Bawa anak keluar ke Mall atau pusat membeli belah pun perlu mak ayah titikberatkan. Jika tak jaga dengan betul boleh mengundang bahaya kepada anak itu sendiri.
Ini tip yang dikongsikan kaunselor, Puan Siti Fatimah Abd Ghani dalam soal jawab bersama majalah Keluarga tidak lama dulu.
Bagaimana mak ayah boleh bawa anak-anak berjalan-jalan di mall atau pusat membeli belah dengan selamat. Tipnya dikongsikan mengikut peringkat usia anak-anak.
Perkara Penting Perlu Ditekankan Sewaktu Bawa Anak Keluar Ke Mall
Semasa membawa anak ke pusat membeli belah, apakah perkara utama yang perlu dititikberatkan oleh ibu bapa.
- Keperluan dan kelengkapan anak-anak seperti pampers, susu, pakaian persalinan, topi, tuala kecil atau sapu tangan, makanan dan juga peralatan lain seperti kereta sorong, bekas berisi air masak, bekas berisi air panas (untuk penyediaan susu formula) beg galas berisi keperluan anak-anak, dan sebagainya.
- Kondisi kesihatan anak-anak.
- Lokasi dan kesesuaian pusat membeli belah seperti pengetahuan tentang kemudahan yang disediakan
- Kesesuaian pakaian anak-anak mengikut tempat yang dilawati. Dielakkan mengenakan pakaian tebal kepada anak-anak jika mengunjungi tempat yang sesak dengan orang ramai, panas dans ebagainya kerana dikhuatiri menimbulkan kesan tidak selesa serta jangkitan lain terhadap badan anak.
- Pakaian ibu bapa juga harus sesuai dan selesa. Tidak terlalu sarat dengan perhiasan diri (brooch yang sarat jika bertudung, barang kemas yang sarat, pakaian yang terlalu ketat atau terlalu labuh, kasut yang bertumit atau licin). Pemakaian ibu bapa mempengaruhi keselesaan kepada anak-anak juga. Silap haribulan, pemakaian ibu bapa yang tidak sesuai menyebabkan kecederaan pada ibu bapa dan kesannya juga kepada anak-anak.
- Persediaan perjalanan jauh memerlukan persediaan yang lengkap untuk keperluan kanak-kanak. Perlu diingatkan bahawa penyediaan bekalan makanan untuk kanak-kanak terutamanya bayi amatlah penting keranan makanan kanak-kanak tidak terdapat di pusat membeli belah. Sebaik-baiknya minuman mereka seperti air kosong/ mineral dan susu serta bekalan air panas perlu dibawa dalam bekas khas untuk kemudahan apabila diperlukan.
- Keselematan dan keselesaan bayi perlu diutamakan. Bayi sememangnya lebih selesa untuk tidur dalam dakapan orang dewasa. Pun begitu, jika ibu merasa penat untuk mendukung bayi, maka dinasihatkan untuk meletakkan bayi di dalam kereta sorong bagi tidur yang lebih lena dan selesa.
Tip Ajar Anak Akan Bahaya Yang Ada Di Pusat Membeli Belah
0 – 1 tahun
- Masih awal untuk mendidik/mengajar/menunjukkan cara yang betul tentang bahaya yang ada di pusat membeli belah.Yang paling praktikal boleh dilakukan ialah dengan kawalan sepenuhnya oleh ibu bapa sepanjang berada di luar.
- Ibu bapa perlu peka tentang kebarangkalian risioko dan bahaya yang ada supaya langkah berjaga-jaga diambil terlebih dahulu iaitu pencegahan.
2 – 4 tahun
- Bermula usia seawal 2-4 tahun, ibu bapa sudah boleh bercakap dengan anak-anak berkenaan bahaya sekeliling. Cara penyampaian perlulah bersahaja dan boleh difahami oleh anak-anak.
- Paling ketara jika menggunakan medium komunikasi yang lain seperti buku, rancangan televisyen atau gambarajah bergambar untuk memudahkan pemahaman.
