Desakan mencari kerja | Wartawan bukanlah pekerjaan pilihan pertama yang terlintas di fikiran saya. Dek desakan mencari kerja itulah, wartawan tiba-tiba jadi sumber rezeki.
Dulu, waktu zaman sekolah rendah, cikgu atau mak abah akan bertanyakan soalan mahu jadi apa bila dewasa.
Memandangkan ketika itu, ruang lingkup saya hanyalah berdepan dengan guru mahupun jururawat hatta doktor yang selalu kita jumpa setiap kali demam, sudah pastilah kerjaya guru atau jururawat malah doktor yang terkeluar dari bibir saya.
Semakin meningkat dewasa, saya mula mengubah impian mahu menyertai unit beruniform dek minatnya melihat ketampanan abang-abang askar kala berpakaian.
Sampaikan waktu saya tingkatan lima, saya pernah menyertai pasukan kadet bomba sekolah.
Dan yang paling sadis sekali, sayalah satu-satunya senior yang ikut serta dalam kelab itu. Mengapa saya kata sadis? Kerana ia tak bertahan lama. selepas mengikuti beberapa kelas, saya tarik diri.
Sempatlah saya menimba ilmu tentang teknik ikatan tali dan cara api merebak. Terpadamlah impian saya mahu sertai badan beruniform yang pernah saya gilai sebelum ini.
Sambung Pengajian Komunikasi Media
Semasa menyambung pengajian Komunikasi Media di Universiti Teknologi Mara pada tahun 1997, saya masih lagi tidak jelas dengan hala tuju hidup saya.
Orang kata belajar dan dapatkan skor terbaik, itulah yang saya usahakan.
Saya tahu, mak dan ayah bukanlah orang senang. Jadi saya tak boleh bermalas-malasan. Perlu gigih agar tidak kena tendang dari kolej.
Ketika itu saya menghuni kolej seroja 3 bilik 105.
Banyak betul kenangan di bilik itu. Seronok kalau di kongsi dalam blog ini, tapi biarlah saya cerita satu-persatu.
Kalau sekaligus bercerita bimbang panjang berjela sampai esok lusa belum tentu sampai penyudahnya.
Ya, sampailah saya tamat belajar saya masih belum jelas dengan hala tuju kerjaya saya. Pengajian berakhir, saya langsung mencuba mengikuti siri demi siri temuduga bersama teman saya kala itu, Ita (Kini, beliau editor di majalah Rapi).
Saya tak boleh lupa kenangan temuduga menjadi wartawan di Pustaka Wira. Memandangkan gajinya tak besar dan jauh pula di Gombak, mak minta saya fikir dua kali terima atau menolak sahaja tawaran bekerja dengan mereka.
Akhirnya saya dan Ita, menolak pekerjaan wartawan di syarikat itu.
Desakan Mencari Kerja Buat Saya ‘Sesak’
Sebenarnya sebaik sahaja tamat pengajian, mak sudah mulai bising-bising memaksa saya mencari kerja. Langsung tak beri peluang saya bernafas.
Waktu itu saya merasakan mak adalah ibu paling kejam di muka bumi ini. Misi mencari kerja itu juga membuatkan Ita tidur di rumah saya selama beberapa minggu.
Sebenarnya kami terlalu gigih ketika itu.
Barangkali semangat saya dirangsang oleh Ita yang terlalu aktif orangnya ditambah pula dengan desakan mak yang bingit bermain di telinga saya.
Kami berjalan merata Shah Alam dan Kuala Lumpur. Pernah juga kami mahu buat kerja gila. Ketika berlegar di Plaza Shah Alam, pernah kami terfikir mahu terjah sahaja pejabat-pejabat di situ sambil membawa resume yang telah lengkap kami sediakan.
Malah, beberapa tempat lagi yang saya sendiri pun sudah kurang mengingatinya.
