Air Beras atau air basuhan beras ini adalah air lebihan daripada beras yang dicuci untuk memasak. Berkurun lamanya, air beras ini digunakan untuk tujuan kecantikan di pelbagai negara di Asia.
Di negara Jepun misalnya, air beras digunakan sebagai bahan pencuci wajah yang berkesan untuk awet muda. Bukan saja muka, air beras juga bermanfaat untuk rambut.
Khasiat air beras ini juga berguna untuk tanaman anda. Semak kegunaan air cucian beras yang akan dikongsikan ini.
Apa Kegunaan Air Beras Untuk Muka
Air basuhan beras ini merupakan astringen semulajadi. Dengan kata lainnya ia membantu mengecilkan liang dan mengurangkan kedutan. Menyejukkan dan menenangkan kulit muka yang merengsa.
Kulit muka yang berjerawat juga boleh diredakan dengan menggunakan air cucian beras atau pati air beras itu sendiri. Saya kongsikan di bawah cara buat pati air beras.
Sesengah kajian menyarankan yang air cucian beras ini juga membantu meningkatkan penghidratan malah menganjalkan kulit. Menghalang kedutan dan garis kedutan pada wajah.
Khasiat Air Beras Untuk Rambut
Air beras ini juga dikatakan mampu menjadikan rambut lebih berkilau, kuat dan anti kusut. Ini kerana, air cucian beras itu sendiri mengandungi inositol iaitu sejenis karbohidrat yang berupaya membantu membaiki rambut rosak.
Bahan inositol inilah akan menyaluti rambut lalu menjadikannya licin dan berkilat.
Bermanfaat Untuk Masalah Penghadaman
Cecair beras ini mudah untuk dihadam. Malah digunakan dalam perawatan tradisional untuk membantu mengatasi masalah cirit birit dan muntah. Seingat saya dulu waktu kecil, kalau rasa nak demam mak akan beri minum air cucian beras yang sudah dimasak. Tapi bukanlah air yang mentah itu.
Bila dah siap dimasak, namanya air tajin.
Dahulu kan masak nasi guna api dapur tak pakai rice cooker. Jadi, air nasi yang sedang menggelegak itu mak akan ambil sedikit dan masukkan dalam mangkuk. Campurkan dengan sedikit gula untuk diminum ketika panas badan.
Inilah antara ubat orang dulu yang tak dapat nak bawa anak-anak ke klinik.
Kegunaan Air Beras Untuk Tanaman
Air cucian beras ini sebenarnya banyak manfaat untuk tanaman baik pokok sayuran mahupun bunga-bungaan. Ini kerana, ia mengandungi nutrisi penting untuk tanaman. Misalnya, nitrogen, phosphorus dan potassium (NPK). Sungguhpun ianya bukanlah baja lengkap untuk pokok, sekurag-kurangnya ia membekalkan sedikit kesuburan dan nutrisi pada tanaman.
Berdasarkan perkongsian di YT, air cucian beras yang berkesan untuk tanaman adalah pada cucian kali pertama, kedua dan ketiga sahaja. Selepas daripada itu, airnya tidak lagi mengandungi nutrisi yang diperlukan tanaman.
Mikrob Tanah Semulajadi
Kanji dalam air basuhan beras juga boleh menggalakkan pertumbuhan bakteria berfaedah dalam tanah. Sebab itulah, air cucian beras antara bahan tambahan yang perlu ada dalam pembuatan kompos.
Mikrob ini membantu memecahkan bahan organik dan menjadikannya nutrisi yang bagus untuk pokok.
Kawalan Serangga Perosak
Rendaman air cucian beras yang disimpan semalaman juga boleh menjadi bahan kawalan perosak tanaman. Boleh juga ditambahkan bahan lain seperti lada kering dan bawang putih.
Semakin berkualiti beras anda, semakin berkualitilah airnya. Yang mana, beras bebas dari kutu beras dan anda dapat menyimpannya dengan baik.
2 Cara Membuat Air Beras
Terdapat 2 cara untuk anda mendapatkan air daripada beras. Iaitu sama ada menggunakan keadah rendaman ataupun kaedah merebut. Kedua-dua cara ini tersangatlah mudah untuk dibuat.
Kaedah Rendaman
- Bilas – bilas sekali lalu 1/2 cawan beras dengan air bersih.
- Rendam – masukkan beras tadi dalam mangkuk. Tambahkan 3 cawan air, biarkan ia terendam selama 30 minit atau semalaman pada suhu bilik. Jumlah air ini sebenarnya ikutlah pada kepekatan air yang anda mahukan.
- Tapis – tapislah air pada beras tadi dengan menggunakan penapis halus atau kain nipis. Tujuannya agar serbuk halus beras yang terendam itu tadi akan dapat anda perolehi sekali.
- Simpan – kemudian, bolehlah simpan dalam peti sejuk. Ianya boleh bertahan selama seminggu. Akan dapat pati air beras nanti. Pati air beras ini bermanfaat untuk mengatasi jerawat. Malah, boleh juga menjadi toner muka semulajadi untuk mencerahkan kulit.
Air Rebusan Beras Atau Air Nasi
Air nasi atau tajin atau air rebusan beras ini digunakan untuk membantu merawat cirit-birit, gangguan angin, demam dan sebagainya. Air nasi ini mudah diserap ke dalam darah. Dengan menggunakan beras perang atau berwarna, kandungan antioksidan lebih tinggi berbanding beras putih.
Sebab itulah, air nasi ini boleh juga mengatasi masalah dehidrasi dan stabilkan semula suhu badan. Paling best, ia juga membantu menurunkan berat. Bagus untuk diet sebenarnya. Tambahkan madu asli untuk kesan lebih mantap.
- Bilas – bilas 1/2 cawan beras dengan air bersih. Tujuannya untuk membuang habuk pada beras. Lalu toskan.
- Rebus – masukkan beras siap cuci tadi dalam periuk dan tambahkan segelas dua air bersih. Rebuslah sampai beras jadi lembut.
- Asing – kemudian, asingkan air rebusan tadi dengan nasi. Sebaiknya gunakan penapis.
- Simpan – air rebusan beras yang siap dimasak tadi, bolehlah diminum. Masukkan dalam botol kedap udara dan simpan dalam peti sejuk untuk tahan lama.