Kisah masyarakat Mingguan Wanita bil 1280

Adik Aqil sewaktu dirawat di hospital


–>

Teks dan foto: Netty Ah Hiyer
‘Hati, tabahlah selalu. Air mata, bergenanglah hanya di kelopak mataku. Jangan sesekali tertumpah walau setitik di hadapan Aqil, pengarang jantungku ini. Ya Allah, mohon dipermudahkan laluan untuk anakku ini. Sungguh, aku redha dengan ujianMu. Seandainya Aqil adalah untukku, akan aku hamparkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi untuknya. Seandainya kau lebih menyayanginya, aku rela melepaskan Aqil. Telah aku halalkan setiap susu yang mengalir ke tubuh mugilnya itu’. Tanpa henti, Shasheila Sa’dan, 28 memanjatkan doa pada Ilahi.
Dia tahu komplikasi jantung berlubang yang dialami Aqil adalah anugerah yang Allah berikan untuk keluarganya. Sukar sekali guru sandaran ini mahu mencari punca, di manakah silapnya hingga anak keduanya itu mengalami nasib sedemikian rupa. Dia juga tahu lubang sebesar 11mm yang menghuni tubuh kecil Aqil sejak usianya 2 bulan tidak boleh tertutup dengan sendiri melainkan melalui proses pembedahan.
Namun, dalam tempoh empat bulan memelihara Aqil, dugaan demi dugaan yang dilaluinya adakalanya membuatkan tembok ketabahan yang dibina rebah juga. Tangisan Shasheila rupanya turut dirasai si kecil Aqil hingga adakalanya menggangu emosi si kecil itu. Lantaran itu, ibu muda ini bermunajat pada Ilahi, mohon diberikan kekuatan yang tidak berpenghujung.
Aqil seakan mengerti ibunya memerlukan sokongan kasih sayangnya. Lantas, setiap kali wajah ibu menjengah kamar wad, Aqil tidak pernah gagal memberikan senyuman mesra buat si ibu. Gelagat Aqil sentiasa menawan hati Shasheila. Senyuman manja yang Aqil berikan membuatkan hati ibu yang gundah gulana sedikit terubat. Adakalanya, wajah bulat itu terus-terusan memanggil ‘Mummy’ membuatkan tangisan ibu muda itu hanya berombak di dasar hati.
Ketika artikel ini dicatatkan, Aqil berada Institut Jantung Negara (IJN). Menunggu kondisi terbaiknya, untuk melalui pembedahan yang besar bagi merawat jantungnya itu. Jantung yang semakin membengkak dan membuatkan desah nafas si kecil ini bergerak begitu pantas. Hakikatnya Aqil terpaksa melalui fasa kesakitan yang memeritkan.
“Waktu mendapat rawatan awal di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu Aqil pernah ditidurkan hampir berminggu lamanya kerana jantungnya perlu direhatkan setelah ia naik terlalu tinggi. Bermacam-macam antibiotik telah ditelannya demi merawat jangkitan di bahagian paru-paru. Dalam proses rawatan itu juga, Aqil bagaikan jatuh ditimpa tangga apabila dijangkiti kayap.
“Mahu atau tidak, perlu tunggu 6 minggu untuk merawati jangkitan itu. Risiko jika membawa Aqil ke IJN. Lagipun dia bakal melalui pembedahan yang besar, jangkitan kuman untuk merebak ke jantung begitu tinggi. Pernah juga degupan jantungnya bergerak pantas walaupun ketika itu dia sedang tidur. Keadaannya kelihatan begitu nazak, kami yang berada di sampingnya melihat dengan jelas bagaimana payahnya Aqil mahu menarik dan menghembuskan nafasnya. Sempat saya berbisik di telinganya, ‘kalau Adik mahu pergi, pergilah Mummy redha’. Tapi, Alhamdulillah Allah masih sudi meminjamkan Aqil kepada saya sampai hari ini,” luah Shasheila sayu.
Keadaan Aqil berubah-ubah. Selepas jangkitan kayap, dia mengalami pula jangkitan mata oleh sejenis kuman ulser yang akan menyebabkan pandangan kabur selamanya. Ketika berada di hospital itulah, Shasheila tahu yang masalah anaknya semakin kompleks. Setiap kali doktor memberitahu kondisi anaknya, dia hanya mampu menahan sebak sehingga tidak mampu untuk bersuara.
Bulan Mac lalu, Aqil ditempatkan semula di IJN. Dua minggu di situ, Aqil mengalami jangkitan paru-paru menyebabkan proses pembedahan terpaksa ditangguhkan sehingga ia benar-benar sembuh. Dalam tempoh dua minggu itu, Shasheila terpaksa meninggalkan anak sulungnya di Johor. Dia redha jika itu jalan yang terpaksa dipilihnya.
“Di IJN pun saya tidak boleh duduk sekali bersama Aqil. Ada waktu lawatan yang perlu kami patuhi. Saya bergilir-gilir masuk dengan suami. Di sini kami menumpang di rumah sepupu di Bangsar. Bila jadual pembedahan Aqil ditangguhkan, suami tidak boleh lagi menemankan saya. Dia perlu bekerja dan tinggallah nanti saya sendirian di sini.
“Saya belum pernah lagi menggunakan perkhidmatan awam untuk ke IJN. Insyaallah saya akan cuba belajar macam mana hendak sampai ke sana. Kos rawatan Aqil juga bukan sedikit, tapi demi Aqil kami akan usahakan apa sahaja. Biasanya ibu yang mempunyai anak yang sakit sanggup melalui apa-apa sahaja asalkan anaknya itu sembuh. Yang sedihnya, apabila ada di antara orang lain yang mengambil kesempatan di atas kesusahan itu. Saya juga pernah menjadi mangsa dan terpedaya dengan orang-orang sebegitu,” akuinya yang sudah kering air mata setiap kali mengenangkan nasib anaknya itu.
Shasheila redha
Menurut doktor yang merawatnya, peratusan hasil pembedahan Aqil berada pada paras 50-50. Shasheila redha dengan apa sahaja yang akan terjadi selepas Aqil melalui pembedahan. Dia telah bersiap sedia dengan apa juga kemungkinan yang akan dilalui oleh anaknya itu.
“Mana-mana ibu bapa sekalipun akan mengharapkan kesejahteraan anak-anaknya. Kami juga begitu, setiap kali memandang tubuh mulus Aqil doa kami tidak pernah putus mahu melihat Aqil sihat seperti bayi lain yang sihat dan normal. Sekali imbas, Aqil ini boleh tahan juga budaknya, besar dan tinggi. Tapi sejak dia sakit saya tidak tahu berapa berat badannya. Kadangkala saya nampak tubuhnya besar, kadangkala sebaliknya,” tuturnya lagi.
Memelihara Aqil sepanjang enam bulan itu membuatkan ibu muda ini semakin mengerti makna sebuah pengorbanan hidup. Perjalanan Aqil masih panjang, dalam pada itu dirinya sentiasa belajar untuk menghayati setiap detik bersama si kecilnya itu.
“Kadangkala saya merasakan dugaan ini terlalu hebat untuk saya. Tapi apabila saya memandang sekeliling terutama anak-anak kecil yang berada di IJN ini, hati saya terpujuk sendiri. Sakit Aqil menguji hati kami memahami makna di sebalik kekuasaanNya,” akhirinya yang ketika itu berkunjung ke pejabat KKSB bersama suami dan anak sulungnya, Syaza Darwisyah
Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke Shasheila Sa’dan, Maybank 151191018569
.

Leave a Reply

error: Content is protected !!