kedai-makan-nasi-ambeng

Kedai Makan Nasi Ambeng Ngences Kabin Kuning Sandora

Kedai makan Nasi Ambeng Ngences orang Jawa di Kabin Kuning Sandora ini, milik geng mantan wartawan Mingguan Wanita.

Dekat Foodcourt MPKK Felda Bukit Cherakah, Selangor. Kak Sandora ini orang Jawa, jadi air tangan nasi ambeng Jawa itu memang resepi asli embahnya (nenek) dari Tanjung Karang.

Waktu ke kedai makan nasi ambeng ini hajat hatinya nak menikmati kuluban. Sayangnya hari yang saya pergi itu, kak Sandora tak menjual.

Alhamdulillah, kak Sandora siap bekalkan kelapa keluban itu dengan sayuran sekali.

Dah dapat kuluban kan.. jadi menikmatilah saya makan nasi ambeng Felda Bukit Cherakah yang sedap ini dengan bahagianya.

Sebab apa bahagia tau, sebab rasa dia mengimbas betul zaman saya kecik-kecik dulu. Pergi ke kenduri ikut mak.. dan dapat makan nasi ambeng dalam dulang berlapikkan daun pisang.

Dalam itu ada nasi, ada mee goreng, sambal goreng Jawa, kuluban, ikan masin bulu ayam, tempe goreng, ayam masak kicap, tauhu goreng dan serunding kelapa.

Ini antara lauk yang masih saya ingat dalam kepala. Klasik sungguh sajian ini.

Asal Usul Nasi Ambeng

Nasi ambeng ni juga dipanggil nasi ambang. Secara tradisinya, nasi ambeng ini disediakan masyarakat keturunan Jawa di sebelah Pantai Barat Malaysia kepada para tetamu yang menghadiri kenduri di rumahnya.

Tetamu yang datang merewang (buat kerja-kerja di rumah kenduri) ini dipanggil kendarat.

Seingat saya, di kampung saya ini nasi ambeng akan dihidang dalam dulang ketika kenduri arwah atau tahlil mahupun kenduri kesyukuran; cukur jambul misalnya.

Sebaik selesai bacaan Yaasin, akan dihidanglah dulang nasi berisi lauk pauknya yang diletakkan atas daun pisang. Dulu-dulu, tuan rumah sediakan takir dari daun pisang.

Dalam satu dulang untuk empat ke lima orang makan. Masing-masing jamah sikit, selebihnya nasi dan lauk di bahagi-bahagikan untuk dimasukkan dalam takir.

lauk-kedai-makan-nasi-ambeng

Takir Untuk Isi Nasi Ambeng

Takir ini macam bungkusan makanan tradisional orang jawa. Dibuat dari daun pisang yang dilipat sehingga menjadi bekas. Hujung bekas dicucuk lidi untuk mengukuhkannya.

Lauk pauk nasi ambeng Jawa ini pun ikut kawasan juga. Ada yang dihidang dengan rendang, sambal goreng urap, bergedil malah serunding.

Dan berkat nasi ambeng ini kemudiannya di bawa balik sebagai berkat kenduri rumah orang Jawa kepada orang rumah dan anak-anak.

Sekarang ini dah jarang nak jumpa. Sebab nasi berkat masyarakat Jawa sekarang itu dah siap-siap disediakan dalam plastik. Mudah nanti untuk tetamu bawa pulang.

Kalau tak jumpa di tempat kenduri dan ada rasa teringin tu kenalah juga ke kedai makan nasi ambeng.

Baca juga : cara buat sambal ayam penyet wong solo tersimple pedas

Nasi Ambeng Makanan Warisan Negeri Selangor

Baru-baru ini, nasi ambeng dah diwartakan atau diistyharkan sebagai makanan warisan Negeri Selangor. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari merasmikannya.

Ini kerana, pada nasi ambeng masyarakat Jawa ini ada ciri-ciri elemen nasi ambeng yang asli berasal dari Selangor.

