Rumah Ngaji bantu betulkan bacaan Al-Quran | Waktu saya kecil-kecil dulu, hendak belajar mengaji perlu berjalan kaki ke rumah nenek. Jaraknya tidak jauh pun, selang tiga buah rumah sahaja dari rumah mak.
Zaman itu, hutannya masih tebal.
Pokok-pokok getah besar merimbun, barisan pohonnya memanjang di sepanjang laluan mengaji. Ia memberi efek seram yang teramat buat saya yang ketika itu sudahpun masuk darjah tiga.
(Kenangan darjah tiga melekat kuat dalam ingatan saya. Sebab zaman itu banyak kenangan suka dan duka).
Dulu, emaklah yang akan temankan saya ke rumah ngaji alias rumah nenek. Berjalan kaki sambil bawa lampu suluh. Lama kelamaan mak lepaskan saya keluar malam berdua dengan adik, Yanto.
Hendak tak hendak, kami terpaksa melalui jalan kebun getah itu.
Setiap kali melintasi laluan ala-ala misteri nusantara itu kami akan deras mengaji. Membaca apa saja doa ringkas yang terlintas di kepala.
Sampai depan rumah mak, barulah suara kami mendatar. Kadangkala kami lumba lari, tengok siapa sampai rumah dulu. Kalau basikal tak rosak, kami naiklah sama-sama.
Belajar Mengaji Zaman Kanak-kanak
Sebelum mengaji di rumah nenek, saya belajar mengaji di rumah arwah mbah Brahim. Arwah bukan sahaja handalan dalam bidang agama tapi tukang urut yang disegani dan kelebihannya diiktiraf Hospital Ampuan Rahimah.
(Sebabnya ada beberapa pesakit yang tidak sembuh dirawat di hospital itu akan datang ke rumahnya untuk berurut. Kisah bomoh handalan arwah mbah Brahim ini juga pernah dimuatkan dalam majalah Mastika).
Istimewanya mengaji di rumah mbah Brahim, kami bukan sekadar di ajar mengenal kalimah Allah. Tapi dididik dengan disiplin solat.
Sebelum maghrib, kami berkumpul di rumah mbah Brahim. Jumlah kami besar, lebih 20 orang bilangannya. Selepas azan maghrib berkumandang, kami yang lengkap berwudhu siap-siap beratur dalam saf dan solat beramai-ramai.
Di rumah nenek pun saya belajar juga tentang bacaan solat. Tapi waktu itu, solat saya sekadar melengkapkan tuntutan mengelak dibebeli nenek. Arwah nenek saya memang cukup pantang jika ada anak cucunya yang malas solat. Dia pasti akan terjerit-memaksa kami-kami yang culas. Allah.
Hari ini pun, bacaan solat saya terlalu jauh dari kesempurnaan. Masih belum mencukupi dan banyak yang perlu diperbaiki.
Saya kira, ada di kalangan kita juga begitu. Masih lagi tercari-cari dalam diri, tertanya-tanya dalam hati, tepatkah bacaan solatku ini? Betulkah tajwid Al Fatihah ku ini?
Walhal Al Fatihah itu amat utama sekali kerana Allah menjawab setiap bacaan Al Fatihah yang dipersembahkan di dalam solat lima waktu yang kita kerjakan.
Baca : Perbezaan wartawan dan penulis blog, ini yang jadikan berbeza
Fokus Rumah Ngaji
Kadangkala saya juga terleka, fikiran menerawang jauh terkenang bermacam-macam perkara yang tidak sepatutnya ketika di dalam solat.
Mengapa begitu? Saya pernah terbaca ia ada kaitan dengan kefahaman kita memahami maksud bacaan solat itu. Faham maksud setiap surah dan bacaan yang dibaca boleh membantu kita fokus dan khusyuk di dalam solat.
Atas dasar ini jugalah grup Rumah Ngaji Rumah Ngaji (Al Quran Landasan Kehidupan) hadir ke meja kerja Mingguan Wanita dengan solusi yang lebih jelas.
Antaranya membantu meningkatkan kualiti bacaan Al Quran kita. Program Rumah Ngaji ini bermula di Kumpulan Media Karangkraf dengan memberi panduan kaedah mudah mengaji kepada sesiapa sahaja yang mahu membetulkan bacaan al Quran malah lancar tajwidnya secara percuma.
Untuk permulaan, grup Rumah Ngaji ini memberikan panduan dan membetulkan bacaan Fatihah menerusi klinik Al Fatihah kepada kakitangan KMK.
Kelas bermula hari Jumaat ini dari jam 11 pagi. Tiga orang ustaz bertauliah akan mengendalikan klinik tersebut; ustaz Amirul Safwan, ustaz Hasrul dan ustaz Naim.
Sememangnya saya tidak sabar mahu turut serta. Walaupun hari Jumaat ini saya ada tugasan pengambaran kulit muka depan majalah, saya berdoa semoga Allah memberi peluang untuk saya menghadiri dan dinilai bacaan Al Fatihah saya di dalam klinik tersebut. Amin.
“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada Al-Quran ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya.”
Maksud Surah Al-Isra’ ayat 82
Disclaimer : Catatan ini bertarikh 25 September 2013
Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis