun depan Kak Net ke KK lagi.

Bawa bersama anak-anak menikmati cantik dan damainya bumi Kota Kinabalu ini. Biar mereka merasai perasaan yang sama dengan Kak Net apabila sudah jatuh cinta di tanah kelahiran kamu ini!

Disclaimer : Catatan ini bertarikh 22 November 2013

Baca juga : Gunung Banang

Leave a Reply

error: Content is protected !!