5 Sebab Gagal Menulis Dengan Baik

Ini 5 Sebab Gagal Menulis Dengan Baik

Suka saya berkongsi topik ‘Gagal Menulis Dengan Baik’ kerana saya juga pernah mengalaminya. Terutama apabila saya berada dalam keadaan huru-hara dan kelam kabut yang teramat.

Perkongsian ini berdasarkan pengamalan peribadi yang mungkin boleh dijadikan panduan untuk anda yang sedang berusaha menjadi penulis yang ‘berjiwa’.

Jangan pernah rasa ‘down’ untuk menulis. Lagi-lagi jika anda sedang berusaha untuk menjadi seorang penulis yang baik.

InsyaAllah, ketekunan, disiplin dan konsistensi yang betul membantu anda untuk lebih sukses.

5 Sebab Gagal Menulis Dengan Baik

Anda Gagal Bersihkan Hati Daripada Prejudis Diri Sendiri

Baik mahu menulis cerita peribadi, artikel mahupun cerpen anda perlu membuang jauh prasangka-prasangka buruk yang berlegar-legar di dalam minda.

Misalnya, aku tak pandai menulis, macam mana nanti kalau aku tulis tapi akhirnya di tong sampahkan.

Abaikan semua kata-kata jahat dalam hati itu. Sebaliknya, sentiasa bersangka positif dan percayalah setiap orang itu boleh menulis.

Sampaikan sahaja apa yang mahu anda tuliskan itu dengan hati yang tulus ikhlas. Anda adalah kekuatan diri anda.

Jika anda sendiri sudah menemui siapa diri anda, penulisan akan menjadi mudah dan lancar.

Gagal Menulis Seperti Yang Pembaca Mahu a.k.a Syok Sendiri

Penulis yang baik adalah penulis yang memahami khalayak pembacanya. Jika anda menulis untuk blog peribadi, ceritalah sahaja tentang diri anda dengan gaya penulisan anda.

Jangan cuba-cuba mahu meniru orang lain.

Percaya atau tidak, menulis dengan gaya bahasa, tatabahasa yang betul akan menonjolkan kelebihan dan kematangan anda dalam penulisan.

Penulis yang matang, adalah penulis yang boleh berfikir dengan baik dan sentiasa mendorong pembacanya ke arah sikap positif.

Oleh itu, sentiasalah berfikir dengan positif terlebih dahulu. Apa yang saya maksudkan dengan syok sendiri. Anda menulis tanpa memikirkan apa kehendak pembaca.

Contohnya anda sedang menerangkan cerita tentang ‘Panduan memasak hidangan asam pedas ikan parang’ tetapi anda hanya bercerita tentang bahan-bahan masakan tetapi tidak pula dikongsikan cara memasak  asam pedas tersebut.

Baca : Panduan hasilkan penulisan berjiwa

Anda Rasa Bagus Dan Lupa Diri

Perlu difahami, setiap idea, ilham mahupun kata-kata yang sedang dikongsikan dalam penulisan semuanya adalah hak Yang Maha Menciptakan diri kita ini.

Oleh sebab itu, janganlah ada riak atau sombong dalam penulisan anda.

Kerana nanti akhirnya, semua akan dikembalikan kepadaNya. Kita ini hanyalah khalifah yang menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan melalui perjanjian yang telah kita termeterai denganNya semasa di dalam perut ibu kita lagi.

Oleh itu, sebelum mula menulis, sentiasa bermohon padanya diberikan ilham yang baik-baik.

Kelancaran kata-kata sehingga tidak mengguris hati sesiapa dan yang paling penting sekali mulakan setiap perkara dengan memohon pengampunan dan rahmat dariNya.

Sebab Gagal Menulis Apabila Anda Sendiri Tidak Tenang

Sebelum menulis, pastikan diri anda dalam keadaan tenang. Bukannya dalam keadaan marah yang meluap-luap atau sedang dilanda keserabutan fikiran.

Bukannya tulisan itu tidak boleh disiapkan, tetapi nanti akhirnya anda akan gagal menulis dengan baik. Ia samalah kaedahnya dengan memasak.

Memasak perlukan ketenangan untuk menghasilkan masakan yang digemari anak-anak, suami malah keluarga mentua.

Cuba sebaiknya letakkan diri anda dalam keadaan gelombang alpha, yang mana anda boleh bawa diri anda jauh ke alam penulisan walaupun ketika itu ada gangguan di sekeliling anda.

Untuk mencapai tahap ini anda perlu belajar-praktis-praktis-praktis dan akhirnya pengalaman itu akan membentuk kemahiran yang diinginkan.

Baca : Menulis dari hati biar sampai jiwa pembaca

Tiada Catatan Nota Boleh Sebabkan Anda Gagal Menulis Dengan Baik

Malah wartawan yang bertahun-tahun menulis sekalipun masih malah wajib sebenarnya mempunyai buku nota di sampingnya.

Dalam dunia kewartawanan, buku nota adalah nyawa yang paling berharga. Hilang buku nota boleh menyebabkan diri mereka meroyan bagaikan anak kecil kehilangan ibu. Hmm… perumpamaan ini agak keterlaluan sedikit.

Catatlah apa sahaja yang mahu anda tulis dan luahkan semula semasa menekan papan kekunci. Dan catatkan tarikh, nama-nama penting supaya anda tidak lupa dengan data yang anda peroleh pada hari itu.

Inilah serba sedikit maklumat yang saya harapkan berguna untuk anda yang rajin melayari blog saya ini.

Paling penting sekali, mahu jadi penulis yang baik adalah ‘menulislah dan teruslah menulis. Lebih baik anda mula sekarang daripada tiada langsung.

Semoga panduan berdasarkan pengalaman diri ini mampu merungkaikan persoalan mengapa kita gagal menulis dengan baik.

Disclaimer : Catatan ini bertarikh 16 November 2014

Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis
Telegram : https://t.me/NettyAhHiyerTulis

Tags:,

3 Comments

  1. kakNida November 16, 2014
  2. Norul Badri Daud November 17, 2014
  3. Suhaila March 10, 2019

Leave a Reply

error: Content is protected !!