Dipermulaan awal Rejab, jam 5 pagi Isnin ini, penduduk Meru mendapat perkhabaran duka, Dr Rani Osman meninggal dunia.
Allahyarham Dr Hj Abd Rani Osman merupakan mantan Pesuruhjaya Pas Selangor menghembuskan nafas terakhirnya ketika dalam perjalanan ke Hospital Banting.
Membaca perkongsian teman-teman Allahyarham di facebook, sebelum tidak sedarkan diri. Allahyarham difahamkan baru saja hendak mengambil wuduk untuk solat tahajjud. Waktu itu, arwah sedang bercuti bersama ahli keluarganya di Pulau Carey, Kuala Langat.
Khidmat Bakti Allahyarham Dr Rani Osman
Pemergian Allahyarham meninggalkan seorang isteri, empat anak dan 11 cucu.
Sewaktu hayatnya, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai mantan Adun Meru. Aktif dengan Lajnah Kebajikan Pas Kapar dan memberikan khidmat kebajikan perubatan kepada penduduk Kapar.
Saya masih ingat, waktu saya kecil hingga remaja pernah juga mendapatkan rawatan Allahyarham di klinik miliknya iaitu di Klinik Fitrah Meru.
Malah, Allahyarham juga pernah menaja pembelajaran pakcik di Timur Tengah.

Allahyarham juga suatu ketika pernah begitu aktif dengan kerja-kerja NGO bersama Yayasan Amal Malaysia, Misi Bantuan Kemanusiaan ke negara-negara luar.
Antaranya Gaza, Palestin, Nepal, Sudan, Tamil Niadu di India, Vietnam, Peshawar di Pakistan, Bam di Iran, Aceh di Indonesia dan Cambodia.
Besar jasa Allahyarham kepada warga Meru. Terutama buat mereka yang pernah dibantu dari segi kebajikan, kediaman malah pendidikan anak-anak yang kurang bernasib baik.
Ramainya Ummah Iringi Pemergian Akhir Allahyarham Dr Rani Osman
Melihat betapa ramainya ummah yang hadir untuk mengiringi perjalanan akhir Allahyarham untuk solat jenazah sehinggalah urusan pengebumian. Tentulah ada amalan dan kebaikan yang Allahyarham kerjakan sewaktu hayatnya.
Membuatkan hati ini mahu sentiasa membuat kebaikan kepada sesiapa pun.
Semoga nanti, bila mana tuhan sudah memanggil, kita sudah pun melaksanakan tanggungjawab menjadi hambanya yang baik lagi patuh.

Al Fatihah. Semoga Allah merahmati, mengampuni dan menempatkan Allahyarham Dr. Hj Abd Rani Osman bersama hambaNya yang solihin.
Baca juga :
- Buka sekolah dan tarikh cuti sekolah 2023 Selangor
- 5 hotel romantis di Kuala Lumpur best raikan Anniversary
Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis