Jenal senget

Kisah Mistik dipetik dari majalah Mingguan Wanita keluaran bulan Ogos. Dapatkan di pasaran ya!


–>

Jenal dengar suara mengilai yang sungguh kuat dari arah perdu pohon rambutan yang merimbun. Semakin lama hilaiannya semakin nyaring langsung tidak boleh diterima dek akal Jenal yang senget itu.

“Jenal! Jenal! Mari ke mari Jenal!,” jeritan itu semakin kuat dan menyakitkan telinganya.

Jenal tidak takut tatkala mendengar suara itu. Sebaliknya dia menjadi semakin asyik mendengar namanya dipanggil-panggil penuh gemersik. Hatinya semakin tidak keruan. Fikirnya suara siapakah yang gemersik lagi nyaring yang tanpa henti memanggil namanya di malam-malam hari begitu?

Setahu Jenal, dia tidak mempunyai hutang dengan mana-mana orang kampung yang tinggal berdekatan dengan rumahnya. Langkah Jenal semakin sumbang, fikirannya berkecamuk antara asyik dan tidak keruan. Namun, Jenal tidak tahu kenapa kakinya terus sahaja laju melangkah ke arah perdu pohon rambutan yang penuh dengan misteri itu.

“Jenal… seluruh ahli keluarga kau itu bukan manusia. Mereka semua keturunan toyol. Kau tahukan? Hanya kau sahaja yang mampu menghapuskan toyol-toyol itu,” bisikan itu terus-terusan menghantui fikiran Jenal.

“Keluarga aku? Toyol? Tak mungkinnnnnn,” Jenal berlari sekuat hati sebaik sahaja mendengar gemerisik suara yang tidak henti-henti menghasutnya.

“Aku mesti hapuskan toyol-toyol itu barulah aku dapat semula ahli keluargaku yang lain,” luah Jenal terkekek-kekek sendirian.

Jenal tidak terus masuk ke dalam rumah. Sebaliknya dia berbaring di beranda rumah kayunya itu. Lama dia baring di situ sampailah tingkahlakunya telah mengejutkan ibunya yang kebetulan membuka daun pintu rumah.

“Subhanallah Jenal, apa kau tidur dekat beranda malam-malam buta macam ini. Pergi masuk dalam. Buat terkejut mak saja,” jerkah ibunya.

“Saya tengah fikir macam mana saya hendak bunuh toyol mak,” jawapnya acuh tak acuh.

“Ya Allah, merepek apa kau malam-malam ni Jenal. Pergi kau basuh kaki dengan muka kau tuh. Entah setan apa yang meresap kat badan kau sekarang ini pun mak tak tahu. Hendak bunuh toyol konon, kerja pun tak tentu hala ada hati nak membunuh orang,” balas ibunya dengan leteran yang panjang.

Jenal sedikitpun tidak mengendahkan saranan ibunya. Dia membiarkan sahaja ibunya membebel seorang diri. Jenal terus berbaring di situ sambil melayan perasaannya yang berkecamuk itu.

Malam itu hatinya telah bulat. Dia akan melakukan seperti yang dibisikkan oleh suara gemersik yang telah didengarnya sejak waktu maghrib tadi. Tapi persoalannya, bagaimana dia mahu membunuh toyol tersebut? Adakah dia perlu menggunakan pisau atau kapak? Jenal berfikir lagi. Semakin di fikirkan semakin sakit kepalanya.

“Ya Allah, budak Jenal ini. Aku suruh tidur dalam dia tidur dekat luar. Macam anak terbuang pula. Susah betul bercakap dengan budak tak berapa nak betul ni. Boleh gila dibuatnya,” rungut ibu Jenal dalam nada geram.

Jenal dengar ibunya merungut. Tapi rungutan itu bagaikan tidak memberi kesan kepadanya. Semalaman dia tidak dapat melelapkan mata. Fikirannya terlalu terganggu. Sampai ke pagi itu dia masih belum dapat menyelesaikan masalahnya. Dia masih belum tahu cara manakah yang perlu dia lakukan untuk membunuh toyol-toyol itu. Bosan dengan keadaan yang dialami Jenal segera turun ke bawah rumah lalu menuju ke sungai berdekatan.

Jenal berteleku di atas batuan sungai sambil menjerit-jerit. Kuat suaranya sehinggakan ia boleh didengari oleh ibunya yang sedang menyapu di halaman rumah.

“Apa lagilah dengan budak Jenal ini. Tak habis-habis nak menyusahkan aku. Dulu kau dah malukan aku bila kau cuba merogol anak ketua kampung. Sekarang ini apa pula yang kau nak buat. Kalau ikutkan hati nak sahaja aku rantai kaki dan tangannya itu, biar dia tak boleh bergerak ke mana-mana,” kata ibunya sengaja dikuatkan nadanya. Sebolehnya dia mahu Jenal mendengar apa yang terbuku dalam hatinya itu. Selepas menjerit-jerit tanpa henti Jenal segera melangkah ke kedai Pak Mat. Dia keluar dari kedai dengan menjinjing sebotol besar minyak tanah. Dia sudah tahu apa yang perlu dilakukannya.

Azan maghrib berkumandang kuat di corong suara peti televisyen usang milik keluarganya. Semua adik-beradik Jenal dan ibunya berkumpul untuk menunaikan solat maghrib. Seperti selalu, Jenal tidak akan ikut serta. Dia lebih suka melepak di bawah pohon rambutan berdekatan dengan rumahnya.

Malam itu juga Jenal yakin dia pasti dapat membunuh toyol mengikut caranya. Jenal telah mengunci rumahnya dari luar. Dia mahu pastikan tiada seekorpun toyol yang akan terlepas. Perlahan-lahan dia menuangkan minyak tanah ke tiang kayu rumahnya. Jenal nyalakan api dan bertepuk tangan sekuat hati apabila api marak memakan seluruh rumah termasuk ibu dan adik-beradiknya yang sedang bersolat di dalam rumah itu. Selepas tragedi pilu itu, Jenal ditemui masih ketawa berdekah-dekah tanpa henti oleh pegawai polis yang menyiasat kes kebakaran rumahnya itu.

Tags:

Leave a Reply

error: Content is protected !!