Tujuh tahun lalu, ketika saya berperang dengan emosi berpantang selepas melahirkan anak kedua, sahabat saya Intan Jastina sentiasa ada memberikan kata-kata semangat.
Dia sentiasa ceria dan dialah juga sumber rujukan saya setiap kali saya ‘frust’ tak boleh terima masakan pantang yang emak sediakan.
Perkara yang paling saya tidak selesa adalah melalui tempoh berpantang yang memerlukan saya berparam, berpilis malah menelan hidangan yang sama dan ‘zuhud’ selama 60 hari.
Waktu anak pertama, saya terima sahaja. Setiap pagi cuma minum secawan kopi dan dua ketiga keping biskut kering.
Tengaharinya makan separas senduk nasi sahaja dengan lauk ikan bilis dengan sedikit kicap.
Sesekali, mak sediakan sup sayur atau orang jawa panggil ‘sayur bening’. Sekali dua saya makan ikan keli yang dipancing anak-anak kecil di kampung saya.
Itu pun mak yang minta mereka cari, buat merawat luka pembedahan. Biar cepat sembuh luka dalaman. Sekali lagi… waktu itu saya terima saja.
Intan Penulis Di Majalah Pa&Ma
Masuk anak kedua, saya terlebih cerewet. Entah menggedik apa, saya tak sanggup makan lauk pantang yang emak sediakan.
Sebenarnya itu alasan saja, yang sebenar-benarnya saya kasihan dengan emak. Usia emak pun bukan muda, kena bangun seawal pagi mahu masakkan lauk pantang saya.
Bila sudah terhidang, saya pula buat-buat merungut konon ‘bosan’ dengan lauk pantang itu. Selepas dua minggu saya pulang ke rumah sendiri.
Waktu itu, mana ada wifi apatah lagi facebook. Jadi majalahlah sumber rujukan saya. Itupun majalah yang saya kirim daripada en suami.
Beli saja di Karangkraf lebih menjimatkan. Tapi tak semua masakan berpantang ada dalam keluaran terkini majalah.
Hendak tak hendak, kenalah cari sumber asal rujukannya. Waktu itu, Intanlah penulis di majalah Pa & Ma yang mengendalikan ruangan ibu dan anak malah resipi berpantang.
Dia juga cukup gigih dengan penyusuan ibu.
Sentiasa Ada Untuk Membantu Saya
Setiap kali saya dilanda masalah memikirkan resipi berpantang atau perihal Zarif yang masih merah itu, dialah yang akan saya hubungi.
Saya juga tidak jemu-jemu mengganggunya dengan rungutan masakan berpantang yang tidak enak itu. Barangkali bosan atau mungkin Intan kasihan.
Akhirnya dia mencarikan menu-menu masakan berpantang dan membuat fotokopi untuk saya.
Seronok sungguh saya ketika itu. Dari lauk-pauk yang sama, saya boleh bereksperimen dengan bermacam lauk berpantang berdasarkan resipi yang dia berikan.
Sahabat saya ini baik hati orangnya. Begitu juga arwah suaminya. Setiap kali mereka singgah beraya di kampung Lenggong pasti kesemua anak buah kami yang ramai itu akan mendapat duit raya.
Malam ini ingatan untuknya terus menerjah perasaan saya. Sepanjang mengandungkan Mirza, Zarif malah Qaseh, Intan sentiasa ada di sisi kami.
Ketika saya memerlukan ‘breast pump’ disebabkan Qaseh di tahan di wad kanak-kanak akibat demam kuning.
Sahabat saya ini sedia meminjamkan ‘breast pump’ miliknya. Saya masih ingat dengan jelas arwah Ameen laju berjalan sambil menjinjit ‘breast pump’ yang amat saya perlukan ketika itu.
Bukan sekadar memberikan pinjam begitu sahaja. Lengkap pula penerangannya. Ya, dia dan arwah Ameen sentiasa ada di hati kami.
Baru Tiga Hari Arwah Amin Dijemput Ilahi
Awal tahun lalu, dia sertai kelas penulisan blog bersama saya. Katanya, Ameen yang minta dia menulis di blog.
Cuma kesibukan kerjaya dan menguruskan anak-anak itu yang tidak sempat menulis di laman penyusuannya. Tidak tahu kelak, Intan akan kembali menulis atau tidak.
Sesungguhnya, Allah itu sebaik-baik perancang.
Esok Intan akan melalui proses kelahiran secara pembedahan. Malam ini, hati saya terlalu sayu terkenangkan dia. Suaminya, Ameen baru tiga hari menemui Allah Yang Maha Esa.
nettyahhiyer.com
Tidak tahu bagaimana dapat saya gambarkan kekuatan diri Intan ketika ini. Sememangnya Intan kuat orangnya.
Saya sendiri tidak pasti dapat menjadi sekuat dia atau sebaliknya jika diujiNya sedemikian rupa. Sesungguhnya Allah menguji orang-orang yang mampu melalui ujianNya itu.
Sama Tarikh Lahir Dengan Zarif
Intan sama tarikh lahir dengan Zarif, 10 November. Setiap kali terpandang Zarif, akan terbayang muka sahabat saya ini.
Zarif pun walaupun kuat menangis tapi dia juga mewarisi sifat budak yang tabah.
Sejak dia tinggal dengan neneknya, dia jadi budak yang cekal hatinya. Pandai membawa diri di rumah nenek.
Walaupun nakalnya jangan cerita, tapi dialah yang rajin mengemas rumah nenek. Kadangkala membasuh pinggan nenek. Semoga Zarif sekuat acik Intan.
Doa saya sentiasa mengiringi Intan, anak-anaknya dan keluarganya. Moga perjalananmu dipermudahkanNya dan Allah menggantikan kesedihan Intan dengan ‘hadiah’ yang lebih baik lagi. Amin.
PS: Kalau Intan terbaca coretan ini, Intan perlu tahu yang kami sayangkan Intan. Dan mahu Intan kembali ceria. Kalau Intan perlukan apa-apa, kak Net dan Abang Yem sentiasa ada.
Disclaimer : Catatan ini bertarikh 7 September 2014
- Like : Fanpage Netty Ah Hiyer Tulis
- Follow : Instagram Netty Ah Hiyer
Mmg Intan sangat kuat & tabah kan.. Taktau la macam aku kalau kat tempat dia..