masak lemak cili api

Disebalik Masak Lemak Cili Api N9, Guna Santan Kotak

Bab masak lemak cili api ini saya akui pernah alami beberapa kegagalan yang seram. Lagi-lagi kalau guna santan original.

Sudahnya, santan kotak jadi pilihan hati. Mungkin juga, saya ditakdirkan tak serasi dengan santan perahan. Sedih betul. Tapi inilah kisah realiti hidup seorang Netty. Hahaha..

Apa pun baik santan kotak mahu pun santan segar, keduanya tetap mengandungi khasiat yang bagus untuk badan.

Khasiat Santan Segar

Terbaca perkongsian Pegawai Perubatan Columbia Asia Hospital, Dr S Malar Santhi tentang santan segar ini. Kongsi Dr Malar, sebenarnya santan segar tidak mempunyai kolesterol. Ini kerana ia daripada tumbuh-tumbuhan yang hanya mempunyai kandungan lemak.

Cuma bagi saya, bila guna santan kotak ni kerja-kerja memasak jadi mudah. Potong kotak, tambah sikit air panas dah boleh guna. Atau tuang saja terus santan kotak dalam masakan.

Bukanlah kata penggunaan santan segar tu leceh. Tak sebenarnya, lagipun boleh saja terus kisar kelapa dalam blender untuk dapat santan pekat dengan mudah.

masak lemak ikan

Mak Suruh Fokus Belajar, Tak Payah Masuk Dapur

Kali pertama, saya masak lemak cili api menjadi ketika masak di Kampung Sira Putih, Lenggong. Itu pun mak mentua saya yang ajarkan.

Dulu masa kecik-kecik, keluarga saya tersangat susah. Saya anak sulung. Harapan mak, agar saya fokus pada pelajaran. Jejak sampai universiti.

Buktikan yang saya boleh berjaya. Sebab abah saya tak pandai membaca. Orang dulu-dulu kan banyak yang tak sekolah disebabkan kemiskinan.

Jadinya, mak tak dedahkan saya dengan ‘dunia dapur’. Memang sepanjang sekolah tu belajar sajalah. Punyalah susah time tu, sampai nak beli buku kerja matematik pun tak ada duit.

Mungkin sebab tu, sampai sekarang out betul bab kira-kira.. kecuali kira duit simpanan. Hahaha.. tu saya champion.

Belajar Resepi Masak Lemak Cili Api Dengan Mak Mentua

Saya bersyukur kerana ada arwah mak mentua (waktu hayat dan usia sihatnya) dia sangat membantu saya bab memasak apatah lagi mengajarkan resepi guna santan ini.

Pernah satu hari, ada sedara datang rumah tanya tengah buat apa tu Mak Minah. Dia jawab, “Ada ni ha.. tengah ajar menantu bongsu memasak.”

Okay, saya akui merah beb muka waktu tu. Tapi chill jelah sebab memang tak pandai kan. Seb baik lah mak mentua sporting dan baik sangat.

Eh! Saya nak cerita resepi ayam masak lemak cili api guna santan kotak kan? Kenapa kongsi kisah sedih ni.

Sebenarnya, kisah ni saling berkait. Dan disebabkan saya mula belajar masak lemak di rumah mentua. Makanya, cara masak itu ala-ala minanglah.

Jauh dari cara mak sendiri yang masak lemak style Jawa. Mak guna rempah ketumbar dan di tumis dahulu. Bahan masak lemak cili api saya pun simple sangat. Sebab style saya ini masak lemak cili api tanpa bawang.

Kebanyakan masakan saya guna santan Kara kotak saja. Baik ayam masak lemak cili api pun saya guna saja santan kotak.

Selain ayam, ikan sardin segar juga sedap dibuat masak lemak cili api ini. Selain santan kotak Kara, ada bermacam jenis santan kotak yang boleh diguna di pasaran.