Tapi niat kami dihalang, kerana itu pejabat kerajaan dan ada prosedur pengambilan pekerja yang mereka amalkan.
Mencuba Pula Jadi Tenaga Pengajar
Setelah beberapa ketika, kami gagal dalam cubaan mencari kerja. Akhirnya, memaksa Ita pulang ke kampung. Saya di sini meneruskan misi mencari pekerjaan sendiri.
Setiap pagi, saya dengar betapa nyaringnya suara mak minta saya segera bangun dan pergi sahaja ke kilang-kilang berdekatan dengan rumah saya.
Mohon apa saja jenis pekerjaan hatta operator pengeluaran asalkan namanya pekerjaan.
Oh! Saya sungguh tertekan ketika itu. Tekanannya sungguh hebat malah lebih dahsyat daripada menjawab kertas peperiksaan di dewan kuliah.
Selang beberapa hari, Ita menghubungi minta saya temankan dia menghadiri temuduga menjadi guru di Melaka. Pujukan itu membawa saya ke rumahnya di Gemencheh, Negeri Sembilan.
Kini, saya pula perlu tinggal di rumahnya selepas gagal mencari kerja di Selangor. Ya, semuanya demi misi mencari pekerjaan.
Janganlah Rahsia Terbongkar
Sungguh saya tidak bersedia untuk ke tempat temuduga menjadi guru. Sikitpun tidak terbayang yang saya layak menjadi guru.
Namun, saya ikutkan saja. Memandangkan lokasi temuduga di Melaka, kami menumpang tidur di rumah Pak Long Ita di Melaka.
Tapi ada rahsia besar yang Ita tidak ceritakan kepada ayahnya. (Saya berdoa pakcik Anua tidak membaca catatan ini – sudah arwah. Al-Fatihah untuk arwah pakcik). Ita juga sama seperti saya, didesak ayahnya agar ikut sahaja temuduga guru itu.
Dia tidak mahu menghampakan keinginan ayahnya dan ikut saja kata orang tua.
Sebaik kereta ayahnya sampai di perkarangan lokasi temuduga, hampalah ayahnya kerana tarikh temuduga bukanlah pada hari itu. Tapi ia telah berlangsung sejak semalam.
“Net, aku tahu tarikh temuduga tu semalam. Tapi aku tak beritahupun ayah aku.” Kata Ita membuka rahsia besar yang disimpannya sejak semalam.
“Oooo…” panjang muncung saya, sama panjangnya dengan masa depan kami yang belum tentu lagi itu.
Akhirnya, saya pun pulanglah ke rumah di Kampung Budiman, Meru. Ita tinggal di rumah ibu dan ayahnya.
Seksaan kembali bermula. Seperti biasa mak minta saya mencari kerja.
Bertemankan adik kedua, kami membonceng motosikal meredah kilang-kilang.
Akhirnya, sampailah motosikal yang kami pandu ke kilang Dexter iaitu kilang getah pembuat sarung tangan.
Lamaran Jadi Wartawan Dari Company Penerbitan
Saya tidak menggunakan ijazah yang baru diperoleh. Sebaliknya borang kerja itu saya isi dengan keputusan SPM yang pernah saya ambil lewat lima tahun lalu.
“Kenapa tak sambung belajar? You punya keputusan manyak baik.” Ucap penemuduga wanita berbangsa Cina itu.
“Saya tak ada duit sambung belajar. Mak saya susah, saya tolong makcik kerja kedai makan.” Saya bohong sunat demi pekerjaan yang mak saya idamkan.
Dan hari itu, saya telah ditawarkan pekerjaan sebagai pembantu makmal di kilang tersebut dengan gaji RM750. Tapi penemuduga itu minta saya bawakan sijil asal peperiksaan SPM yang sudah berkurun itu.
Saya pulang dengan perasaan gembira. Rupanya di rumah juga ada berita gembira.
