Idea menulis seluas lautan I Berbelas tahun menulis pun berdepan masalah sukarnya mencari idea penulisan. Ilham ini kepunyaanNya. Bila dia beri segera catat dan buat.
Kalau kita tak buat, ilham menulis akan pergi ke orang lain pula. Sebab itulah jangan leka. Cepat-cepat catatkan di dalam buku nota kecil. Sentiasalah simpan di sisi anda.
Dalam poket ke, beg ke. Bimbang penyakit lupa datang menyerang, idea akan berlalu begitu sahaja.
Apabila ilham sudah dikumpulkan cepat-cepat karangkan ia kerana perkara yang sudah tertangguh lama sudah tidak segar lagi bila dikarang kemudiannya.
Perlu juga diingat. kita hanya sebagai pelaksana untuk mengindahkan ilham yang Allah kurniakan. Cuma satu perkara yang saya pegang dari dulu sampai sekarang.
Setiap kali satu-satu artikel bakal dikarang, saya sentiasa memikirkan apakah cerita yang yang kongsikan nanti akan membangkitkan inspirasi kepada orang lain.
Idea Penulisan Yang Indah
Saya percaya, cerita-cerita inspirasi ini adalah satu idea penulisan yang cukup indah jika digarap dengan betul dan berhemah. Sebab itulah, sebagai penulis, kita juga adalah ‘gatekeeper’ untuk penulisan kita sendiri.
Apa itu ‘gatekeeper’, dalam bahasa saya ia adalah garis panduan yang perlu dipatuhi oleh penulis agar penulisannya masih patuh sahsiah dan miliki moral yang tinggi untuk pembangunan bangsanya.
Jadi dalam penulisan artikel terutamanya yang berkaitan dengan individu yang ingin kita kongsikan kisah mereka itu. Tidak boleh terlalu mengikut perasaan sendiri semasa menulis.
Jika pihak yang ditemuramah itu ibu tunggal yang baru bercerai hidup dengan pasangannya. Pasti sedikit sebanyak ada kisah ketidakpuasan hati yang ingin dikongsi dengan penulis.
Oh, jangan terus cerita semua itu dalam artikel. Kekalkan sahaja maklumat itu sebagai simpanan sendiri.
Ambil yang positif tentang kisah individu itu dan jika mahu cerita tentang perkara yang negatif pun cubalah lembutkan bahasanya agar tidak menyinggung mana-mana pihak.
Tapi sebolehnya, tak usahlah cerita.
Baca : Cara mengecilkan gambar guna handphone dengan aplikasi
Tip Sebaik Mahu Menulis
Ini tip yang diturunkan oleh Editor Pengurusan Kanan MW, Kak Nuri Supian pula.
Setiap kali mahu menaip atau mengarang sesuatu cerita niatkan dalam hati adakah setiap penulisan itu akan memberi manfaat kepada orang lain.
Setelah niatkan begitu, baca ‘Bismillah’ dan teruslah mengarang.
Saya sudah melangkah jauh rupanya. Kembali kepada mencari idea dalam penulisan. Di sekeliling kita ada berjuta-juta idea yang boleh dijadikan cerita.
Perkara yang terjadi dalam kehidupan seharian, berita tragedi mahupun kisah rumahtangga yang disiarkan di akhbar. Hatta cerita-cerita yang disampaikan oleh teman-teman juga boleh menjadi idea penulisan yang bagus.
Jadi penulislah perlu pandai menaakul, memikir dan menggubahnya menjadi sebuah cerita yang mantap.
Saya pernah terbaca mengenai novelis terbilang Indonesia, saudara Habiburrahman El Shirazy yang memperoleh ilham menghasilkan setiap novelnya selepas membaca surah tertentu dalam Al-Quran.
Di situlah idea-idea penulisan beliau terhasil langsung menyentuh hati jutaan peminatnya menerusi karya agung yang mampu membangunkan jutaan jiwa di kalangan pembaca novel-novelnya.
Antaranya, Ayat-ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih, Dalam Mihrab Cinta dan banyak lagi.
Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis
Telegram : https://t.me/NettyAhHiyerTulis