tanah-aina

Berskirt Kembang Redah Tanah Aina Farrah Soraya

Cerita Tanah Aina bermula ketika saya menghadiri majlis pelancaran pembukaan butik baru Alfio Raldo di Cyberjaya.

Bertemu Lenny selaku pengendali majlis dan bertukar-tukar kad dengan tetamu kehormat yang dijemput untuk merasmikan majlis pada hari itu, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.
 
Selang beberapa minggu, emel jemputan ke Tanah Aina Farrah Soraya di Raub, Pahang memasuki mailbox outlook saya.

Rakan wartawan dari majalah Keluarga, Zaiton Abdul Manaf (Eton) dan majalah Midi, Khairunnisa juga bakal turut serta.

Membayangkan keseronokan yang bakal dilalui, kami saling berbalas-balasan emel.

Seakan tidak sabar mahu terjun di anak sungai dan sebagainya.
 
Saya yang ketika itu dihambat deadline yang menggila tidak ketinggalan meluahkan keterujaan dalam emel yang akhirnya berlarutan menjadi panjang.

TAPI!

Entah macamana saya boleh tidak membayangkan bahawa perjalanan ke Tanah Aina itu ibarat menempuh trek laluan yang mencabar diri dan dekat dengan alam semulajadi.

Kejadian Lucu Sebelum Ke Tanah Aina

PAGI ITU!
Ya PAGI ITU!
Saya telah ke pejabat dengan membawa beg luggage dan berskirt bagai!

Kak Net, kau ingat kita nak ke USS Singapore ke? Awat hang pakai skirt?” Teguran Eton mengejutkan saya di pagi hari.
 
Alahai kenapa kak Net boleh tak perasan ni? Aku kasut ngan seluar pun tak ada ni. Skirt adalah,” Ok… saya masih mahu menegakkan benang yang basah.
 

Kau dah kenapa?
Bukan ke kita dah iya-iya chat dalam emel nak terjun sungai bagai. Gitulah kak Net.”

Mulalah saya gelabah gila mencari kasut di bawah meja Suzie (pinjam dahulu, beritahu kemudian) dan pinjam seluar trek Eton.
 
Benda sudah jadi, hendak tak hendak tempuh saja. Skirt pun skirtlah.

Sepanjang perjalanan memang seronoklah adik-adik ni mem’bahan’kan saya. Tak mengapa, yang penting tak bosan dalam kereta itu.

Asril, jurufoto saya yang turut serta itu pun bukan main seronok menyakat saya ya… Dan sampai hari ini dia masih memanggil saya dengan panggilan ‘Expo Jihan’.

tanah-aina
Rombongan media yang mengikuti trip ke Tanah Aina Farrah Soraya merakam kenangan bersama Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil. 

Bagaikan Berada di Syurga Dunia

Kira-kira dua jam perjalanan, akhirnya kami sampai ke sebuah kawasan lapang.

Lori (muatan sederhana) pengangkut barang plus orang sudah tersedia menanti kedatangan kami.

Rakan-rakan wartawan dari penerbitan media cetak dan elektronik ada yang sudah siap-siap berada di dalam lori.
 
Dan dengan gaya yang cukup anggun, hari itu saya menaiki lori meredah belantara dan bukit bukau untuk membolehkan kami sampai ke resort Tanah Aina Farrah Soraya.

Bagaikan berada di syurga dunia.

Hutan yang masih menghijau, oksigen pastinya bersepah-sepah di kiri, kanan, atas dan bawah kami.

Damai sekali, tenang emosi sebaik sahaja menjejakkan kaki di tanah nan permai ini.

Aktiviti Jungle Tracking

Hidangan teh halia dan tuala basah menyambut kehadiran kami.

Kata penganjur, petang nanti kami akan menempuh jungle tracking dan perlu bersedia sepenuhnya; kasut bersesuaian, pakaian sukan, tudung yang ketat.

Kenapa perlu ketat? Anda akan tahu sekejap lagi.
 
Memandangkan kasut pinjam saya itu kurang sesuai (dah nama pun kasut pinjam, sudah tentu ia agak longgar), jadi saya pun melaburkan kira-kira RM12 membeli kasut getah hitam di kedai mini yang ada di situ.

Bukan sekadar kasut, dalam kedai itu ada menjual baju-baju yang cantik, t-shirt, tudung, skaf, aksesori malah produk penjagaan kecantikan.

penginapan-tanah-aina
‘Dorm’ kami yang luas dan selesa. Melihat saja gambar ini bagaikan dapat merasai kesegaran udara di persekitaran tanah aina ini.

Selesai memasukkan pakaian ke dorm masing-masing, kami bersiap sedia mahu ke acara jungle tracking. Tidak sabar!
 
Tak boleh pakai tudung macam ini. Kamu kena terjun dalam air dengan ketinggian 20 meter. Nanti boleh tertanggal.” Pesan PA Puan Sri, Kak Yati.
 
TERJUN?’
20 METER?’
TERTANGGAL TUDUNG?’
 
Aduhai! Jungle tracking apakah ini?
 
Kak.. tak terjun tak boleh ke?” Tanya saya cuak. Oh, saya memang cuak kali ini. Sebabnya, saya GAYAT.

tanah-aina
Merentasi anak sungai yang dalam dengan bantuan tali.

Jelajah Hutan Belantara

Edisi menjelajah hutan belantara itu pun bermula. Kami dibekalkan dengan jaket keselamatan dan perlu merentasi anak sungai.

Naik bukit, meredah akar banir, menuruni lereng bukit, sesekali tergelincir manja apabila kaki tiba-tiba terasa begitu longlai dan lelah (inilah kesan akibat kurang senaman).

Akhirnya setelah berjalan kira-kira 20 minit, kami perlu menempuh laluan anak sungai yang dalam.

hutan-tanah-aina
Mendaki bukit, meredah akar banir.

Ada tali yang menyokong langsung membuatkan saya seronok berpaut pada tali sambil membuat aksi berenang-renang (walhal tak tahu berenang pun).

Selesai merentasi anak sungai kami daki batuan sungai bersaiz gergasi.

Dan akhirnya, sampailah kami ke kawasan air terjun yang masih terpelihara, bersih dan cukup mengasyikkan.

hutan-tanah-aina-farrah-soraya
Menuruni laluan licin di kaki bukit.

Di situ ada binaan pelantar kayu di atas sebatang pokok bagi membolehkan peserta membuat terjunan ke dalam jeram.

Itulah maksud kak Yati.

Kalau tak pakai tudung ketat waktu melakukan terjunan pasti ada tudung yang akan tertanggal.

Dan hari itu, Leny pulang dengan memakai topi (kerana anak tudungnya hilang dibawa air sewaktu melakukan terjunan dengan ketinggian kira-kira 20 meter).

wartawan
Wajah-wajah ceria selepas membuat terjunan pada ketinggian 20 meter. (Saya terkecuali)

Beraninya Kawan-kawan Buat Terjunan 20 Meter Di Tanah Aina

Dari Karangkraf, Eton dan Nisa menjadi srikandi yang berani. Nisa terjun sampai dua kali.

Fuh!

Saya pula hanya mampu berdiri di atas pelantar-mundar-mandir dua tiga kali.

Sambil Asril tekun mengambil gambar saya dari bawah.
 
Bang kenapa tak ketatkan ‘life jacket’ saya ini?” Tanya saya pada lifeguard di atas pelantar.

Saya tahu awak tak berani terjun.” Dan kata-kata itu akhirnya menjadi satu doa yang makbul. Tanpa membuat terjunan, saya pun menuruni tangga pelantar itu dengan jayanya!

Kerakusan Manusia Mengundang Musibah

Malam itu, kami ada sesi brainstorming dengan Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.

Slide bergambar dimulakan dengan rakaman gambar aktiviti kami sewaktu jungle tracking.

Entah bila krew resort ini mengambil gambar kami pun tidak kami sedari.

Barangkali terlalu seronok meredah hutan, terjun sungai malah berenang di air sungai yang jernih membuatkan kami terlupa dengan apa yang jadi di persekitaran kami.

Masing-masing teruja dengan muka sendiri. Setiap kali wajah teman terpapar di skrin, kami mula bersorak gembira.
 
Selesai berseronok, Puan Sri menayangkan pula slide kesan kerakusan manusia.

Petang itu sewaktu kami diberi kesempatan menemuramahnya, Puan Sri kuat menekankan antara cabarannya mempertahankan kehijauan bumi tuhan adalah ‘manusia’.

Saya tidak begitu faham sebenarnya.

Sampailah saya melihat sendiri slide yang beliau paparkan.
 
Sebagai individu yang diberi kelebihan oleh tuhan dari segi wang ringgit dan kemewahan, beliau menggunakan kelebihan itu dengan penuh bermanfaat.