Berdasarkan kajian bertulis dan lapangan serta bengkel meja bulat bersama pengusaha nasi ambeng dari 5 daerah; Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Keunikan hidangan nasi ambeng masyarakat Jawa ini bukan sekadar satu tradisi, malah enak dinikmati bersama tetamu dan keluarga.

Malah, falsafah kesepakatan dan perpaduan masyarakat setempat itulah menjadikan nasi ambeng istimewa di kalangan masyarakat Jawa.

nettyahhiyer.com

Walau bagaimana pun, kedai makan nasi ambeng ini bukan sekadar ada di Selangor. Ada juga kedai makan nasi ambeng Batu Pahat malah di kalangan masyarakat Jawa Johor.

Malah, di sekitar tempat tinggal saya pun meriah dengan kedai makan nasi ambeng Meru. Warung Mama Delisha antara yang ada di Foodpanda.

Specialnya Kedai Makan Nasi Ambeng Kabin Kuning Sandora

Selain tokey kedai makan nasi ambeng nya yang ramah tamah. Gerai makan nasi ambeng Kabin Kuning Felda Bukit Cherakah ini sediakan juga menu masakan Jawa.

Specialnya, nasi putihnya lembut teksturnya. Itu yang buat saya terpikat itu.

Begitu juga dengan ayam masak kicap yang special. Lengkap rasa rempah ratusnya. Memang rasa autentik Jawa itu. Macam embah-embah yang masak gituh.

Baca juga : jerung char kuey teow sedap di Penang & Perlis

lauk-kedai-makan-nasi-ambeng

Ada sambal goreng Jawa, serunding kelapa, tempe goreng, ikan masin. Lauk pauk ini dalam nasi ambeng itulah. Kalau nak makan nasi ambeng set pun boleh. Nak pilih lauk pun boleh.

Ada juga bakso daging, bihun, mee sup dan soto ayam.

Menu kuluban ada hari Selasa. Ini yang saya ingat. Kalau nak detail boleh tanya kak Sandora.

Harga Nasi Ambeng

Yang saya makan ini dalam pinggan biasa. Nasi ambeng ngences namanya. Dalam RM12 untuk satu set. Sebab makan sendiri-sendiri kan. Kalau nak request untuk makan satu famili atau adik beradik ke boleh makan dalam dulang.

set-kedai-makan-nasi-ambeng

Set nasi ambeng talam ayam seekor tu dalam RM85 ( sila tanya tokey untuk update harga terkini ya. )

Sambil makan, boleh tengok pemandangan menghijau bukit bukau. Sebab lokasi kedai makan ini atas bukit. Jadi, view tu yang mahal tu.

Dan disebabkan nyamannya suasana kat kedai makan kak Sandora ini, dak Nuha dan Qaseh siap boleh main masak-masak lagi.

Kami apa lagi, borak santai atas kerusi meja batu. Tak sedar masa berlalu dengan pantasnya.

Terima kasih Intan sebab bawa kak Net dan Qaseh jalan-jalan makan nasi ambeng kak Sandora ini.

Di sekitarnya pun ada juga gerai makan lainnya. Boleh saja kalau nak rasa laksa atau keropok lekor.

Kalau anda dari Meru, sebaik masuk simpang Felda Bukit Cherakah, nampak sebelah kiri ada deretan stall dan kabin kuning. Haa.. tulah lokasinya.

Boleh dekat atas bukit dekat dengan sekolah.

  • Alamatnya : Kabin Kuning Felda, Jalan 1, Jalan Felda Bukit Cherakah, 42200 Kapar, Selangor
  • Waktu operasi : 10 pagi – 6 petang.
  • Hubungi : 018-941 4655

Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis
Telegram : https://t.me/NettyAhHiyerTulis

10 Comments

  1. Myzan December 21, 2022
  2. azni December 21, 2022
  3. MAMA REEN December 21, 2022
  4. Hasnita December 21, 2022
    • nettyahhiyer December 21, 2022
  5. wawa azwa December 21, 2022

Leave a Reply

error: Content is protected !!