Luar Biasa Sheikh Raed Solah Perjuangkan Palestin

Brave Heart! Luar Biasa Sheikh Raed Solah Perjuangkan Palestin

Pengkisahan perjuangan aktivis Palestin, Sheikh Raed Solah ini cukup luar biasa. Tingginya pergantungannya pada Allah. Begitulah juga gambaran umat Islam di Palestin.

Perkongsian ini dipetik dari laman blogspot saya pada tahun 2013. Saya kongsikan sekali lagi di laman web ini.

Kerana sehingga hari ini, penindasan demi penindasan terhadap umat Islam di Palestin tak pernah berakhir.

Tugasan Menemurahah ‘Satu Keajaiban Sheikh Raed Solah Dapat Jejak Bumi Malaysia’

Lewat September tahun lalu (2012), Sheikh Raed Solah, pejuang Palestin bertamu ke bumi bertuah Malaysia. Ketika itu, dirinya masih lagi menjadi tahanan Israel.

Semacam satu keajaiban lelaki hebat itu boleh keluar dari Palestin dan mendapat pelepasan yang mudah dari Israel tanpa banyak halangan.

Itulah kerja tuhan. Jika Allah sudah mengkehendaki perkara itu terjadi maka ia akan terjadi juga. Sheikh Raed tidak bertutur dalam bahasa Inggeris tetapi setiap penyampaiannya diluahkan dengan bahasa Arab yang indah.

Bila diterjemahkan oleh CEO Aman Palestin Malaysia, Ustaz Awang Suffian Awang Piut semakin indah dan menusuk ke kalbu setiap bait kata-katanya.

Sungguh ada beberapa kata-kata indah itu yang menyentuh rasa hati yang paling dalam dan menerbitkan rembesan air mata yang tidak tertahan-tahan.

Terutama apabila Sheikh Raed berkongsi cerita kekejaman Israel terhadap anak-anak, wanita Palestin, kubur-kubur orang Palestin dan apa sahaja yang berkaitan dengan Palestin.

Sampai hari ini saya masih boleh ingat tentang kata-katanya, isu Palestin bukan soal pembebasan Palestin semata-mata. Tapi ia adalah isu tentang apa yang telah dinyatakan di dalam al Quran agar kita umat Islam mempertahankan dan memperjuangkan apa yang berkaitan dengannya (Masjid Al-Aqsa).

Sungguh dan insyaallah tugasan ini masih terkesan sampai hari ini. Selagi terdaya untuk mempertahankannya saya cuba sebaik mungkin.

Baca juga : qunut nazilah (jawi dan rumi), 2 doa untuk Palestin

Luar Biasa Sheikh Raed Solah Perjuangkan Palestin
Terasa bertuah direzekikan menemui pejuang Palestin, Sheikh Raed Solah dan CEO Aman Palestin Malaysia, Ustaz Awang Suffian Awang Piut. Tak silap saya waktu ini di Hotel De Palma Shah Alam. / Kredit foto : Rosli Talib

Perkongsian Sejarah Palestin Bersama Aktivis Palestin, Sheikh Raed Solah – Tugasan Di Mingguan Wanita

Nota : Artikel yang saya kongsikan ini pernah keluar dalam majalah Mingguan Wanita keluaran 1508, tak ingat pula tarikhnya..huhu. Dimuatkan dalam ruangan Bicara tokoh.

Semoga perkongsian ini dapat membuka pintu hati kita untuk memperjuangkan pembebasan Palestin. Biarlah sumbangan ini tidak sebesar mana.

Tidak dapat ke Palestin untuk sama-sama berjuang depan mata. Semoga usaha yang tidak seberapa ini (untuk memberi kesedaran kepada pelayar ruangan maya ini) diterima tuhan.

Hadirnya pendakwah dan aktivitis Palestin, Sheikh Raed Solah Silaman Abu Shaqra Mahajna, 54. Lebih dikenali dengan nama Raed Solah ke bumi Malaysia bagaikan satu rahmat yang besar buat umat Islam di negara ini.

Beliau merupakan individu pertama yang menemui terowong digali Yahudi di bawah Masjid Al-Aqsa. Malah sampai ke hari ini tidak pernah terhenti usahanya untuk melumpuhkan rancangan jahat Israel yang bercita-cita menguasai kiblat pertama umat Islam itu.

Ikuti bicara tokoh pejuang Palestin ini mengenai kekejaman Israel, harapan pembebasan bumi penuh barakah itu malah pentingnya penyatuan umat Islam di seluruh dunia.