Mak maklumkan syarikat Karangkraf telah menghubungi dan minta saya lapor diri segera sebagai wartawan mereka. Syukur Alhamdulillah, saya dapat dua pekerjaan.
Sungguhlah Desakan Mencari Kerja, Akhirnya Jadi Wartawan
Pastilah saya pilih pekerjaan yang berpenat lelah saya mempelajari ilmunya ketika di universiti dahulu. Syukur juga kerana saya tidak perlu bohong sunat terlalu lama kepada penemuduga itu.
Dalam masa yang sama, Ita juga diterima di syarikat yang sama. Buat permulaan, saya menumpang di rumah pakciknya yang tinggal di flat kecil di Subang.
Walaupun kediaman itu, kecil namun saya gembira dapat menumpang di situ.Bahagia kerana ada anak kecil bernama Farah yang cukup comel gelagatnya.
Apa khabar agaknya, Farah sekarang ini? Pasti sudah anak dara, entah-entah sudah menjadi tunangan orang.
Hari ini saya bersyukur kerana punyai mak yang bising mulutnya. Jika dia tidak membebel setiap hari, mendesak saya mencari pekerjaan pasti saya masih tidak ke mana-mana.
Ya, sebenarnya kami begitu hilang akal dalam misi mencari pekerjaan ketika itu. Banyak juga perkara yang tidak masuk akal hampir kami lakukan demi mendapatkan sebuah pekerjaan.
Selain kerja keras dan usaha yang tidak pernah jemu. Doa yang mak himpunkan setiap hari juga membantu.
Sebabnya, setiap kali mahu mencari kerja, saya mesti minta mak doakan kejayaan saya.
Sampailah hari ini, saya tidak pernah putus-putus minta mak doakan apa juga perkara yang mahu saya usahakan.
Semoga mak dan abah dilindungi Allah dan dipermudahkan kehidupannya di dunia mahupun akhirat. Amin.
Buat anda yang mungkin sedang alami desakan mencari kerja ketika ini, janganlah pernah berputus asa. Apatah lagi, menyesali perjalanan hidup kalian. Ikut saja flow nya, dan bersangka baiklah dengan Allah. Kerana saya percaya setiap aturanNya walau pun pedih untuk dilalui, sebenarnya adalah pelajaran untuk menjadikan kita lebih baik lagi di masa hadapan.
nettyahhiyer.com
Disclaimer : Catatan bertarikh 6 Oktober 2013
IKUTI KISAH LAIN DI SINI : - Mingguan Wanita dari tabloid bertukar majalah - ‘Moving to digital’ yang serba mengejutkan - Panduan bawa anak keluar ke mall, ini cara selamat
- Like : Fanpage Netty Ah Hiyer Tulis
- Telegram : https://t.me/NettyAhHiyerTulis
Net…nanti jangan lupa sambungannya tentang suka duka menjadi wartawan baru yang kena naik bas dan teksi ke tempat tugasan. Banyak yang menarik dan yang pastinya melucukan. Hehehe…
Kak naros apa yang dulunya.. sekarang pun masih perlu naik bas dan teksi.. cuma tak selalu. kadang2 saja..
nisa- dulu seronok depan taman tun tu memang bas banyak… tak ada masalah sangat.. tapi ada kenangan kelakar dalam bas bila kena ngorat dengan Indon.. haha
nak tau jugak pengalaman keluar asgmt zaman tak ada transport tu..masa ku mula msuk keje, naik motor, xmerasa sangat la naik bas/teksi ke karangkraf lama dulu hehe…
nak tau jugak pengalaman keluar asgmt zaman tak ada transport tu..masa ku mula msuk keje, naik motor, xmerasa sangat la naik bas/teksi ke karangkraf lama dulu hehe…
Tahniah kakak..perjalanan hidup kakak sma mcm apa yg sy rsa skrg..
Eira- sebelum datang kemudahan, bersusah-susah dahulu.