5 – 6 tahun
- Pada peringkat usia ini, anak-anak boleh dilatih untuk bertanggungjawab dengan membawa beg milik sendiri yang mengandungi barang keperluan ketika keluar bersama keluarga.
- Kanak-kanak tidak perlu meminta ibu bapa jika dahaga dan lapar kerana mereka boleh mendapatkannnya dari beg yang dibawanya sendiri. Pun begitu, ibu bapa perlu menyediakan keperluan itu sebelum bersedia untuk keluar bersiar-siar.
- Bergurau senda dan bersembang bersama anak boleh merapatkan lagi hubungan antara ibu bapa dan anak. Selain itu, ia melatih daya tindak dan kognitif anak-anak untuk berkongsi dengan ibu bapa atas apa jua perkara yang difikirkan perlu.
- Tanpa komunikasi dan gurau senda dalam keluarga, hubungan menjadi dingin dan tidak mesra. Kesannya, proses mendidik anak juga terhenti.
Barang Selamat Waktu Bawa Anak Ke Pusat Membeli Belah
Beg Sandang
Selain pemilihan kasut yang sesuai, beg tangan ibu juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan keselamatan diri dan anak-anak ketika berada di tempat awam terutamanya pusat membeli belah yang dipenuhi orang ramai.
Pemilihan beg sandang/ galas yang tidak sesuai membuka peluang kepada penjenayah yang berkeliaran untuk meragut, selain juga dikhuatiri tercicir jika terlalu kecil dan tidak mempunyai tali sandang yang bersesuaian. Jika situasi ini berlalu (diragut) misalnya, ianya membahayakan keselamatan si ibu malah lebih teruk jika dikendong bayi bersama-sama.
Kasut
Kasut yang tidak sesuai mendedahkan diri kepada masalah kesihatan/ lenguh/tergelincir/terseliuh dalam kalangan ibu bapa serta anak. Kesesuaian kasut untuk anak-anak amat penting bagi mengelakkan kemalangan yang di luar jangkaan.
Baju Anak
Pakaian anak-anak juga perlu bersesuaian bagi memberikan keselesaan kepada anak-anak serta membantu mereka bergerak lebih bebsa tanpa merasa melekit/terlalu labuh dan sarat ketika berada di pusat membeli belah. Material fabric juga perlu sesuai agar anak selesa dalam berfesyen.
Kesilapan yang sering dilihat ialah dengan mengenakan telekung kepada bayi yang masih kecil. Tidak dinafikan, amalan ini merupakan satu inisiatif dari ibu bapa untuk membiasakan anak-anak menutup aurat ketika di peringkat awal lagi.
Pun begitu, saya tidak bersetuju jika pemakaian tudung dalam kalangan bayi atau kanak-kanak yang masih tidak mengerti apa-apa kerana ianya ternyata tidak selesa melainkan dipakaikan kepada anak-anak yang sudah mampu menjaga pemakaian mereka sendiri.
Bayangkan, jika seorang bayi dipakaikan tudung dalanm situasi pusat membeli belah yang penuh dengan orang ramai, bersesak-sesak dan panas. Akhirnya apa yang ingin dipraktikkan itu tidak mencapai maksud.
Selain itu, ada juga yang mengenakan pemakaian shawl yang penuh dengan pin tudung sana sini, sehingga menutupi mata dan adakalanya terlihat agak sarat pada anak-anak. Justeru, jikalaupun ingin mendidik anak-anak menutup aurat, maka pilihan peringkat usia itu amat penting serta jenis material dan bentuk tudung itu sendiri perlu diperhalusi.
Aksesori Anak
Ada juga yang mengenakan hiasan kepala yang terlalu sarat kepada anak-anak. Tidak kurang juga perhiasan lain seperti barang kemas yang mendedahkan mereka kepada bahaya peragut atau penyelup poket. Jika benar ingin menghiaskan anak-anak, maka biarlah ianya ringkas, selamat dan selesa buat mereka.
