Kentang lenyek yang lembut teksturnya sedap dimakan dengan gravy black pepper. Tipsnya mashed potatoes guna penapis santan untuk menghasilkan kentang rebus yang dilecek jadi lebih gebu dan fluffy.
Sebelum ini saya pernah kongsikan cara buat kentang putar gebu dengan curahan sos sup cendawan. Memang hasilnya gebu lemak berkrim. Namun, tekstur kentang lecek itu masih belum betul-betul fluffy seperti yang saya bayangkan.
Melalui pembacaan, menjelajah dari satu video ke video chef antarabangsa akhirnya jumpa juga tips dapatkan kentang putar yang sempurna. Dengan cara pembuatan yang cukup mudah. Teksturnya yang lembut tentunya sesuai untuk anak-anak kecil malah warga emas.
8 Tips Tekstur Kentang Lenyek Lembut, Gebu Lagi Creamy
Saya kongsikan tipsnya di bawah ini ya. Ada sesetengah panduan ini saya gunakan untuk menghasilkan tekstur kentang lecek yang lembut dan sedap jadinya.
Sebolehnya Gunakan Ubi Kentang Tinggi Kandungan Kanjinya
Ini kerana, kentang yang kandungan kanjinya tinggi akan mengandungi air yang kurang. Kentang yang kurang kandungan air inilah buatkan mashed potato anda itu lebih lembut dan gebu. Kentang yang tinggi kanji juga menyerap adunan mentega dan krim dengan lebih baik.
Antara ubi kentang di Malaysia terbaik untuk buat kentang putar adalah :
- Ubi kentang Russet : akan hasilkan mashed potato yang halus dan lembut.
- Ubi kentang Yukon Gold : akan hasilkan mashed potato yang berkrim dan mewah rasa.
- Ubi kentang Red Bliss : kalau nak buat mashed potato dengan kulitnya sesuai gunakan kentang jenis ini.
Namun, tak mudahkan untuk mak-mak macam kita ni nak jumpa kentang Russet, Yukon Gold apatah lagi Red Bliss jika shopping di kedai biasa kan. Jadi, alternatif yang boleh digunakan adalah mencari ubi kentang yang jenis kuning isinya. Ini pun boleh mendapatkan kentang lecek yang gebu juga nanti.
Cara Terbaik Merebus Kentang Putar
Antara tips yang saya baca,
- cara terbaik adalah mengupas kentang dahulu dan memotongnya menjadi potongan kecil. Tidaklah nanti kentang direbus terlebih masak. Rebus kentang biar yang sedang-sedang saja empuknya.
- Namun, saya tidak mengupas kulit kentang. Jadi, perlu basuh kulit kentang sebersihnya. Gunakan pisau, buat belahan pada tengah kentang. Tapi jangan sampai putus.
Macamana nak tahu kentang sudah empuk dan sesuai untuk dilenyek. Ambil sudu garfu tekan pada bahagian tengah kentang. Jika mudah tembus sampai ke dalam bermakna ubi kentang anda sudah masak sepenuhnya.
Anda boleh merebus antara 10 ke 15 minit atau sehingga garfu boleh menembusi bahagian tengah ubi kentang.
Tambahkan Garam Semasa Merebus Kentang Lenyek & Mashed Potatoes
Ini penting ya, untuk menghasilkan ubi kentang yang berperasa. Semasa merebus kentang, masukkanlah sesudu garam dalam air rebusan anda itu.
Begitu juga semasa anda mengadun kentang lecek dengan butter, susu dan krim nanti. Jangan lupa untuk merasa sepanjang proses membuat ini. Kalau kurang lemak masin, bolehlah tambahkan lagi garam sehingga memenuhi citarasa.
Pastikan Kentang Tak Serap Banyak Air
Setelah sekian lama, barulah saya tahu untuk dapatkan kentang putar yang sedap, kena pastikan kentang tak serap banyak air.
Jadi, cara terbaik untuk mendapatkan the best mashed potatoes recipe adalah sebaik kentang siap direbus. Terus toskan kentang rebus anda itu. Biarkan untuk seketika dalam seminit dua.
- Jika kulit kentang siap dikupas : anda boleh masukkan kentang dalam pot. Dengan menggunakan api perlahan, panaskan dalam seminit untuk sejatkan air yang ada dalam rebusan kentang tadi.
- Jika tak kupas kulit kentang : letakkan kentang atas tisu dapur dan kupas kentang macam biasa. Nanti tisu dapur tu akan serap air kentang tadi.
Semasa Melenyek Kentang Gunakan Penapis Dan Spatula Atau Sudu, Lembut Macam Kentang Lenyek KFC
Penggunaan penapis santan membolehkan anda mendapatkan tekstur kentang putar yang lembut dan gebu. Serius! lembut macam kentang putar KFC tu.
Boleh tekan dengan spatula ataupun sudu. Macam saya lebih selesa guna sudu. Tekstur kentang yang halus akan jatuh di bawah penapis. Jatuhkan ke dalam periuk untuk memudahkan anda menekan kentang yang baru pula.
Sebab kentang dah lembut, proses ini mudah dan sekejap saja. Inilah rahsia nak dapatkan tekstur mashed potato yang lembut, halus dan gebu. Nak jadikan kentang lenyek untuk bayi pun sesuai sangat.
