Saat entri ini ditulis, Qaseh Zahirah sudah setahun tiga bulan menjadi penyeri keluarga kami. Satu-satunya ‘bunga’ dalam keluarga.
Mirza dan Zarif pun masing-masing sudah berusia 7 dan 6 tahun.
Cepatnya masa berjalan. Bermakna dah hampir dua tahun blog ini dipendamkan dari dunia maya yang terus bergerak pantas. Dunia berblogging juga semakin laju dan jauh ke depan.
Kalau dulu, orang berblogging untuk suka-suka atau tambah pendapatan, sekarang blog ini boleh jadi satu kerjaya yang serius. Duit pun masuk berkepuk-kepuk.
Sepanjang mengandungkan Qaseh, blog bukan lagi keutamaan. Setahun lepas dia dilahirkan, aku masih juga malas menulis untuk tujuan peribadi. Hidup terus berjalan, kerjaya penulisan di meja Mingguan Wanita juga terus bergerak pantas seperti biasa.
Sehinggalah semalam, ketika berwhatsup bersama teman, tiba-tiba terbuka cerita tentang blog peribadi. Belek punya belek terasa sayang pula biarkan laman percuma ini bersawang macam itu saja. Jom! kita buat pengisian semula.
Untuk ingatan peribadi, untuk tatapan anak-anakku kelak.
Qaseh Zahirah Warisi Sifat Ayahnya
Anak bongsu saya, Qaseh sudah pandai berjalan. Dia anak yang cukup senang dijaga, Paling mudah kalau hendak dibandingkan dengan dua orang abang-abangnya. Kata orang tak baik membandingkan anak-anak kan. Tapi hakikat ini ada benarnya.
Waktu mengandungkan Qaseh, ragamnya juga sederhana. Barangkali terdidik dari kandungan lagi. Bila keluar Qaseh Zahirah sudah terbiasa. Syukurlah, sebenarnya Qaseh Zahirah warisi sifat en Yem yang kata mak Perak ‘baik’ sewaktu kecilnya.
Awas! Jangan puji melambung. Baik-baik ada makna tu!
Qaseh Zahirah Anak Bongsu
Mirza dah masuk alam persekolahan sebenar. Sekolah Meru II tempat barunya. Dekat dengan rumah mak di Kampung Budiman. Zarif pula aku tempatkan di Tadika Bustanul Ain, Kampung Budiman.
Setiap hari, adik bongsu aku, Azwan a.k.a Anje akan ambil Zarif dan Mirza bila tamat sesi pembelajaran.
Mirza sejak bersekolah dia dah pandai berkira-kira. Hari-hari menghitung waktu bila dia hendak tamatkan darjah enam, masuk tingkatan dan akhirnya ke universiti. Katanya mahu menjadi pilot.
Tapi aku rasa dia tu terpengaruh dengan cerita dalam TV. Tak silap aku cerita ‘Kapal Terbang Kertas’ . Sebab bila dia berkongsi rasa, terselit satu dua dialog dari cerita tu. Huhu..
Memang sah Mirza warisi sifat aku masa kecil dulu, ‘Kuat Berangan!’
Zarif sejak adanya Qaseh semakin menjadi-jadi tahap manjanya. Jangan ingat dia dah insaf ya. Sama je, makin teruk ada.
Yang lucunya, kalau datang manja mengada tu keluar perkataan-perkataan yang entah hapa-hapa. ‘Adidi… – 3x‘ di setiap kata-katanya. Haiyo Zarif, sebel ibu dengan kamu. Endingnya aku juga yang akan bertukar menjadi ‘singa’. Hahaha…
Cukuplah untuk pagi-pagi buta ni. Nampak sangat penulisan aku dah ‘keras’ dan kematu. Ya Allah, ku mohon keampunanMu. Setiap apa yang ada padaku adalah milikMu. Semoga kau memberiku ilham yang indah-indah untuk aku meneruskan kerja-kerja penulisanku ini.
Disclaimer : Catatan ini bertarikh 5 Jun 2013
Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis
Telegram : https://t.me/NettyAhHiyerTulis
Wahhh…dah hapdet….aku nanti ye…smlm baru balik dari kuala kangsor….semangat kan nak hapdet blog ni.