Waktu Sesuai Bawa Anak Ke Mall
Waktu yang paling sesuai untuk bawa anak ke pusat membeli belah adalah bergantung juga kepada kelapangan masa ibu bapa. Sebaiknya, elakkan membawa anak-anak di waktu puncak ataupun ketika tiba sesuatu musim perayaan. Situasi ini menyebabkan susasana agak sesak dan penuh dengan ramai orang sehingga membahayakan keselamatan anak.
Pilihlah waktu di mana kurangnya orang berkunjung ketika itu seperti hari biasa selepas waktu persekolahan dimana ibu bapa berkemungkinan perlu mengambil cuti atas desakan membeli barang-barang keperluan anak-anak seperti baju raya, baju sekolah dan kelengkapan yang lain. Uruslah masa yang sebaiknya.
Selain mengelakkan dari berlakunya kemalangan, atau kecederaan yang lain, ia juga mengelakkan perasaan amarah dan emosi dalam kalangan ibu bapa jika sukar mendapatkan tempat letak kenderaan.
Perkara ini dikhuatiri menimbulkan satu gerak rasa yang negatif bagi ibu bapa sebelum meneruskan niat membeli belah. Asasnya, perkara sebegini boleh dielakkan dan bergantung kepada kebijaksanaan menetapkan keutamaan masa untuk membeli belah.
Waktu Sale, Jualan Murah, Begini Cara Betul Bawa Anak Anda
0– 1 tahun
- Sebaiknya bawalah bersama pembantu (jika ada) ataupun saudara yang boleh bergilir-gilir menjaga bayi ketika ibu bapa sedang asyik membeli belah.
- Jika tiada pembantu, maka perlulah peranan menjaga anak diagihkan antara ibu dan bapa. Contoh jika ibu sibuk memilih barangan keperluannya, maka bapa boleh mengambil alih peranan untuk menjaga anak. Begitulah sebaliknya.
- Memastikan keperluan bayi disediakan seperti susu suam dan jika bayi masih menyusu badan, maka pastikan bayi sudah diberikan susu (sebelum bertolak ataupun di tempat yang disediakan) sebelum meneruskan niat untuk membeli belah.
- Memastikan kondisi bayi selesa dan lampin juga bersih dan tidak sarat samaada buang air besar ataupun air kecil. Ini penting bagi mengelakkan bayi meragam dan pastinya menimbulkan emosi yang tidak tenteram juga bagi ibu bapa jika bayi meragam. Justeru, untuk mengelakkan emosi ibu bapa terganggung, terlebih dahulu sempurnakanlah keperluan anak-anak terutama bayi.
- Membawa peralatan yang sesuai seperti stroller atau beg sandang bayi yang sesuai, iaitu tidak terlalu besar atau kecil dan mudah dibawa.
2 – 4 tahun
- Seperti juga bayi, anak-anak dalam lingkungan 2 – 4 tahun juga perlu diperhatikan sepenuhnya oleh ibu bapa. Giliran memilih pakaian atau baranga keperluan perlu dilakukan oleh ibu dan bapa supaya sentiasa ada orang dewasa yang mengawal anak-anak.
- Sekiranya mempunyai pembantu atau saudara maka sebaiknya dibawa bersama bagi menjaga anak-anak ketika ibu bapa sibuk memilih.
- Jika anak-anak merupakan seorang yang hiperaktif atau tidak duduk diam, maka sebaiknya bawa bersama beg sandang anak-anak yang mempunyai tali supaya sentiasa dekat dan terkawal pergerakkannnya oleh ibu bapa. Alat ini telah digunakan secara meluas di kebayakan Negara luar sebagai satu langkah pencegahan anak-anak berkeliaran ke tempat lain tanpa kawalan ibu bapa.
- Pimpin tangan anak-anak kuat-kuat bagi mengelakkan mereka hilang atau sesat dalam limpahan orang ramai.
5 – 6 tahun
- Bagi anak-anak dalam lingkungan usia ini, kebanyakan mereka telah mula faham akan arahan dan keselamatan. Maka sebaiknya, sebelum keluar rumah, perlu diberi peringatan kepada anak-anak supaya berkelakuan baik dan sentiasa berada bersama ibu dan ayah. Jadikan peringatan itu sebagai kebiasaan sebelum keluar ke mana-mana terutama tempat yang ramai orang.