Tambahkan Keju Dalam Kentang Putar
Menambahkan keju semasa membuat adunan kentang lenyek akan menambahkan rasa creamy. Sebelum ini saya pernah menambahkan cream cheese dalam kentang putar. Namun, tekstur cream cheese yang padat sedikit menyukarkan untuk mendapatkan hasil kentang putar yang halus sekata.
Cubalah gunakan keju parmesan dalam kentang lenyek anda. Terbukti memang lebih sedap dan rasa fluffy kentang putar itu bukan sedap yang dibuat-buat ya.
Gunakan Unsalted Butter Dan Heavy Cream Buat Kentang Lenyek
Ini pun antara tip yang dikongsikan chef antarabangsa. Memandangkan semasa merebus sudah ditambahkan garam, dan semasa melecek kentang akan ditambahkan juga garam, jadi penggunaan ulsalted butter mudah untuk menyelamatkan keadaan.
Tidaklah nanti kentang putar anda terlebih masin. Unsalted butter akan memberikan rasa berlemak dan berkrim pada kentang lenyek anda itu nanti. Begitu juga dengan penggunaan heavy cream akan menjadikan kentang putar lebih sedap. Ini kerana, lemak susu pada heavy krim lebih tinggi berbanding whipping cream.
Memandangkan harga heavy cream agak mahal bagi saya. Jadi, saya buat alternatif membuat kentang lenyek dengan gabungan salted butter, cooking cream/ whipped cream dan susu full krim. Gandingan ini pun hasilkan mashed potato yang sedap juga.
Mentega, krim dan susu ini saya panaskan sekejap. Tak perlu sampai krim atau susu menggelegak. Cukup sekadar untuk mencarikan mentega. Cepat-cepat masukkan dalam adunan kentang lenyek yang sudah siap dicampurkan dan diadun dengan sedikit garam dan keju. Pukul sampai kesemuanya sebati dan lembut sekata.
Hidangkan Kentang Lenyek Panas-panas
Kentang lecek ini sedap jika dihidangkan panas-panas dengan sos black pepper. Jika tak mahu, boleh saja taburkan hirisan daun bawang dan lada hitam di atasnya.
Kebiasaannya, kita akan hidangkan mashed potato ini dengan gravy black pepper yang simple.
Baca juga : Buat sendiri kentang goreng rangup, rendam air kapur 30 minit
Cara Simpan Mashed Potato
Jika ada lebihan kentang putar yang tidak habis dimakan, sayangkan untuk membuangnya. Anda boleh saja simpan dalam peti sejuk.
Masukkan lebihan kentang lenyek tadi dalam bekas kedap udara. Tempoh masa ianya bertahan dalam peti sejuk adalah selama 4 hari dari tarikh anda membuatnya.
Nanti bila nak makan semula, bolehlah anda panaskan dalam:
- Ketuhar mikro gelombang : letakkan kentang putar dalam bekas, lubangkan sedikit dan reheat.
- Masak atas api dapur : masak semula atas api dengan menggunakan api perlahan.
- Periuk nasi elektrik : boleh saja masukkan dalam periuk nasi elektrik dan tekan butang warm. Boleh setkan untuk 1 jam atau sehingga ia panas. Boleh tutup elektrik.
Resepi Mashed Potato Sedap, Lembut Dan Gebu
Bahan-bahan
- 8 bji ubi kentang
- 1/2 cawan keju parmesan
- 1 sudu besar buttercup salted
- 1/2 kotak kecil Anchor cooking cream
- 1/2 kotak kecil Dutch Lady full cream milk
- Garam secukupnya
Cara membuat
- Bersihkan ubi kentang tak perlu buang kulit. Buat garis belahan pada tengah kentang. Tak perlu sampai putus. Masukkan ubi kentang dalam air, hidupkan api dan rebus sehingga kentang empuk. Tambahkan garam semasa merebus.
- Sebaik kentang empuk, toskan airnya.
- Letak kentang atas tisu dapur dan kupas kulitnya. Lenyekkan kesemua kentang dengan menggunakan penapis santan. Buat sampai selesai. Perasakan dengan sedikit garam.
- Waktu kentang masih hangat, masukkan keju parmesan. Boleh tambah keju parmesan jika anda sukakan cheese. Kacau sampai adunan lembut sebati.
- Sementara itu, panaskan mentega, cooking cream dan susu full cream. Sebaik mentega mencair dan tak perlu sampai cooking cream dan susu full cream mendidih. Langsung masukkan dalam adunan kentang tadi.
- Pukul sampai kesemuanya sekata dan lembut gebu.
Resepi Gravy Black Pepper Kentang Lenyek Simple
Bahan-bahan
- 1 sudu besar mentega
- 11/2 sudu besar tepung gandum
- 1 kiub lembu Knorr
- Air secukupnya
- Lada hitam – tumbuk
Cara membuat
- Masukkan mentega dalam kuali besi karbon
- Sebaik mentega mencair masukkan tepung dan kacau sekatakan.
- Apabila dah kental, masukkan air secukupnya untuk mendapatkan kepekatan kuah yang anda mahukan.
- Masukkan kiub lembu untuk menambahkan perasa.
- Tambahkan lada hitam yang dah dihancurkan untuk rasa sedikit pedas. Kacau sampai kuah memekat boleh tutupkan api.
- Siap untuk dicurahkan atas kentang lenyek anda tadi.