Ketahui 5 jenama santan kotak kecil di pasaran. Ikut kepekatan, mana lebih sedap sesuai untuk kegunaan masakan harian anda.
Sebab setiap jenis santan kotak dari setiap pengeluar berbeza kepekatan dan penggunaannya. Ada yang sesuai untuk lauk pauk dan ada yang sesuai untuk kuih muih mahupun bubur.
Bila dah faham ini, bolehlah gunakan santan kotak yang betul dalam masakan kita. Macam saya, main guna je santan kotak kara kecil setiap kali nak masak apa-apa. Itu yang cari info untuk lebih faham.
5 Jenama Santan Kotak Kecil Yang Ada Di Pasaran
Ini antara senarai 5 jenama santan kotak terbaik yang sering mak-mak guna dalam masakan di dapur rumah mereka ya.
- Santan Kotak Kara
- Santan Kotak Emma
- Santan Kotak Ayam Brand
- Santan Kotak M&S
- Santan Kotak Rasaku
Santan Kotak Kara
Santan kotak Kara kecil ini ada saiz 65ml dan 200ml. Manakala yang bersaiz besar 500ml dan 1000ml.
- Harga santan kotak kecil Kara 65ml – anggaran RM1.05
- Harga Santan Kotak Kara 200ml – anggaran Rm3.30
Apa yang perlu anda tahu tentang santan Kara ini : produk santan ini juga dipanggil ekstrak krim kelapa Kara. Ianya satu produk santan berkrim putih yang disteril dan dihomogen daripada ekstrak isi kelapa.
Ia juga disebut UHT (Suhu Ultra Tinggi) kerana diproses dan dibungkus secara aseptik (bebas pencemaran mikro organisma).
Krim santannya bebas kolestrol. Sesuai untuk semua jenis masakan.
Antara resepi sedap yang boleh dibuat dengan santan kotak Kara ini : Kurma daging, kuih lompang permata biru, kuih bangkit keju, ayam percik putih Kelantan dan bubur lambuk ulam.
Santan Kotak Emma
Sejujurnya saya baru sangat kenal dengan santan Emma ini. Itupun kakak ipar bawa balik ke kampung. Barulah tahu akan kewujudannya.
Untuk jenis santan kotak Emma ini ada 2 jenis :
- Krim Kelapa tanpa Carrageenan bebas Gluten (Emma UHT Coconut Cream) 200ml dan 1 liter
- Santan Kelapa tanpa Carrageenan bebas Gluten (Emma UHT Coconut milk) 200ml dan 1 liter
Beza antara Krim Kelapa UHT Emma VS Santan Kelapa UHT Emma
Krim kelapa Emma mengandungi kebaikan kelapa dalam satu paket. Dan ia mengandungi sebanyak 24% lemak kelapa. Ini yang menjadikan krim kelapa ramuan yang sempurna untuk memasak dan membakar.
Santan kelapa Emma pula mempunyai lemak kelapa sebanyak 18%. Juga sesuai untuk memasak dan membakar. Jika anda sedang berdiet, bolehlah gunakan santan kelapa Emma ini.
Kedua-dua jenama santan kotak kecik mahupun besar Emma ini tiada ejen pemutih, tanpa pengawet tambahan, bebas kolesterol, bebas lemak trans, bebas laktosa, tiada perisa buatan atau warna buatan dan free GMO.
- Harga santan kotak kecil Emma (krim kelapa) 200ml – anggaran RM2.70
- Santan kotak kecil Emma (santan kelapa) 200ml – anggaran RM4.99
Antara resepi yang boleh dimasak dengan santan Emma ini adalah cheesy sri muka, laksa nyonya, kaya pandan, kaya labu, laksa kari dan nasi lemak.
Santan Kotak Ayam Brand
Menariknya santan kotak saiz kecil Ayam brand ini ada yang berpenutup. Jadi mudahlah nak simpan. Tak perlu salin kotak atau bungkus dalam plastik ziplock.
Ada 5 jenis santan Ayam Brand
- Santan kelapa super light 330ml – anggaran RM4.49
- Santan kelapa 200ml dengan penutup, 1 liter – 200ml (anggaran RM3)
- Santan kelapa trim 200ml – anggaran RM3.20
- Santan kelapa krim 270ml dan 400ml (dalam tin)
- Santan organik 200ml
Info santan kotak Ayam Brand
- Santan kelapa super light : Ianya berpenutup jadi senanglah nak buka kan. Seratus peratus semulajadi dan dipertingkatkan dengan air kelapa. 75% kurang lemak. Mengandungi 5% lemak sahaja dan rasa kelapa. Sesuailah untuk yang sedang berdiet atau pesakit yang perlu kurang makan santan tu.