Sukar Sheikh Raed Solah Mengunjungi Masjid Al Aqsa

Boleh kongsi secara ringkas pengalaman membesar di wilayah Umm Al-Fahm, Palestin 1948 (Palestin 1948 merujuk kepada negara haram Israel). Dan penglibatan menjadi aktivis Palestin?

Saya dilahirkan pada tahun 1958 di sebuah tempat bernama Umm Al-Fahm di Palestin. Sewaktu kecil, ibu sentiasa menceritakan bagaimana syahidnya abang dan ibu saudara sehingga menimbul kesedihan di hati. Ketika remaja, berlaku pertembungan pemikiran yang akhirnya mendesak saya untuk membuat pilihan.

Tidak banyak ulama ataupun sekolah yang dapat membantu untuk saya memahami jalan hidup ketika itu. Sehinggalah saya terjumpa sebuah kitab berjudul “Percubaan untuk memahami situasi semasa melalui al-Quran” dan kitab itulah yang telah membentuk keperibadian, pemahaman dan tingkahlaku saya.

Saya belajar kuliah bahasa Arab di Universiti Palestin di Bandar Al-Khalil. Dari semasa ke semasa saya mengunjungi Masjid Al-Aqsa. Dan daripada situlah saya mula membina hubungan dengannya. Saya juga melihat penderitaan dan kesukaran untuk mengunjungi Masjid Al-Aqsa. Di akhir pengajian, sekitar tahun 1980-an, buat pertama kali saya ditangkap dan dipenjarakan bersama 60 orang rakyat Palestin.

Tugasan Hebat – Temui Terowong Di Bawah Baitulmaqdis

Selepas enam bulan dibebaskan dari penjara, saya menjadi pengarang Harakah Islamiah, Palestin 48. Pada tahun 1989, saya dilantik menjadi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Umm Al-Fahm selama tiga penggal.

Dan pada tahun 1996, berlaku satu peristiwa yang telah mengubah haluan hidup saya. Apabila saya telah menemui terowong yang digali oleh Israel di bawah Baitulmaqdis.  Lalu saya membuat satu sidang akhbar dengan menghimpunkan media antarabangsa.

Bagi mendedahkan perancangan jahat Israel terhadap Baitulmaqdis secara terperinci.

Selepas tahun 2000, saya berhenti dan bekerja sepenuh masa untuk menuntut dakwah dan isu umat Islam khususnya di seluruh Palestin. Sekali lagi saya ditangkap dan dipenjarakan selama 6 bulan dan seterusnya dua tahun.

Pada tahun 2007, Israel melakukan percubaan untuk meruntuhkan Masjid Al Aqsa dan saya lakukan kempen untuk menentang usaha itu. Sejak itu, saya sering keluar masuk penjara berkali-kali. Sehingga Israel mengeluarkan perintah mahkamah yang melarang saya mendekati Baitulmaqdis sejarak 250 meter.

Luar Biasa Sheikh Raed Solah Perjuangkan Palestin
Merakam kenangan bersama geng wartawan ketika kunjungan Sheikh Raed Solah ke premis Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam. / Kredit foto : Rosli Talib

Kanak-kanak Pun Dipaksa Masuk Penjara Israel

Bagaimanakah keadaan orang Palestin di penjara Israel?

Permulaan pada kezaliman Israel ini adalah apabila mereka memasukkan penduduk-penduduk Palestin yang tidak bersalah ke penjara. Sekarang ini lebih setengah juta daripada penduduk Palestin berada dalam penjara Israel.

Ada di antara tahanan itu yang syahid dalam penjara. Dan ada yang syahid ketika penyiasatan di dalam lokap. Dan ada juga yang syahid akibat penyakit berbahaya yang telah mereka hadapi.

Ada juga tahanan dari kalangan wanita hamil yang digari tangan dan kaki. Malah melahirkan anak dalam penjara dengan keadaan tangan dan kaki berikat. Tetapi dapat mentarbiah anaknya dalam penjara sehingga mereka besar.

Begitu juga kanak-kanak Palestin yang tidak lebih 10 tahun umurnya dimasukkan ke penjara Israel. Tidak ada dalam mana-mana penjara di dunia yang memenjarakan kanak-kanak kecuali Israel.

Dahsyatnya Perjumpaan Bapa-Anak Dalam Penjara Israel

Ada juga seorang bapa yang dipenjarakan seumur hidup. Hanya akan bertemu semula anaknya apabila anak itu  besar dan dimasukkan penjara. Itulah kezaliman Israel zionis terhadap umat Islam Palestin.

