Wartawan dan penulis blog, ini yang jadikan berbeza | Malam ini kerajaan umumkan kenaikan harga minyak RON 95 sebanyak 20 sen. Nampak kecil nilainya, tapi impaknya cukup besar sekali.
Bukan kerana nilai 20 sen itu yang mahu dipertikaikan, tapi ia akan berentetan kepada kenaikan harga barang termasuklah kos bahan mentah, harga makanan dan minuman yang meningkat dan lain-lain yang kadangkala tak masuk akal.
Sedangkan kami yang bekerja di syarikat swasta, tidak pula kedengaran pengumuman kenaikan tangga gaji mahupun pemberian bonus dalam masa terdekat ini.
Terpaksalah kami pekerja-pekerja swasta ini lebih ‘struggle’ mencari wang tambahan untuk berhadapan kerenah ekonomi Malaysia yang nampaknya sedang menjunam ke lembah inflasi.
Waktu pulang ke kampung en suami di Lenggong baru-baru ini, sempat saya berbual dengan tauke pinggan mangkuk lama di kedai Victory. Kata tauke Cina itu, mata wang Malaysia pun sudah jadi lebih rendah dari mata wang China.
Dahulu, kalau ke sana (China) kita masih boleh berangan semacam orang kaya, syurga membeli-belah ibaratnya. Sekarang jangan berani-berani hendak shopping menggila di sana. Bimbang balik ke Malaysia terus tukar title jadi papa kedana di awal bulan.
Struggle Wartawan Mingguan Wanita
Cerita tentang ‘struggle’ ini pun bukan sekadar ada kaitan dengan kenaikan harga minyak. Saya yang bertugas di meja Mingguan Wanita ini pun perlu ‘struggle’ juga dengan kehadiran penulis blog yang begitu glamour sehingga mengatasi populariti wartawan media cetak.
Sekitar empat ke lima tahun lalu, ketika mereka (penulis blog) mahu memasuki dunia mainstream kewartawanan, betapa saya merasakan kehadiran mereka begitu menyesakkan.
Pastinya tanpa panduan dan etika kala ke majlis membuatkan mereka seolah-olah gila mencari bahan berita. Lama-kelamaan, kehadiran mereka semakin diterima geng-geng media.
Alah bisa tegal biasa. Dan nampaknya mereka juga semakin pandai menyesuaikan diri dengan majlis. Semakin hormat kerja-kerja rakan media yang lain dan tahu bagaimana mendapatkan berita yang tidak mengundang saman-menyaman di kemudian hari.
Tak dinafikan, dari sudut kepantasan berita yang mahu disampaikan kepada khalayak, mereka ini berada di tangga teratas.
Kehadiran Wartawan Dan Penulis Blog
Sebab itulah, kebanyakan syarikat korporat bertaraf gergasi lebih gemar memanggil blogger (penulis blog) untuk menghadiri majlis yang dianjurkan.
Sudah-sudah tentu, berita itu akan tersebar dengan lebih cepat dan pantas. Malah tatkala majlis berlangsung sekalipun, berita sudah sampai kepada khalayak. Bukankah segalanya berada di hujung jari sahaja.
Berbanding kami, artikel itu akan mengambil masa kira-kira seminggu dua malah berbulan untuk dihidangkan kepada pembaca.
Kehadiran New Media ini sememangnya memberi kesan yang cukup besar kepada wartawan seperti saya. Sebab ia juga turut memberi kesan kepada jumlah jualan majalah.
Pasti pembaca akan mula berkira-kira untuk membeli majalah, sedangkan berita yang sama telah mereka perolehi di internet.
Sekali lagi cerita ‘struggle’ terpaksa kami hadapi. Bekerja keras untuk mencari cerita yang tiada di dalam laman maya.
Kerusi Penulis Blog Terkenal
Saya masih ingat lagi ketika menerima undangan menghadiri majlis peragaan fesyen ‘Moslema In Style 2012’, yang sejujurnya saya akui begitu jarang dapat turut serta dalam majlis sebegitu.
Namun, apa yang menariknya terdapat deretan kerusi khas bersebelahan ‘runaway’ dan kerusi-kerusi itu khusus untuk menempatkan blogger-blogger terkenal dalam dunia fesyen di laman maya.
Kata teman di sebelah (Kak Mashi, wartawan dari majalah Nur) blogger-blogger terkenal itu ada pengikut yang tersendiri.
Pengikut sanggup mencari, membeli malah meniru gaya blogger berfesyen. Penulis blog itu ibarat ikon dalam dunia fesyen yang mereka cipta. Wah! Dahsyat sungguh penangan penulis blog ya.
Dan Ramadan yang lalu, sekali lagi saya berkesempatan berbual dengan dua orang penulis blog. Sayangnya saya terlupa nama blogger mereka.
Saya bertanya bagaimana mereka bermula, bagaimana pegawai perhubungan awam syarikat penerbangan MAS itu boleh menemui mereka sehingga dapat dijemput ke majlis pelancaran resipi baru makanan di dalam kabin malah cara mereka memperoleh pendapatan melalui iklan.
Sungguh saya teruja dengan kehebatan mereka menggerakkan kerjaya mereka secara individu.
Yang pasti, trafik yang tinggi itu menjadi tunggak kepada nilai iklan di laman web mereka. Semakin tinggi trafik, semakin mahallah bayaran iklannya.
Baca : Red carpet wedding Datuk Lee Chong Wei
Pilihan Nombor Satu Pengiklan
Konsepnya sama seperti majalah Mingguan Wanita. Dengan jumlah jualan (circulation) sebanyak 160 000 naskah setiap minggu, menjadikan majalah comel kami antara yang paling laris di Karangkraf dan pastinya di Malaysia.
Sudah tentu, harga iklannya juga bukan sebarang nilai. Namun, masih menjadi pilihan nombor satu para pengiklan. (Kenapa ya? Yang ini saya sendiri pun tidak tahu jawapannya. Kenalah tanya mereka).
Sebagaimana penulis blog, wartawan Mingguan Wanita ini juga perlu bekerja keras dan tidak sesekali berputus asa. Walaupun kedengaran sedikit seksa, ianya cuma seketika.
Bukankah berlian itu terhasil melalui proses tekanan yang berulang dalam tempoh yang panjang. Begitulah juga proses menghasilkan penulis yang baik.
Seseorang perlu melalui tekanan, ujian, bertahan dengan penuh sabar sehingga akhirnya belajar dan faham untuk mencari jalan penyelesaian.
Pengalaman bertahun-tahun yang satu inilah yang sukar untuk dijual-beli. Prosesnya memakan masa yang panjang, namun hasilnya cukup indah sekali.
Disclaimer : Catatan ini bertarikh 2 September 2013
Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis
Berita memang sangat cepat tersebar di masa internet di hujung jari ni kan 🙂
Sungguhlah.. nak-nak zaman sekarang ni. Tersangatlah lajunya.
wah dah lama content ni asalnya yer..
kak azni main2 blog 2009 tapi tak all out.. kalau lah dah all out awal mesti syiok. dulu tak belajar seo .. tak tau
itulah kak azni.. saya aktif kejap.. pastu stop pastu aktif.. hihi tak konsisten.