Infonya saya kongsi di sini : 4 jenama santan kotak kecil pekat dan kegunaannya.

masak lemak cili api

BAHAN-BAHAN LEMAK CILI API

  • Ikan/ayam – bersihkan lah
  • Kunyit
  • Cili api – yang banyak
  • Serai – ketuk
  • Asam keping
  • Santan kotak

CARA MASAK LEMAK CILI API SANTAN KOTAK

KALAU IKAN

  1. Kisar kunyit dan cili api. Ada orang tumbuk (lagi sedaplah nanti bumbunya)
  2. Masukkan ikan, rempah kisar, serai, asam keping santan kotak yang dah tambah dengan air suam.
  3. Guna api kecil, agak menggelagak tu masukkan garam perasakan.
  4. Kacau kejap-kejap. Siap.

Baca : cara masak lemak itik cili padi untuk beginner

RESEPI MASAK LEMAK AYAM

  1. Kisar kunyit dan cili api.
  2. Masukkan ayam, rempah kisar, serai, santan kotak cair (ambil sikit santan kotak dan tambah air bagi cair)
  3. Guna api kecil. Agak ayam dah kecut, masukkan santan pekat dan asam keping.
  4. Kacau kejap-kejap. Dan pekat tu matikan api.
  5. Bolehlah dinikmati ayam masak lemak cili api guna santan kotak ini.
masak lemak cili api

JERUK MANDAI DALAM MASAK LEMAK CILI API

Dalam gambar ayam masak lemak cili api ni saya ada masukkan jeruk mandai. Bila dah tambah jeruk mandai, asam keping tak perlu letak.

Ini mandai dari kulit nangka. Ada yang buat dengan kulit cempedak. Saya orang Jawa, mandai ni resepi orang Banjar tak silap saya.

Jadi, saya tak arif sangatlah dengan jeruk ini. Sebab teringin nak rasa saya buat juga sendiri. Begini pembuatannya.

Macam emak saya dia memang suka buat nangka atau cempedak masak lemak. Tapi yang mudalah. Nangka masak lemak ketumbar mak saya ini memang tip top rasa dia.

mandai
Jeruk mandai ni first time saya buat, sekitar Ogos 2020 dan sampai hari saya menulis ini, dia masih elok dalam bekas tu. Bila nak guna, cuci bersih bawah air paip. Tos.
  • Bersihkan kulit nangka, buang yang hijau.
  • Potong kecil ~ anggaran 1 x 1 inci
  • Lumur garam, basuh bersih.
  • Tos.
  • Masukkan dalam bekas.
  • Buh garam kasar.
  • Masukkan air masak campur skit air panas.
  • Rendam sampai tenggelam.

Kalau mak saya dia suka masak resepi nangka masak lemak ketumbar. Sedap betul. Bila dihirup kuahnya, macam kuah cendawan pun iya.

Yang saya ingat, mak akan tumis dulu rempah tumbuh tu; ketumbar, bawang merah, bawang putih, serai (selebihnya tak ingat sangat pula).

Mak masukkan ayam bagi kecut, barulah dia masukkan santan asli. Dia tak reti nak pakai santan kotak ni.

INFO Santan Kotak

  • Santan kotak ini tak macam santan original. Dia tak pecah minyak. Tak pe kalau tak dikacau selalu. Haa.. jadi sapa-sapa yang masak lemak pakai santan original, dia memang hebat dan otai bab masak-masak ni. Salut.
  • Serai tu ikut mood sayalah. Kadang malas ketuk saya blend je sekali.

Dalam bab masak ni takde salah, takde betul. Cuma sedap tak sedap je. Itu pun KESEDAPAN ikut citarasa seseorang juga.

Macam budak-budak ni memang dari kecil makan air tangan mak dia, maka sedap jelah. Cuba bagi orang rasa.. hahaha (jawablah sendiri ya)

Apa pun, inilah style masak lemak yang ringkas cara saya. Cara beginner ntah bila nak jadi intermediate last sekali advanced.. ENTAH BILA.

Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis

Leave a Reply

error: Content is protected !!