Helikopter peribadi menjadi rakan baiknya untuk merakam kesan ketamakan dan kerakusan manusia.

Air terjun yang dahulunya dialiri air sungai yang jernih, kini hanya tinggal batu-batuan sahaja.

Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil

Pembinaan lebuhraya merentasi hutan yang kononnya akan menyenangkan manusia, akhirnya terbengkalai tidak diteruskan.

Sebahagian besar ekosistem alam telah dimusnahkan.

Demi projek yang tidak berbaloi itu.
 
Begitu juga hutan belantara yang dulunya menghijau, hanya hijau di luaran. Walhal di tengah-tengahnya telah gondol akibat pembalakan haram.

Jadi, apabila kemarau melanda negara waima hujan tidak turun dengan konsisten di Semenanjung ini, apakah ini disebabkan tuhan?

Sebenarnya, tangan-tangan manusia sendirilah yang telah merosakkan alam indah yang Allah ciptakan.

Baca : Kalau sudah jodoh, Nurfarahin Jamsari ku temui jua

Mampukah Hutan Dipelihara

Justeru apa usaha kita?

Menerusi PEKA (Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam), Puan Sri menggembleng usaha menanam semula pokok di hutan-hutan.

Mana-mana hutan yang dipacakkan papan tanda PEKA, ia terlindung dari kerakusan manusia.

Siapa yang menceroboh akan di’tembak’ oleh renjer-renjer hutan yang bekerjasama erat dengan pertubuhan ini.
 
Tapi banyak mana hutan yang mampu dipelihara?

Jumlahnya tentulah tidak banyak andai tiada kesedaran di kalangan masyarakat Malaysia sendiri tentang pentingnya menjaga alam sekitar, memelihara kehijauan bumi tuhan.

Malah, memastikan setiap pokok tidak ditebang dan sebagainya.
 
Kononnya selesai sesi brainstorming, kami-kami mahu berkaraoke.

Apabila di’hidang’kan dengan gambar-gambar yang menyayat hati itu.

Langsung kami hilang selera. Bagaimana mahu bergembira, sedangkan keadaan bumi kita kian parah. Insaf terus!

Berembun Di Tanah Aina Farrah Soraya Bersama Teman

Keesokan harinya, tepat jam 6.30 pagi kami sudah terpacak di laman asrama. Cuma ada penjaga dorm dan Rosli (RTM).

Rancangannya, pagi itu kami akan memanjat bukit di belakang asrama ini untuk menyaksikan matahari terbit.

Perlahan-lahan kami mendaki bukit yang agak tinggi itu.
 
Lelah jugalah, dan akhirnya kami pun sampai ke puncak.

Lama kami menanti.

Sayangnya pagi itu hujan rintik-rintik.

Punahlah harapan kami mahu menyaksikan matahari terbit dari puncak bukit itu.

Bagi tak menghampakan diri masing-masing yang kepenatan mendaki, kami pun rakam pelbagai aksi ‘terlampau’ di atas bangku batu.
 
Sebenarnya tak ramai pun yang ‘join’ kami pagi itu.

Saya,  Nisa, Eton, Rosli, 2 orang wartawan Sinar Harian dan seorang wartawan media elektronik (terlupa pula dia dari mana).

Bila cuaca semakin cerah, kami dapat menyaksikan betapa indahnya sekeliling Tanah Aina Farraf Soraya ini. Dan waktu saya menaip kisah ini, perasaan saya bagai digamit-gamit.

Agar ke sana lagi.

Disclaimer : Ini catatan bertarikh 11 April 2014

Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis

20 Comments

  1. Tengkubutang February 15, 2022
  2. ziana eunos February 15, 2022
  3. mommylizz February 15, 2022
  4. Mija February 15, 2022
  5. Shida Rahmat February 15, 2022
  6. Min Shamsuddin February 15, 2022
  7. MrsPip February 15, 2022
  8. nur atiqah azis February 15, 2022
    • nettyahhiyer February 16, 2022
      • Rozita ceritaita February 16, 2022
  9. Bonde Zaidalifah February 16, 2022
  10. ombakbergigi February 16, 2022
    • nettyahhiyer February 16, 2022
  11. Atul Hamid February 16, 2022
    • nettyahhiyer February 16, 2022
  12. Maria Firdz February 16, 2022
    • nettyahhiyer February 16, 2022
  13. norin February 17, 2022

Leave a Reply

error: Content is protected !!