Namun, mereka tetap sabar dan kukuh di atas jalan pembebasan Palestin. Kerana mereka tahu kezaliman Israel akan hilang.

Mereka juga merasakan mereka masuk ke dalam penjara Israel dengan penuh kemuliaan dan kebanggaan kerana mempertahankan bumi Palestin. Iaitu bumi suci umat Islam. Dan mereka yakin dengan apa yang mereka lakukan.

Ibu Di Palestin Latih Anak Jangan Jadi Penakut

Apakah kekejaman yang dilakukan Israel terhadap wanita dan kanak-kanak Palestin?

Ada satu peristiwa bagaimana Israel bertindak  kejam terhadap wanita Palestin. Apabila Israel mahu meruntuhkan satu jalan. Ada wanita Palestin telah keluar menunjuk perasaan. Akibatnya tentera berkuda Israel telah merempuh barisan penunjuk perasaan itu dengan ganas sekali.

Ada satu peristiwa bagaimana wanita Palestin melayan anaknya berhadapan tentera Israel. Anak wanita tadi telah pergi ke sekolah. Tengahari dia telah pulang ke rumah dan meletakkan begnya. Ibunya bertanya kenapa pulang awal? Katanya mahu menyahut seruan menyelamatkan Masjid Al-Aqsa. Dia pulang untuk meletakkan begnya.

Kata ibu, “jangan pergi kau seorang yang penakut.”

Anak itu berkeras mempertahankan dirinya seorang yang berani. Balas ibunya, kalau anaknya itu berani dia tidak akan pulang membawa begnya ke rumah. Tetapi meleparkan sahaja beg itu di tepi jalan. Dan terus menyelamatkan Masjid Al Aqsa.

Ikrar Orang-orang Yahudi Untuk Mengambil Palestin

Jelaskan kesan daripada penjajahan Israel terhadap bumi Palestin?

Akhir abad ke 15, di Eropah bermula satu perancangan untuk mendirikan sebuah negara yang tidak berakyat dan rakyat yang tidak bernegara. Itulah ikrar orang-orang Yahudi. Mereka berkeinginan untuk mengambil Palestin sebagai negara mereka.

Maka mereka memulakan projek di Palestin dengan menghancurkan apa sahaja yang ada di atas muka bumi. Kemudian mereka mendakwa sesungguhnya mereka memasuki satu kawasan yang tidak berpenghuni.

Sekitar tahun 1940-an, mereka menghancurkan lebih kurang 500 bandar dan kampung di dalam Palestin. Membunuh sesiapa sahaja yang mereka mahukan dari kalangan orang Palestin. Yang berbaki tinggal beberapa orang sahaja. Itupun terbahagi kepada dua iaitu mereka yang syahid. Selebihnya menjadi pelarian di beberapa negara yang berhampiran dengan Palestin.

Statistik menyebut zionis yang merampas bumi Palestin berjaya menghancurkan kira-kira 1200 buah masjid. Selebihnya menghancurkan tempat peninggalan sejarah Islam yang ada di dalamnya.

Selepas peristiwa 1940-an, berbakilah di dalamnya hanya puluhan masjid yang tersisa sampai hari ini. Pertubuhan Israel ini kemudiannya mengubah masjid-masjid menjadi kedai-kedai arak, pub dan kandang ternakan lembu dan kambing.

Baru-baru ini juga (tahun 2013) pihak Israel mengumumkan akan diadakan pameran minuman keras selama dua hari di masjid Bir Al-Saba’.

Kubur Orang Islam Dijadikan Jalan Raya, Sekolah

Bagaimana projek Israel ini memusnahkan bumi Palestin?

Menerusi projek Yahudi ini juga tentera dan kerajaan Israel telah membongkar kubur-kubur umat Islam. Malah, membuang tulang-tulang orang yang sudah meninggal ke dalam laut. Lalu mereka menjadikan tapak kubur itu sebagai dewan-dewan, sekolah, jalan raya dan rumah.

Mereka juga membangunkan 100 buah universiti di dalam Palestin. Sayangnya ia dibina di atas jenazah umat Islam. Baru-baru ini kami berdemontrasi di bandar Yafa. Kerana Universiti Tel Aviv baru sahaja menambah bangunannya yang dibina di atas kubur Shaykh Muwannis (sebuah perkampungan).