- Santan kelapa : dikatakan sebaik santan segar. Tak ada pengawet, pewarna atau bahan perasa. Santan kotak kecilnya bersamaan sebiji kelapa. Produk makanan anti bakteria dan anti virus semulajadi. 66% daripada asid lemak dalam lemak kelapa ini adalah asik laurik, asid lemak sederhana (CFA). Jadi tak beri kesan negatif pada kolesterol dan membantu kurangkan risiko penyakit jantung. MFA dalam minyak kelapa tu yang buatkan santan ini bermanfaat. Pembuatannya dengan teknologi UHT.
- Santan kelapa trim : 45% kurang lemak berbanding santan kelapa mentah tapi tetap ada rasa santan. Konsistensinya lebih ringan
- Santan kelapa krim : Saiz 400ml bersamaan 3 biji kelapa. Konsistensinya lebih pekat seperti pes berbanding santan kelapa. Cuma ada di Sabah dan Sarawak saja ya.
- Santan organik : 100% organik dan dipertingkatkan dengan air kelapa. Diperbuat daripada kelapa segar dan masak. Ia bukan produk tenusu dan sesuai untuk mereka yang ada intoleransi laktosa (tak berupaya hadamkan gula susu dalam badan)
Kesesuaian penggunaan Santan Kelapa untuk masakan
- Santan kelapa super light : Sesuai untuk nasi, stew, kari dan pencuci mulut.
- Santan kelapa trim : Sempurna untuk masak kari yang cair dan kuah yang kurang pekat.
- Santan kelapa krim : Sesuai untuk kuah kari yang ekstra pekat.
- Santan organik Ayam Brand : Sesuai untuk resepi yang perlukan perisa kelapa yang mewah. Macam kari dan pencuci mulut.
Santan Kotak M&S
3 jenis Santan kotak M&S
- Santan kelapa UHT 200ml, 500ml dan 1 liter
- Santan kelapa UHT Lemak Dikurangkan 200ml
- Krim kelapa UHT 200ml, 500ml dan 1 liter.
Harga santan kelapa kecil 200ml M&S – RM2.80. Manakala harga krim kelapa UHT 200ml – RM2.95
Info Santan Kotak M&S
- Santan kelapa UHT : susu berkrim putih yang diekstrak daripada kelapa perang terpilih yang matang. Sesuai diginakan dalam masakan lauk pauk dan manisan. Antaranya, kari sup, pencuci mulut, smoothie dan minuman. Alternatid kepada susu tenusu sebab tak ada laktosa.
- Krim kelapa UHT : Krim kelapa ini lebih pekat, berkrim dan teksturnya bebas ketilan. Diperbuat daripada kelapa perang matang yang baru dipetik, dipecahkan, dicuci dan diekstrak untuk setiap hari. Dipilih dari spesies terpilih untuk memberi aroma kelapa yang kuat dan manis. Sesuai untuk digunakan dalam makanan berperisa dan manis untuk mendapatkan wangian kelapa. Misalnya nasi lemak, kari, pastri atau kek.
Selain 4 jenama santan kotak yang saya senaraikan di atas, ada banyak lagi sebenarnya tersedia di pasaran. Antaranya santan kotak Enak (saya pernah guna, juga antara santan kotak yang sedap dan pekat serta berpenutup) dan jenama Rasaku.
Rasaku Santan Kelapa
Santan kotak Rasaku ini baru saja saya mencubanya untuk masakan di rumah. Dan sudah jatuh cinta kerana ada rasa seakan santan original pada Santan Kelapa Rasaku (Rasaku Coconut Milk). Hadamkan info selanjutnya.
4 jenis santan kelapa Rasaku
- Rasaku santan kelapa kotak asli) – 200ml & 1000ml
- Rasaku santan kotak krim kelapa (lebih pekat) – 200ml & 1000ml
- Rasaku santan tin (dibungkus dalam tin, jangka hayatnya bertahan selama 36 bulan) – 400ml
- Rasaku serbuk krim kelapa – 50gram, 150gram, 300gram dan 1kg.
