Baju Kurung Kedah antara pakaian harian atau basahan paling klasik yang ada di negara kita. Rekaan baju Kedah ini turut berevolusi, dari Baju Kedah Opah sehingga adanya Baju Kurung Kedah moden.
Sekitar tahun 2023 seakan menjadi trend apabila baju kurung kedah opah ini mula popular mendapat tempat di hati anak-anak muda. Bukan saja busana ini digayakan pada musim perayaan Hari Raya malah menjadi tema pakaian keluarga pengantin dalam majlis perkahwinan.
Sebegitu evergreennya Baju Kedah lama ini kan. Biarpun ada baju kurung songket mahupun baju kebaya, Baju Kedah masih kekal popular di kalangan peminat fesyen. Telusuri info menarik yang dikongsikan mengenai baju tradisional masyarakat Melayu Malaysia iaitu Baju Kurung Kedah ini.
Sejarah Dan Signifikan Baju Kurung Kedah
Baju Kurung Kedah merupakan pakaian tradisional Melayu yang cantik dan ‘modest’ yang popular di negeri-negeri utara Malaysia, khususnya Kedah.
Dengan kombinasi blaus pendek dan sarung yang tersendiri, ia bukan sahaja menarik dari segi estetika tetapi juga mempunyai kepentingan budaya yang mendalam.
Asal Usul Baju Kurung Kedah
Menurut sejarahnya, asal usul Baju Kurung Kedah ini dari Selatan Thailand. Rekod ini berdasarkan rekaan dan potongan baju itu sendiri yang hampir sama dengan blaus pendek separas punggung yang ada di Selatan Thailand.
Pakaian ini merupakan pakaian harian atau baju basahan kaum wanita pada ketika itu. Malah, menjadi pakaian golongan bangsawan.
Bersesuaian dengan fabrik kain yang diperbuat daripada kain cita atau kapas nipis dan berbunga kecil. Selain kain kapas, penggunaan kain kasa tebal mahupun nipis turut digunakan.
Tanpa mengira asal usulnya, Baju Kurung Kedah berkembang menjadi busana yang lebih moden disesuaikan dengan perkembangan fesyen tempatan. Dari semasa ke sama, ianya dipakai dalam majlis rasmi, majlis perkahwinan dan acara istimewa.
Signifikan Kurung Kedah Moden
Sehingga ke hari ini, busana ini kekal signifikan kepada masyarakat. Kesederhanaan pada reka bentuk pakaian yang longgar dan lengan tiga per empat menampilkan imej sopan di pemakai.
Secara tradisinya, busana ini telah diwarisi zaman berzaman yang mana ia menghubungkan cara berpakaian nenek moyang masyarakat Melayu dan warisan budaya yang ditinggalkan.
Baju Kurung Kedah Moden yang berkembang mempunyai pelbagai variasi gaya. Malah, fabrik, warna dan hiasan yang digandingkan juga berbeza.
Demi memelihara nilai warisan yang ada pada baju tradisional ini, Baju Kurung Kedah ini diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan 2015.
Cara Pakai Kurung Kedah Atau Baju Basahan Rakyat Jelata
Baju Kedah lama akan dipadankan dengan kain batik ataupun kain sarung pelikat. Cara pakai baju dengan kain batik pun ada gaya tersendiri. Yang mana kain batik sarung akan dipakai dengan ikatan tindih kasih. Iaitu motif kepala kain berada di hadapan. Bersesuaian dengan ada ketimuran yang mementingkan imej si pemakai agar manis dipandang.
Cara Pakai Baju Kedah Golongan Bangsawan
Berbeza pula cara pakai untuk golongan bangsawan atau kerabat ada kebesaran ini. Kurung Kedahnya perlu dihiasi dengan sulaman tekat kelingkan atau benang berwarna. Dan pemakaian bajunya perlu dipadankan dengan kain tenun sarung.
Potongan Baju Kurung Kedah Opah
Secara tradisionalnya, Baju Kedah lama ini bersifat longgar dan disertakan dengan potongan asal leher jenis bujur sireh. Bajunya juga agak singkat iaitu di paras punggung. Tak macam baju kurung biasa. Mudahnya, potongan Baju Kedah ini sangat ringkas.
Bukti ringkasnya baju ini, dalam rekaan bajunya tiada pesak ataupun berkekek. Lengan baju jenis lengan tiga suku. Tidak panjang seperti baju kurung. Hujung lengan lebih tinggi dari pergelangan tangan. Iaitu seinci dari paras bawah siku.
Pola Baju Kurung Kedah Moden
Rekaan baju kedah moden sudah dikontemporarikan mengikut citarasa dan trend peminatnya. Potongan Baju Kedah moden seakan baju kurung moden, namun tidak memerlukan zip pada bahagian belakang baju.
Designnya masih mengekalkan potongan longgar dan boleh juga jika dipotong ikut potongan badan tetapi tidak ketat. Boleh rujuk video cara buat pola Kurang Kedah moden di atas untuk lebih memahaminya.
Fesyen Baju Kurung Kedah Kontemporari Sesuai Untuk Semua Acara
Seiring dengan perkembangan trend, fesyen Kurung Kedah juga semakin berkembang dan makin menarik untuk digayakan. Fesyennya bukan saja untuk pakaian harian, malah meliputi pakaian perayaan dan pakaian untuk acara majlis. Baik majlis perkahwinan mahupun pernikahan ataupun makan malam bertema.
Antara trend Baju Kedah yang cantik ada di pasaran adalah :
- Baju Kurung Kedah Sulam
- Baju Nikah Kurung Kedah
- Kurung Kedah Berpoket
- Baju Kedah Lengan Saloma
- Kurung Kedah Songket
Baju Kedah ini juga bukan saja dipakai oleh wanita dewasa, malah kanak-kanak juga tampak menarik mengenakan busana klasik orang Melayu ini.
Malah, pilihan warna Baju Kedah moden tak lagi berfokus pada corak bunga kecil. Ada yang memilih kain bercorak bunga besar, kain warna terang malah warna-warna polos.
Baca juga : aeon fashion preview 2023 Best Bertema Anime Streetwear
Tip Memadankan Baju Kurung Kedah Moden Dengan Aksesori
Memandangkan Kurung Kedah itu sendiri sederhana sifatnya, namun sangat elegan designnya. Ketika mengenakan Baju Kedah Moden, anda tidak perlu memadankan dengan aksesori yang sarat dan terlalu mewah. Cukup sekadar, gelang tangan rekaan simple, cincin, rantai leher mutiara mahupun anting-anting.
Baju Kedah Opah Klasik Masih Evergreen & Jadi Pilihan Tema Keluarga Pengantin
Walaupun sebilangan wanita memilih menggayakan Baju Kedah moden, masih ada lagi yang menggemari Baju Kurung Kedah Opah Klasik. Malah, sehingga hari ini masih mendapat permintaan terutama di kalangan pembeli online mahupun offline.
Selain dijadikan pakaian basahan yang digayakan bersama kain batik. Baju Kedah Opah ini juga menjadi pilihan untuk acara bertema.
Ada juga di kalangan adik-beradik yang mahu mengekalkan ukhwah dan kemesraan sesama mereka dengan memilih untuk memakai Baju Kedah di majlis perjumpaan keluarga.