Campurtangan Britain dari tahun 1917 hingga 1949 juga membolehkan Isreal merampas tanah umat Islam Palestin. Akhirnya hanya 3 peratus sahaja tanah yang masih menjadi milik umat Islam Palestin.

Pertubuhan Israel ini menipu orang Islam dengan membina taman dan kebun yang cantik di bandar Tel Aviv. Tapi mereka mendirikannya di atas kubur orang Islam.

Kalaulah ini tidak dinamakan kezaliman, apakah lagi yang layak untuk menamakannya. Mereka sebenarnya telah berbohong kepada dunia. Kerana peradaban apa yang membolehkan kita menganiaya orang yang sudah mati.

Rakyat Palestin Hidup Dalam Kesengsaraan

Bagaimanakah rakyat Palestin terus bertahan menghadapi tekanan Israel?

Kesengaraan yang dialami oleh rakyat Palestin amat jelas. Israel mahu seluruh rakyat Palestin hidup dalam keadaan sengsara. Tidak bertahan dan akhirnya keluar dari bumi Palestin.

Tapi kami tetap bertahan dengan keadaan sekarang. Walaupun dalam perburuan kehidupan masih boleh diteruskan. Di sinilah kami membentuk strategi untuk terus kekal di bumi Palestin.

Ini kerana kami cuma ada dua pilihan. Sama ada mampu untuk hidup bahagia ataupun dikebumikan sebagai syuhada. Kedua-dua inilah yang membentuk kami untuk terus hidup dengan sistem yang ada sekarang.

Apabila Israel menghancurkan kampung-kampung, penduduk akan membinanya semula. Ada sebuah perkampungan terpencil telah dihancurkan sehingga 40 kali. Insyaallah begitulah keadaan orang Palestin. Yang akan tetap berdiri teguh di atas segala tribulasi dan tentangan yang dilakukan oleh tentera zionis. Kami tidak akan pernah menyerah kalah.

Israel telah mencabut pokok kami bahkan mereka menggunakan pesawat untuk membakar kebuh-kebun kami. Tujuannya untuk memisahkan kami dengan harta dan pemilikan kami.

Ini tidak mungkin terjadi sebab kami akan pertahankan sampai titisan darah penghabisan. Setiap kezaliman Israel akan terus bertambah dari segi kuantiti dan kualiti. Mudah-mudahan Allah beri kemenangan kepada umat Islam dan kepada orang Palestin.

Masih Tiada Bukti Kewujudan Haikal Israel

Apakah status terkini Masjid Al Aqsa dan benarkah dakwaan Israel, Masjid Al-Aqsa itu dibina di atas kuil suci mereka Haikal Sulaiman?

Bermula dari kurun ke-18, Perdana Menteri Israel terdahulu, David Ben Gurion menyatakan ‘tidak ada nilai bagi Israel tanpa Baitulmaqdis. Dan tidak ada nilai Baitulmaqdis tanpa masjid Al Aqsa.

Itulah cita-cita mereka sejak berjaya menjajah Baitulmaqdis pada tahun 1967. Iaitu mahu membina Haikal Sulaiman selepas mereka berjaya meruntuhkan Masjid Al Aqsa. Atas alasan itu, mereka bukan menggali satu terowong malah telah membina jaringan terowong yang besar.

Pihak UNESCO yang menziarahi terowong melaporkan Israel telah menggunakan cecair kimia untuk menggali terowong yang ada di bawah Masjid Al Aqsa. Tujuannya adalah untuk meruntuhkan keseluruhan masjid itu.

Walaupun telah 40 tahun mereka menggali, mereka masih tidak menemui bukti hatta seketul batu tentang hakikat kewujudan haikal Israel di atas Masjid Al Aqsa.

Bukti Ketamakan Yahudi

Pada pandangan Sheikh Raed Solah, mengapa mereka masih terus menggali?

Ia sebagai satu wasilah atau satu cara untuk meruntuhkan Masjid Al-Aqsa. Dan inilah bukti ketamakan yahudi. Bukan setakat mahu menguasai Palestin. Malah mahu meruntuhkan Masjid Al-Aqsa dan membina haikal di atasnya.

Mereka akan menggunakan apa-apa sahaja yang mereka ada. Termasuklah kekuatan tentera dan berusaha menyediakan suasana antarabangsa dan tempatan untuk menerima apa yang mereka lakukan.

Berkobar-kobar masing-masing dengan tudung bendera Palestin. Tudung ini kami beli dengan Yatt Hamzah. Antara artis yang tak pernah berhenti peduli dengan perjuangan rakyat Palestin.

