Mencuba resepi ayam bakar simple letak mayonis. Ayam bakar tanpa oven cuma grill atau panggang atas dapur gas saja. Bahan perapannya pun mudah saja tak gunakan bawang. Rasanya tetap tip top sedap.
Setiap kali nak bakar ayam panggang atau buat ayam bakar dalam oven untuk anak-anak saya gunakan saja rempah ratus, sos mahupun kicap yang mudah jumpa. Cara perap ayam bakar saya ini pun senang je nak buatnya.
Siap-siap lumur bahan perap ke ayam, boleh simpan dalam peti sejuk untuk 30 minit sebelum dibakar. Di bawah saya kongsikan cara masak ayam bakar simple saya ini.
Resepi Ayam Bakar Simple Letak Mayonis
- Durasi perapan : 30 minit – semalaman
- Durasi memasak : anggaran 45 minit (masa bergantung pada potongan ayam)
Bahan-bahan
- 1 ekor ayam – dipotong ikut citarasa
- 2 sudu besar sos BBQ McCormick Vintage Smokehouse
- 2 sudu besar mayonis
- 1/2 sudu besar serbuk cili babas
- 1/2 sudu besar serbuk ketumbar
- 1/2 sudu besar paprika (optional)
- 1 sudu besar sos tiram
- 1 sudu besar kicap cair
- 1 sudu besar kicap manis
- Sedikit madu (optional)
- Perasa Tumix (optional)
- Minyak
Cara Perap Ayam Bakar
- Ayam yang sudah dipotong dan dibersihkan, kelar sedikit bahagian dagingnya.
- Kemudian, lumurkan kesemua bahan di atas kecuali minyak pada keseluruhan ayam.
- Selesai melumur ayam boleh masukkan ayam dalam bekas atau plastik ziplock.
- Akhir sekali masukkan minyak secukupnya kemudian goncang bekas agar minyak merata ke seluruh bahagian ayam.
- Boleh simpan perapan ayam bakar tadi dalam peti ais bahagian chiller selama 30 minit atau lebih.
Cara Bakar Ayam Guna Dapur Gas
- Keluarkan ayam perap mayonis tadi dari peti sejuk.
- Sediakan kuali pemanggang atas api dapur. Setelah panas, bolehlah letakkan ayam perap tadi atas kuali dan bakar sehingga ayam masak.
- Sesekali perlu dibalik-balikkan ayam tadi sehingga ia masak sekata.
- Boleh juga perhatikan celahan bahagian yang dikelar tadi untuk memastikan bahagian dalam ayam sudah masak sempurna.
Tip
- Resepi ayam bakar simple ini sama sedapnya macam ayam bakar madu. Sedap dimakan panas-panas.
- Tujuan kelar bahagian ayam sebelum membakar adalah untuk memastikan bahagian daging ayam masak sempurna sampai ke tulang. Dalam masa sama, bahan perap ayam bakar itu meresap ke dalam dagingnya.
- Gunakan api kecil sederhana sepanjang proses membakar ayam bakar simple ini.
Ayam Bakar Potong Berapa
Untuk membuat resepi ayam bakar simple ini, anda mempunyai pilihan untuk memotong 1 ekor ayam dengan saiz sederhana iaitu ayam potong 4, ayam potong 8 atau ayam potong 12.
Bagaimanapun, jika ada ramai anak-anak boleh buat potongan ayam 8 atau 12. Biasanya minta saja dari pekedai, tahulah mereka mahu potong ayam macamana. Jadi, ramailah yang dapat merasa nanti.
Ayam yang sudah dipotong ini bolehlah kemudiannya dimasak resepi ayam bakar simple, atau sedap juga jika mahu dijadikan resepi ayam bakar madu atau ayam bakar oven yang menggunakan rempah ratus istimewa.