madam-chye-pusat-latihan-kraftangan-epal

CSR Mingguan Wanita & Pusat Latihan Kraftangan Epal

Ini projek CSR pertama Mingguan Wanita bersama Pusat Latihan Kraftangan Epal. Pasti ianya sesuatu yang cukup istimewa buat pembaca setia majalah Mingguan Wanita.

Baiklah saya sebenarnya cuma ada satu jam untuk menaip entri kali ini. Kenapalah sejak akhir-akhir ini mood menaip datang di tengah-tengah malam.

Sambil melayan mata mengantuk, tangan terus laju mengetuk. Fikiran pun bukannya fokus betul, mana yang terlintas di hati itulah yang keluar di laman blog ini.

Minggu lepas saya menyambut tugasan yang diberikan oleh Ketua Wartawan MW, Puan Almaswa Che Ros. Kak Maswa minta saya temuramah pengasas merangkap Pengarah Urusan Pusat Latihan Kraftangan Epal, Madan Fully Chye Goet Lee.

Projek CSR Pertama Mingguan Wanita & Pusat Latihan Kraftangan Epal

Bersempena projek CSR pertama Mingguan Wanita bersama Pusat Epal. Pastinya ada sesuatu yang cukup istimewa sedang kami usahakan demi pembaca majalah kami yang penuh setia.

Ada kaitan dengan kemahiran jahitan yang pasti akan memberi manfaat untuk pembaca sepanjang Ramadan nanti.

Pastinya Aidilfitri pembaca akan lebih bermakna apabila program yang kami aturkan bersama Epal ini diketahui pembaca majalah Mingguan Wanita.

Apa yang istimewa tentang pertemuan dan isi kandungan temuramah saya itu nanti? Dapatkan majalah Mingguan Wanita keluaran 30 Mei – 7 Jun yang bakal berada di pasaran pada keluaran hadapan.

Hari itu amat bermakna sekali, Madam yang baik hati itu bukan sahaja sudi berkongsi ilmu jahitan malah turut berkongsi sejarah terciptanya Pusat Epal. Kenapa Epal? Dari kejauhan adik Megat (pegawai promosi MW) menimbulkan persoalan.

Nama syarikat ini Mostwell Grup Sdn Bhd. Waktu kami mahu mencipta logo syarikat, huruf M itu disusun atas dan bawah sehingga membentuk sebiji epal.

Apabila saya terfikir pepatah ‘An Apple a day keeps the doctor away’ saya melihat betapa bagusnya ‘epal’ itu. Ia memberi simbol yang baik untuk pusat ini.” Ceritanya ketika kami bersembang santai sementara menunggu waktu makan tengahari.

Baca : Sinar kasih ibu dan ayah yang ditinggalkan

pusat-latihan-kraftangan-epal
Selesai temuramah, Madam Fully Chye Goet Lee belanja makan. Macam-macam cerita kami bualkan sampai Madam pun susah nak bangun dengar cerita kak Maswa. Faridah dan Megat pun sama teruja.

Madam Simbol Kejayaan Pusat Epal

Sememangnya wanita kecil molek ini kaya dengan pepatah lama yang sentiasa memberi semangat dan dorongan untuknya berjaya.

Saya kira kejayaan Pusat Latihan Kraftangan Epal itu bukan sahaja terletak pada modul yang bagus dan kesungguhan kakitangannya tetapi Madam sendiri adalah rahsia kejayaan syarikatnya.

Waktu kami makan tengahari bersama, terserlah sikap ‘baik hati’ wanita ini. Bayangkan seorang pemilik syarikat yang miliki 16 buah cawangan pusat latihan di seluruh negara dengan senang hati mengusap mesra kepala pekerjanya itu sambil memaklumkan tanpa mereka dia tidak akan berada di tempatnya sekarang.

pusat-latihan-kraftangan-epal
Antara produk jahitan yang dihasilkan dari banner terpakai. Dijahit oleh guru-guru di Pusat Epal berdasarkan idea yang digarap oleh Madam sendiri.

Saya kira inilah contoh majikan terbaik dan berjiwa besar. Sikap rendah dirinya bukan dibuat-buat tetapi ikhlas lahir dari hati.

Walaupun berbangsa Cina, Madam sentiasa mengucapkan apa yang dilakukan adalah untuk memperoleh pahala. Dia tahu tentang perbuatan baik akan dibalas dengan pahala yang banyak.

Saya mahu menulis lebih panjang, tetapi mata ini sudah terlalu berat. Mahu bersedia untuk peperangan keesokan hari. Mahu rehat dan tenangkan minda seketika. Esok ada deadline bumper raya yang perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Memasuki bulan Rejab, saya akan semakin gila bekerja. Semoga kegilaan ini memberi kebaikan kepada ramai orang termasuk diri saya sendiri. Bulan Rejab ini saya mahu muhasabah diri. Jauhkan dari sikap merungut yang panjang. Oh mampukah?

Bulan ini sungguh indah. Mohon Allah berikan hidayah untuk saya melayari bulan Rejab ini dengan penuh kesyukuran agar saya menjadi hambaNya yang tenang dan mudah mengharungi perjalanan kerjaya dan penghidupan penuh pancaroba di dunia ini.

Disclaimer : Catatan ini bertarikh 13 Mei 2014

Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis
Telegram : https://t.me/NettyAhHiyerTulis

2 Comments

  1. Kuazue Mohamad May 14, 2014
  2. Netty Ah Hiyer May 27, 2014

Leave a Reply

error: Content is protected !!