Kewajipan Umat Islam Pertahankan Masjid Al-Aqsa

Mengapa mempertahankan masjid Al-Aqsa ini cukup penting kepada umat Islam di seluruh dunia?

Masjid Al-Aqsa ini adalah isu al-Quran. Ia perlu dipertahankan sebagaimana Allah menyifatkannya sebagai tanah yang barakah dan mesti dipertahankan. Dan ia bukanlah semata-mata isu untuk orang Palestin sahaja.

Ia merupakan isu setiap umat Islam. Jika kita tidak membenarkan rumah kita diceroboh. Begitulah juga Masjid Al-Aqsa sebagai rumah Allah yang perlu dipertahankan. Dari segala macam pencerobohan mahupun jenayah.

Walaupun Israel miliki segala kekuatan senjata yang paling canggih di dunia. Tapi akhirnya mereka akan kalah dan hancur musnah.

Sejarah telah membuktikan. Penjajah terdahulu iaitu British dan Qatar yang pernah menguasai bumi Palestin hilang dan lenyap. Akhirnya, ia akan kembali kepada yang berhak iaitu rakyat Palestin dan umat Islam yang berada di dalamnya.

Pemimpin Dengan Akhlak Yang Baik

Sejauhmana impak kemenangan Presiden Mesir, Dr Muhammad Murshi kepada jalan pembebasan Palestin?

Menerusi projek Yahudi mereka mahukan pemimpin diktator yang jahat supaya mereka kekal di bumi Arab. Dan mengawal orang-orang Arab dengan bantuan. Sekaligus menghalang mereka memberi sokongan kepada rakyat Palestin.

Apabila rakyat Mesir mendapat pemerintah yang sah di sisi undang-undang dan dipilih oleh rakyat. Maka pemerintah inilah yang memberi satu kelebihan dan kekuatan untuk membantu menjayakan pembebasan Palestin. Malah membantu pembebasan Masjid Al-Aqsa dari cengkaman Yahudi.

Ketika ini Dr Muhammad Murshi berhadapan bermacam masalah iaitu soal kefakiran, pengangguran rakyat, tekanan Amerika. Berhadapan dengan tekanan tenteranya sendiri, perisikan yang sebelum ini menghalang kebebasan rakyat daripada terus bersuara. Malah terikat dengan perjanjian Kem David. Itulah yang mengekang Mesir dari melakukan banyak perkara.

Namun, beliau bukanlah pemimpin mukjizat yang boleh melakukan perubahan keseluruhan dalam sekelip mata. Tapi kita yakin secara beransur-ansur beliau boleh melakukannya dengan kerjasama seluruh rakyat Mesir.

Kita yakin beliau memiliki kepimpinan yang berwibawa, akhlak yang baik, bijaksana dan berpandangan jauh.  Kepimpinannya  mampu memberi perubahan kepada Mesir dan seluruh rantau Arab. Dan ini memberi kesan positif kepada Gaza. Malah, kepungan yang akan berlaku kepada Gaza pada masa hadapan.

Peranan Umat Islam Di Malaysia

Apakah peranan umat Islam khususnya di Malaysia untuk membantu mengembalikan Palestin kepada yang berhak.

Melihat pembangunan yang dikecapi oleh Malaysia, saya berasa tenang. Kejayaan Malaysia boleh dijadikan satu pengalaman kepada negara Islam yang lain. Terutama dalam berhadapan isu kefakiran dan kemunduran.

Menurut Sheikh Raed Solah, “Apabila umat Islam bersatu dan memiliki kekuatan yang sama ia akan memberi impak yang besar. Lagi-lagi kepada kekuatan dan jalan pembebasan Palestin.”

Menerusi projek tentera zionis dahulu, langkah pertama yang mereka ambil adalah menjatuhkan Khalifah Uthmaniah. Ketika itu kerajaan Islamnya mempunyai kesatuan yang kukuh.

Mereka melihat kesatuan ini sebagai kekuatan umat Islam. Apabila umat Islam telah berpecah belah dan hanya memikirkan isu Palestin untuk Palestin semata-mata.

Ini akan menyebabkan kekuatan, kegarangan mahupun kehebatan umat Islam telah lenyap. Sekaligus memperlihatkan kejayaan agenda zionis di dalam negara umat Islam. Kesatuan umat Islam inilah kejayaan dan kegemilangan kita di dunia dan akhirat.

Disclaimer : Catatan ini bertarikh 12 Jun 2013

Leave a Reply

error: Content is protected !!