Aktiviti saya cukup padat. Seharian menguruskan tugasan pengambaran fesyen. Sebelah pagi, saya bersama makeup artis Cik Non dan Anne Karim serta dua orang model saya, Ekim dan Farieza hanya shooting di studio sahaja.
Sebelum itu sudah serah siap-siap contoh ‘lighting’ yang diinginkan pada jurufoto saya hari itu, Ahmad Jay.
Petangnya saya masih bersama Cik Non, Anne Karim dan Ekim. Tempat seorang lagi model saya gantikan pula dengan Athirah. Cuma lokasinya saja saya ubah ke luar studio. Pusing keliling Karangkraf saja.
Sekian lama meninggalkan dunia fesyen membuatkan saya kembali canggung. Kali terakhir saya pernah mengendalikan ruangan itu semasa Karangkraf masih di bangunan lama.
Kalau ada tugasan mingguan wanita melibatkan fesyen sekalipun saya akan bertukar-tukar ‘bahan’ dengan Zaiton.
Bila dia sudah ditukarkan ke majalah bulanan, saya perlu survive sendiri. Dulu hendak masuk studio pun segan.
Sebab dah ramai muka-muka baru di dalam itu, baik modelnya mahupun makeup artisnya. Ada juga orang lama tapi sekerat dua saja yang saya kenal. Nampak sangat saya dah tahap geng veteran.

Menjadi Pengelola Ruangan Fesyen
Bila kak Nuri minta saya kelolakan ruangan fesyen, saya akur sahaja. Tak mengapalah, boleh belajar semula.
Memang wajib belajar semula! Dunia fesyen sentiasa bergerak pantas.
Hari ini fesyennya kain kembang, esok kainnya sudah terbang-terbang. Kalau tak kembali belajar, kain dan baju pun boleh terbalik dipakaikan pada badan model.
Apabila kak Nuri memutuskan untuk menyuntik elemen segar pada ruangan fesyen, saya terkulat-kulat sendiri.
Apalah sebenarnya yang kak Nuri nak ini. Fikir saya dalam-dalam. Sudahlah hendak berfesyen pun tidak pandai. Kadangkala beg kerja saya pun paperbag saja, inikan pula hendak mengendali ruangan sebegitu.
Pernah juga makcik saya berbual dengan kawan-kawannya. Sempat pula bergossip tentang saya dengan mereka.
“Wah! mesti wartawan majalah fesyen ini bergaya orangnya.” Kata kawan-kawan makcik saya bila tengok nama saya pada ruangan itu.
“Haha… kena jumpa orangnya depan-depan. Mesti tak percaya.” Sungguh, betullah kata makcik saya itu. Kalau kawan-kawan dia jumpa saya depan-depan mesti mereka tak sangka dengan penampilan saya; macam makcik-makcik!
Walau apapun, berfesyen itu sebenarnya subjektif.
Baca juga : Kalau sudah jodoh, nurfarahin jamsari ku temui jua

Agar Ruangan Kelolaan Jadi Lebih Bermanfaat
Kadangkala kita berpakaian biasa-biasa sahaja, tapi jika pandai ‘mix n match’ ia akan kelihatan cantik. Ada orang yang dianugerahkan bakat bergaya dan miliki aura dalam berpakaian.
Senang cerita ada pesonanya tersendiri. Ada orang tak begitu, mereka perlukan panduan untuk bergaya.
Sebab itulah ruangan fesyen dalam majalah mahupun media elektronik tak pernah surut mendapat permintaan pembaca mahupun penonton. Kerana ada individu semacam itu. Dan saya juga termasuk dalam kategori yang memerlukan panduan.
Mencari ilham fesyen yang lebih segar dan sesuai untuk keperluan majalah Mingguan Wanita juga bukan mudah sebenarnya.
Oh, berkali-kali saya diingatkan kak Nuri agar menjadikan ruangan itu memberi lebih berkesan kepada pembaca dengan gambar yang segar dan ‘hidup’. Mampukah aku? Kita tengok sajalah nanti.
Untuk merealisasikan impian itu, saya sebenarnya memerlukan sokongan jurugambar, jurusolek, model malah pereka grafik untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Jika kerjasama terjalin erat, pastilah hasilnya memuaskan.

Setiap Pekerjaan Yang Dilakukan Ada Ujiannya
Bak kata model saya Ekim dan Athirah, bukan mudah menjadi model. Model yang baik perlu tahan sabar, tahan panas (bila terpaksa shooting di tengah rembang), bijak menggayakan sesuatu pakaian dan bagi model muslimah pula perlu bijak menggayakan tudung.
Begitulah juga wartawan, perlu bersabar, tahan telinga, kuat hatinya dan tahu bagaimana hendak kawal diri berhadapan dengan persekitarannya.
Mahu berjaya bukannya boleh dapat sehari dua. Ia memakan masa, sama seperti berlian. Ia perlu melalui proses tekanan demi tekanan untuk bersinar indah.
Sesetengah majalah mereka mempunyai ‘stylish’ yang berfungsi mencantikkan gaya baik dalam pemilihan pakaian, aksesori mahupun solekan. Ada sesetengahnya tiada dan perlu survive sendiri.
Kerjaya Wartawan Boleh Jadi Apa Saja
Sebab itulah kerjaya saya ini seronok, kerana saya boleh jadi apa saja. Berfesyen boleh, menjadi tukang masak boleh, jadi usahawan boleh cuma satu saja yang tidak boleh, jadi tukang kira.
Jangan cuba-cuba minta wartawan mengira akaun. Itu cari nahas namanya. Kalau tidak melingkup penyata itu, bukan wartawan sejatilah namanya.
Disclaimer : Catatan ini bertarikh 24 September 2013
Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis
Telegram : https://t.me/NettyAhHiyerTulis
Don't worry, be happy. Kita buat dia, bukan dia buat kita. Betul tak Nett?