- Anak-anak juga perlu diberitahu akan cara terbaik jika dalam situasi tersesat atau hilang dari kawalan ibu bapa iaitu untuk pergi ke mana-mana kaunter di pusat membeli belah itu untuk memberitahu bahawa mereka hilang dari ibu bapa.
- Pastikan anak-anak mengetahui nama penuh ibu bapa dan namanya sendiri jika merujuk ke kaunter di pusat membeli belah. Lebih elok sekiranya anak-anak diberitahu tempat untuk meminta tolong di bahagian keselamatan yang tersedia (namun agak sukar untuk melakukan perkara ini melainkan pusat membeli belah itu sememangnya sering dikunjungi bersama anak-anak)
- Memberikan kad nama berserta no. telefon kepada anak-anak sekiranya berlaku kes kehilangan atau sesat. Langkah ini juga telah digunakan secara meluasnya di Negara-negara luar. Selain nama dan nombor telefon ibu bapa, nametag juga boleh disediakan kepada anak-anak bagi memudahkan urusan bantuan dan pertolongan yang lain.
Tip Agar Mak Ayah Tak Terlepas Pandang Pergerakan Anak Dalam Mall
Tanggungjawab dan kepekaan ibu bapa adalah syarat utama untuk memastikan anak-anak selamat. Selain itu, ibu bapa perlu jelas tentang keperluan mereka membeli belah dari segi barangan yang ingin dibeli, bahagian mana yang ingin dilewati, jangkaan masa dan juga kebersamaan bersama anak-anak.
Tidak dinafikan ada segelintir ibu bapa yang terlalu leka memilih sehingga lupa yang mereka hadir bersama anak-anak yang belum mengerti tentang apa-apa. Perlu diketahui bahawa anak-anak ini adalah batasan atau had masanya untuk berkeadaan baik dan tenang.
Maka ibu bapa perlu peka tentang jangka masa yang perlu dihabiskan di sesuatu tempat membeli belah itu supaya anak-anak tidak terabai dan masih terkawal. Jika anak-anak mulai bosan dan penat, situasi sebeginilah yang mungkin mendedahkan mereka kepada bahaya yang lain.
Masa Shopping
Selain itu, ibu bapa juga perlu bijak mengatur masa dan pemilihan lokasi membeli belah. Pastikan pemilihan tempat yang sesuai, masa dan keadaan juga sesuai. Jika perkara ini diberi perhatian, maka sudah pasti suasana membeli belah itu menjadi sesuatu yang seronok dan bukan tragedi hitam.
Bawa Anak Makan-makan
Jika anak letih semasa keluar membeli belah dinasihatkan berhenti seketika berehat di tempat yang menyediakan minuman dan makanan. Sekirannya kanak-kanak terlena biarkan lena di pangkuan orang dewasa sambil menjamu selera. Sekiranya orang dewasa ingin meneruskan membeli belah dalam keadaan anak keletihan tingkahlaku negetif akan ditunjukkan oleh anak dengan pelbagai ragam.
Dukung Anak Yang Letih
Mendukung kanak-kanak boleh meletihkan sekiranya sebelah tangan dan sebelah lagi memilih barang yang ingin dibeli. Kedaan menjadi bertambah sukar sekiranya situasi persekitaran sesak dan padat dengan ramai orang. Penggunaan kereta sorong yang sederhana saiznya adalah yang terbaik dalam menghadapi situasi sebegini.
Cuba Pimpin Tangan Anak
Pimpin tangan anak sepanjang berada di pusat membeli belah akan menimbulkan perasaan selamat dalam kalangan kanak-kanak. Selain itu, keselematan mereka juga terjamin.