Proses Pembuatan Santan Kotak Rasaku & Serbuk Krim Kelapa
Santan diekstrak daripada isi kelapa matang terpilih. Santan RASAKU melalui proses Suhu Ultra Tinggi (UHT) lalu dibungkus secara aseptik (Tetra Pak). Tujuannya untuk mengekalkan rasa dan aroma semulajadi santan tanpa menjejaskan tekstur, warna malah nilai pemakanannya.
Pembungkusannya bersih dan mudah digunakan oleh surirumah moden. Santan kelapa RASAKU ini sedap jadi penambah rasa untuk sos, sup, masak lemak malah kari. Boleh juga menjadi perasa tambahan untuk kerabu, pencuci mulut, smoothie dan minuman.
Manakala serbuk krim kelapa dibuat daripada pengeriangan semburan krim kelapa segar. Prosesnya hampir sama dengan kaedah menukar susu lembu menjadi bentuk serbuk kering. Ada rasa dan aroma kelapa asli.
Dalam masakan serbuk krim kelapa sesuai untuk buat kek, pastri, kuih muih, sos, minuman, ais krim, makanan ringan dan pelbagai hidangan makanan. Sesuai juga untuk mereka yang sedang mengamalkan diet vegan.
Pembungkusannya yang baik membolehkan serbuk krim kelapa Rasaku bertahan sehingga 24 bulan.
Harga Santan Kotak Kecil Terkini (2024)
Setakat pembelian terkini di tahun 2024, harga bagi santan kotak kecil anggarannya antara RM2.90 ke RM4.20. Harganya bergantung kepada jenama santan kotak itu sendiri.
Manakala di pasaraya NSK antara harga santan kotak saiz besar yang masih murah adalah santan kotak Rasaku saiz 1000ml dalam RM7.90.
Krim Kelapa VS Santan Kelapa (Kotak)
Dah tahukan jenama santan kotak yang bagus dan kepekatannya. Ada yang jual krim kelapa dan santan kelapa. Haa.. pening pulak nak faham kan.
Mudah saja sebenarnya nak fahamkan.
Bezanya, krim kelapa ini lemaknya melebihi 20%. Sebaliknya santan kelapa mengandungi lemak kurang 20%.
Apa Beza, Santan Kotak VS Santan Segar
Memanglah santan kotak ini tak sama dengan santan segar. Kalau ikut mak-mak kita dulu tentulah mereka akan pilih santan segar yang diperah dari buah kelapa. Masakan lagi sedap jadinya.
Tapikan, mak-mak sekarang ini tak berapa rajin nak mengukur , memarut mahupun memerah santan.. hahaha.
Sudahnya santan kotaklah jadi pilihan.
Santan kotak ini lebih murah dan masaklah macam mana pun takkan pecah minyak. Beza dengan santan segar, harganya lebih mahal. Untuk dapatkan santan segar pekat original 1kg boleh mencecah RM16.
Cara penyimpanannya jika diproses dengan cara yang betul, kedua-duanya boleh disimpan lama dalam peti sejuk beku.
Bagaimana pun, jenis santan ini bukan cuma kotak dan segar je. Ada lagi santan serbuk yang jauh lebih murah. 1 peket tu boleh dapat bawan RM2. Saya pernah terbaca santan serbuk ini penyelamat kepada masakan yang dah tercair.
Semoga dapat hadamlah info berkaitan santan kotak yang ada dekat pasaran ini. Sebagai ibu rumahtangga, kita mestilah nak mencari jenama santan kotak yang sedap dan yang bagus untuk masakan keluarga kan.
- Santan kotak yang disimpan dalam freezer akan menjadi beku dan keras bila nak digunakan. Boleh cuba kaedah saya kongsikan di blog ini juga cara untuk mencairkan santan kotak beku berketul.
Apa pun, ikutlah citarasa anda. Paling penting nak mencari santan kotak terbaik, bacalah informasinya, cuba dulu dan kemudian pilihlah mana yang sesuai untuk kegunaan masakan lauk pauk mahupun makanan manis harian anda.
Semua brand tu saya pernah beli dan guna. Zaman sekarang susah juga nak cari santan yang perah di kedai kan. 🙂
Sungguh.. dah makin limited santan segar ini.
Santan kotak ni memang penyelamat kalau tak ada jual kelapa parut. Stik kelapa parut sekarang sangat limited.
Sungguhkan kak.. payah nak cari. Kalau ada pun mungkin dekat kedai achehlah.