Rahsia Kebun Abah, Ada Rezeki Alam Seluas Lautan

Rahsia Kebun Abah, Ada Rezeki Alam Seluas Lautan

Ada apa di kebun abah? Belakang rumah abah ada kebun adik-beradik. Memandangkan masing-masing ada yang tinggal jauh, abah minta izin ‘tuan tanah’ kerjakan tanah kebun itu.

Tahun lalu, abah dan mak usahakan ternakan ayam kampung. Abah bina rumah ayam, cari buluh, beli kayu sampailah siap reban yang saiznya sama luas dengan dapur rumah mak.

Macam-macam dugaan abah tempuh. Keluar modal yang tak kurang besarnya beli anak-anak ayam kampung, belum pun sempat dijual, separuh anak-anak ayam mati kena angin sampar.

Itu belum lagi kira peruntukan makanan ayam, cerita monyet curi telur mahupun cubaan anjing pecah masuk reban dek tergoda dengan keenakan daging ayam kampung.

Walau bermacam dugaan, abah tak putus asa.

Macam-macam Ada Di Kebun Abah

Sekarang ini abah bela lagi ayam, cuma jumlahnya biasa-biasa saja. Cukup-cukup untuk makan keluarga.

Dalam masa yang sama, abah tanam pokok pisang, serai, nenas dan macam-macam lagi.

Buah pisang yang abah tanam itupun dah banyak yang menjadi, tapi abah tak mahu jual beria-ia. Cuma sesekali, adalah jiran tetangga yang datang membeli.

Bukannya tak boleh mendatangkan hasil, tapi abah orang kampung yang ‘simple’ hidupnya. Kadangkala tak sampai hati, akhirnya semua jadi kebajikan saja.

Walaupun tanaman itu tak menjadikan abah kaya raya dengan wang ringgit, abah tetap istiqomah ke kebun dan tengok ayam kampung yang dia usahakan.

Baca : Makan-makan di kebun dalam suasana renyai hujan

kebun-abah
Mak yang minta saya ambil gambar ini ya. Katanya, biar kawan-kawan nampak cara dia memetik cendawan. (mood: senyum sendiri).

Abah Jaga Kebun Tanpa Jemu

Dalam masa yang sama, abah buat rumah untuk mak cik yang tinggal di Jalan Jambu. Selesai bertukang, abah tengok lagi kebun.

Buang daun-daun pisang yang mulai menguning, memesin rumput yang kelihatan panjang dan siram pokok-pokok yang masih kecil.

Mak pun, kalau tak menjaga Qaseh, dialah yang paling kuat membantu.

Lepas setahun abah menjaga kebun tanpa jemu, banyak sekali tanaman yang menjadi. Sekarang ini pun ada macam-macam hasil dekat belakang kebun abah.

Cuti Malaysia baru ini, saya ikut mak mencari cendawan kukur.

Baca : Cerita abah dan suami penyayang

kebun-abah
Petang hari, abang Arip memancing dekat parit sebelah rumah mak. Dapat seekor ikan keli yang tak kurang besarnya. Mirza buat muka terkejut pula.

Mirza Sudah Besar Rupanya

Bawa budak Mirza sebagai subjek foto untuk saya ‘frame’kan dalam entri kali ini. Sambil itu ajar dia cara memetik cendawan kukur.

Penat juga membebel-bebel dekat Mirza yang kelam kabut mengumpul sampai jatuh satu persatu cendawan yang kecil-kecil itu.

Tak berhenti mulut saya berpesan,  minta Mirza buat kemas-kemas kerana semua ini boleh menjadi duit.

Mirza sudah besar rupanya, dengan selamba dia kenakan saya “Ibu ini asyik duit, duit, duit”. Saya tergelak besar. Tak sangka akan ditembak sedas begitu. 

Jalan-jalan di kebun belakang rumah abah membolehkan saya mengabadikan peluh keringat mak-abah dalam entri kali ini. Alhamdulillah, rezeki Allah tidak putus-putus untuk mak dan abah yang tidak pernah mengenal erti putus asa ini.

Khazanah Alam Di Kebun Abah

Ini bukan buah mempelam tapi kuinin. Rasanya manis-manis pahit yang walla.
Kebun pisang seluas mata memandang.
Dulu, jarang benar hendak jumpa cendawan kukur dekat kawasan rumah saya ini. Alhamdulillah, rezeki mak abah dengan cendawan memang tak pernah putus. Kawan-kawan pun boleh tumpang merasa.
kebun-abah
Buah nenas ini belum ranum lagi. Siapa yang mengidam nenas muda, bolehlah singgah ke rumah kami.
Ada beberapa tandan pisang yang tergantung di pokok. Mak minta saya ambil beberapa keping lagi, tapi tak pandai pula saya hendak membediknya.
Pokok serai ini tak banyak mana pun. Adalah dua tiga pokok. Tapi sekarang abah dah jadi penanam serai dengan jayanya. Banyak hasilnya dekat kebun Wak Idah.
kebun-abah
Sebenarnya idea entri ini bermula dari gambar bunga kantan dari wall fb kawan saya, kak Eizan Ariffin. Kak Izan, inilah pokok bunga kantan yang saya kata ‘bersepah’ tu.

Belakang Rumah Abah Ada Macam-macam Pokok

Daun sirih ini banyak kegunaannya. Lagi bermanfaat bila ada majlis pertunangan atau kelahiran bayi. Asalnya kecil saja pokoknya. Mak bela main-main, tak sangka daunnya dah merimbun sampai ke bumbung reban ayam.
Pokok pandan ini Cik Sareah punya. Disebabkan pokoknya gemuk membesar, tangan saya meronta-ronta mahu menekan butang ‘capture’ pada kamera telefon.
kebun-abah
Mirza dan nenek di kebun pisang.
“Kutip kemas-kemas ya Mirza. Jangan sampai ditabur-tabur duit yang bersepah dekat pokok tu,” ibu berangan lagi.

Mancing Tepi Rumah

Zarif cuba bermain ‘ba ba cak’ dengan ikan keli. Hmm… geramnya ibu!

Disclaimer : Catatan ini bertarikh 16 September 2013

Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis
Telegram : https://t.me/NettyAhHiyerTulis

8 Comments

  1. Naroswati Naib September 17, 2013
  2. Anonymous September 18, 2013
  3. Anonymous March 11, 2014
  4. Netty Ah Hiyer April 1, 2014
  5. Unknown October 29, 2014
  6. Netty Ah Hiyer October 31, 2014
  7. Andi May 6, 2021

Leave a Reply

error: Content is protected !!