Ayah Tolong Jagakan Anak
Sementara menunggu isteri membeli belah peranan bapa adalah menjaga anak kecil. Kanak-kanak kecil merasa lebih selamat bersama orang yang terdekat iaitu bapa.Kemesraan antara orang yang terdekat dapat merapatkan hubungan dan memberi kesan kepada perkembangan diri kanak-kanak terutama perkembangan emosi dan tingkahlaku. Semasa mendokong bapa hendaklah berkomunikasi dengan anak tentang hal di persekitaran biarpun tidak difahami tetapi didengar dan dilihat.
Jangan biarkan anak merasa bosan tanpa mendapat perhatian. Kelekaan orang dewasa menumpukan perhatian terhadap anak-anak memberi kesan negative kepada anak selain membahayakan keselamatan mereka sekiranya terabai dan hilang dari kawalan ketika berada di persekitaran ramai orang.
Ajar Anak Hati-hati Dengan Orang Asing Dalam Mall
- Wujudkan komunikasi 2 hala antara ibu bapa dan anak-anak bagi mengeratkan hubungan interpersonal dalam kalangan ahli keluarga. Jika komunikasi ini sering dipraktikkan, maka adalah lebih mudah untuk ibu bapa menyampaikan sesuatu maklumat dan ajaran kepada anak-anak.
- Memberitahu anak-anak tentang pantang larang ketika berhadapan dengan orang asing seperti apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan. Sebagai contoh, jika orang asing memberikan sesuatu, apa yang boleh diambil, apa yang tidak boleh diambil dan perlu dinyatakan sebab sesuatu tingkah laku itu.
- Berikan juga tips-tips keselamatan kepada anak-anak menerusi perkongsian secara langsung ataupun menerusi penggunaan media massa sama ada elektronik ataupun media cetak. Berkemungkinan besar, langkah-langkah keselamatan diri ini boleh difahami dengan lebih mudah jika dipelajari menerusi surat khabar, majalah ataupun rancangan televisyen.
- Didiklah anak-anak untuk bijak berkelakuan ketika berhadapan dengan orang asing. Jika merasai keselamatannya tergugat, maka ajarlah anak-anak untuk meminta tolong ataupun berlalri ke tempat yang ramai orang. Paling mudah, ajar anak-anak untuk terus berlari ke kaunter pembayaran ataupun tempat yang meriah dan bukan di tempat sunyi.
- Sentiasa mengingatkan anak-anak supaya berada di sisi ibu bapa sepanjang berada di tempat awam.
- Didik anak-anak untuk meminta kebenaran untuk pergi ke sesuatu tempat yang lain kepada ibu bapa sebelum bertindak beredar ke tempat selain dari kawalan ibu bapa.
- Ingatkan anak-anak untuk tidak keseorangan dan sentiasa berteman ketika berada di tempat awam.
- Nyatakan juga bahaya yang ada jika tersilap pilih orang.
- Ibu bapa digalakkan bercakap dengan anak kecil walau pun ditempat membeli belah dengan menyatakan sesuatu yang diminati. Sebenarnya kanak-kanak mendengar dan menyimpan perkataan di mindanya. Perkataan yang didengar akan terkeluar secara semulajadi apabila dewasa dan memahaminya dengan sendiri.
Tip dan segala info disediakan oleh,
Siti Fatimah Abdul Ghani
Kaunselor Berdaftar/Perunding Psikologi
Universiti Putra Malaysia
Nota : Entri kali ini berkaitan panduan keselamatan untuk anak-anak kecil. Ia sebenarnya adalah artikel yang dimuatkan di dalam majalah Keluarga keluaran Mac 2015. Namun, ruang mukasurat yang terhad membuatan tidak semua input dapat dikongsi di dalam majalah.
Semoga soal jawab saya dengan Puan Siti Fatimah Abdul Ghani K.B.;P.A, Kaunselor Berdaftar/Perunding Psikologi dari Universiti Putra Malaysia ini dapat memberi manfaat untuk kita bersama.
Ini edisi uncut ya!
Disclaimer : Catatan ini bertarikh 8 April 2015.
- Like : Fanpage Netty Ah Hiyer Tulis
- Follow : Instagram Netty Ah Hiyer
Thank You Netty.