Jiwa Nur Amina, isteri solehah untuk Adam hebat diuji Yang Esa. Bagaimana perasaan Nur Amina, begitu ‘rasa’ yang ada dalam jiwa Tiz Zaqyah.
Fenomena Nur Kasih yang pernah menggetarkan jiwa hampir 19 juta penonton setia drama bersiri tersebut kembali menemui peminat setianya di layar perak. Kali ini getarannya lebih hebat dengan impak lakonan yang cukup berkesan di samping jalan cerita yang penuh debaran.
Seakan Nur Amina begitu akrab dengan dirinya. Rintihan hati dan lantunan emosi Nur Amina itu mengalir perlahan menghiasi gerak tubuh dan riak wajah Tiz Zaqyah seusai tayangan filem Nur Kasih The Movie. Sekali gus memukau jiwa puluhan wartawan yang hampir memenuhi setiap ruang tempat duduk panggung pada malam itu.
“Saya menangis dan tangisan itu masih belum berakhir,” ringkas bicara Tiz saat ditanya agar jujur dengan perasaannya sendiri selepas tayangan filem Nur Kasih. Waktu itu, tayangannya sudah pun berlalu lebih dari dua jam.
“Sebenarnya saya cukup rindu dengan karakter yang dibangunkan dari drama bersiri Nur Kasih. Pengembangan karakter yang dihasilkan menerusi kekuatan skrip telah menjadikan jalan ceritanya lebih mantap.
“Waktu berlakon, saya tidak begitu merasai keindahannya. Apabila ia telah diadun dengan muzik dan setiap plot disusun cantik, ia telah menjadi satu karya yang indah. Sebagaimana gementarnya saya melakonkan watak Nur Amina begitu juga lah gementarnya saya dengan penerimaan peminat kelak,” akui Tiz jujur.
Sememangnya pelakon berkulit putih ini meletakkan sepenuh tumpuan terhadap lako nan sulungnya di layar perak. Menurutnya setiap babak dilakonkan dengan bersungguh-sungguh tanpa berlebih-lebihan. Gerak laku dalam lakonan sehabis baik dijayakan secara semula jadi.
“Saya merasakan buat masa ini, Nur Kasih adalah sebuah filem pengorbanan paling agung di Malaysia. Ia bukan sahaja mendapat sambutan di negara ini malah negara Singapura turut menyaksikannya. Saya juga seperti krew-krew yang lain mengharapkan yang terbaik untuk filem,” tuturnya meluahkan pandangan peribadi.
Tiz Zaqyah Terbang ke Timur Tengah
Menerusi filem ini, dirinya perlu terbang sekali lagi ke negara Timur Tengah bagi menjayakan beberapa babak pasangan suami isteri yang berduka selepas ditimpa musibah. Hampir 14 hari Tiz perlu berkejar-kejar dengan jadual penggambaran yang cukup padat dan ketat.
“Ini kali kedua saya pergi ke Timur Tengah untuk Nur Kasih. Syukurlah kali ini saya lebih bersedia untuk berhadapan dengan apa-apa juga perkara yang berkemungkinan berlaku. Saya lebih bersemangat dan paras adrenalin saya melonjak-lonjak setiap kali mahu melakonkan watak Nur Amina.
“Cuaca dan juga makanan jauh beza dari negara kita. Fiz pula awal-awal lagi sudah bawa sambal ikan bilis dari Malaysia. Jadi perjalanan nya lebih selesa memandangkan kami telah pun bersedia.
“Tak dinafikan kami juga berhadapan dengan masalah komunikasi dengan orang-orang dari sana. Misalnya apa yang kami inginkan lain pula jadinya, tapi perkara itu dapat ditangani dengan baik.
“Kami berjaya menjalinkan kerjasama yang baik dengan semangat berpasukan yang tidak pernah kenal erti putus asa. Lagipun inilah satu-satunya peluang, sekali seumur hidup,” terangnya yang mengakui turut mengalami kulit kering sepanjang menjalani penggambaran di Timur Tengah.
Sememangnya pengarahnya Khabir Bhatia tidak bercadang untuk menjadikannya sebuah filem bersiri. Inspirasi daripada sokongan peminat setia drama bersiri Nur Kasih menyebabkan ia diterjemahkan ke dalam bentuk filem.
Baca juga : Mingguan Wanita dari tabloid bertukar majalah
Gosip Calarkan Watak Nur Amina
Sirna kecemerlangan seni lakon wanita genit ini sememangnya begitu pantas tercipta. Dalam tempoh tidak sampai dua tahun, nama Tiz Zaqyah terus meniti di bibir para peminatnya.
Imej sopan yang ditonjolkan dalam lakonannya itu telah membuatkan Tiz disayangi oleh hampir segenap peminat drama bersiri ini. Belum puas peminatnya menyatakan kasih dan cintanya mereka pada pelakon watak Nur Amina ini, diri nya dilanda pelbagai gosip yang sedikit sebanyak mencalarkan keindahan keperibadian watak itu.
“Perjalanan seni saya bergerak dengan cepat dan saya melihat ia satu perkara yang bagus untuk diri saya. Apabila saya diberi rezeki dan kepercayaan untuk menjayakan watak yang besar, saya akan melakonkan watak saya dengan sepenuh perasaan. Saya melakonkannya meng ikut skrip dan watak yang diingin kan oleh pengarah. Sebolehnya saya akan memberi kerja sama dan menyelesakan diri dengan para pelakon yang akan bergandingan dengan saya.
“Namun, inilah diri saya, apabila berhadapan dengan keadaan yang kurang menyenangkan saya lebih selesa menyimpannya sendiri. Sebenarnya saya mahu peminat melihat bukan kepada personal saya sebaliknya lakonan saya.
“Saya seorang pelakon dan saya melakonkan watak itu mengikut arahan bukannya untuk menjadi bahan yang akan dipersendakan,” luahnya yang sentiasa berfi kiran positif dalam kerjayanya itu.
Suara Syahdu Tiz Dalam Nur Kasih
Menerusi promosi Nur Kasih The Movie peminat turut dipersembahkan dengan kesyahduan suara Tiz Zaqyah yang bergandingan dengan penyanyi tersohor Yasin. Nyanyiannya itu turut dimuat kan dalam sound track filem berkenaan.
“Sebenarnya waktu diminta untuk menyanyi dengan Yasin, saya jadi gementar. Lebih-lebih lagi, lirik ini ditulis oleh isterinya dan digubah oleh penggubah yang sudah ada nama. Saya mula terfikir bagaimana nanti harus saya lantunkan suara saya agar sama alirannya dengan nyanyian Yasin.
“Jauh di sudut hati saya cukup berbesar hati apabila diberi kepercayaan untuk menyanyikan lagu ini. Apatah lagi, liriknya benar-benar menusuk ke jiwa. Sungguhpun saya minat menyanyi, tapi saya tahu kemampuan diri saya. Pastinya saya tidak pernah beranggapan untuk bertukar bidang menjadi penyanyi.
Hendak beraksi di atas pentas pun sudah gementar. Biarlah lakonan menjadi tumpuan saya. Lagipun masih banyak lagi kepuasan yang belum saya capai dalam bidang ini,” akhirinya sambil memaklumkan rakaman lagunya itu telah mengambil masa selama empat hari.
PS: Bukan movie je ada marathon, aku pun bermarathon gak waktu menyudahkan cerita Tiz ini. Balik dari assignment menemuramah usahawan produk kecantikan Kak Athirah, aku langsung menaip empat story sampailah penamatnya jam 8 lebih. Pastinya yang terakhir itulah yang terindah. Alhamdulillah.
Oleh: Netty Ah Hiyer
Foto: Ahmad Shahir Othman
Solekan: Dinie Awalluddin
Kredit: http://www.mingguanwanita.com.my/md/