Karya: Netty Ah Hiyer Tajuk: Belum terfikir lagi..huhuhu
–>
ADIK merenung wajah emak lama. Jiwanya lara. Ada gelora besar yang sedang berombak di hati Adik. Sebolehnya dia tidak mahu emak tahu yang dirinya sedang dilanda masalah besar ketika ini.
“Kenapa dengan engkau ni? Dah buang tabiat ke? Tak pernah tengok muka emak macam ini?” Pertanyaan emak bertubi-tubi.
Adik benar-benar lemas kali ini. Biarlah orang kampung menuduhnya dungu. Katalah apa saja tentang dirinya. Dia tidak kisah. Yang benar-benar merunsingkan hati ketika ini adakah emak akan memahaminya. Apakah emak sama seperti orang kampung yang menuduhnya perempuan dungu itu.
“Aku tanya engkau ini Syafikah. Kalau kau ada membuat onar dengan budak Jamal itu, baik mengaku sekarang. Jangan sampai perbuatan jahat engkau ini orang lain yang beritahu aku dulu. Pantang nenek moyang aku ada keturunan tak tahu malu macam engkau ini?” Bebelan emak makin panjang.
Setiap satu persatu kata-kata emak menjerut tangkai hatinya. Tiada lagi panggilan manja, Adik untuknya. Adik tahu emak benar-benar marah kala ini. Betapa marahnya emak, tidak sama dengan kebenaran yang ada dalam sanubarinya.
“Saya cintakan Jamal mak.” Ucap Adik perlahan.
“Kau pernah dengar istilah ‘cinta itu buta’? Cintan-cintun engkau tu dah sampai tahap buta hati. Buta segala-galanya. Orang bercinta tak akan sampai kena tangkap basah.” Sergah emak separuh menjerit.
“Nasib baiklah aku yang tangkap engkau malam itu. Kalau empat saksi, engkau ni dah layak masuk penjara.” Remuk hati emak. Syafikah anak yang paling disanjung-sanjung itu telah mencemarkan nama baiknya di kampung Sepakat.
* * *
Emak tahu Syafikah cintakan Jamal. Perkara itu telah lama dikhabarkan oleh anaknya. Tapi emak tak sangka anaknya boleh pergi sejauh itu. Malam kejadian, Syafikah minta izin pada emak menjenguk neneknya yang sakit. Lama emak tunggu Syafikah pulang. Kelibatnya langsung tidak kelihatan.
Hati emak mulai risau. Bimbang sesuatu yang kurang baik berlaku pada anak kesayangannya. Emak capai lampu suluh mahu meredah belukar dan denai mencari Syafikah. Belumpun jauh langkah emak, Syafikah sudah ditemui sedang bermadu kasih dengan kekasih hatinya Jamal di bawah perdu rambutan tidak jauh dari rumahnya.
Emak nampak tangan Jamal sudah merayap sampai ke pipi gebu Syafikah. Lama emak perhati. Buntang mata emak bila Syafikah pula merapatkan kepalanya ke dada Jamal.
“Ya Allah, Adik buat apa ini!” jerit emak sepenuh hati.
Jeritan emak membuatkan Jamal lari lintang pukang bagaikan tidak jejak tanah. Adik hanya sempat memegang kain pelikat Jamal yang sudahpun berada dalam lilitan badannya. Mulut Adik terbuka luas, tidak sangka malam itu dia tertangkap oleh emak sendiri.
* * *
Seminggu selepas itu, Jamal masuk meminang Adik. Emak tiada pilihan lain. Walaupun hatinya remuk, dia terpaksa menerima lamaran itu. Orang kampung sudahpun tahu perbuatan tidak senonoh anaknya.
Emak seakan menyesal kerana menjerit terlalu mengikut perasaan. Kalaulah emak boleh kawal marahnya tempohari pasti tiada siapa yang tahu tentang kisah Adik. Jeritan emak membuatkan jiran tetangga terperanjat lalu bergegas turun ke baqah rumah. Mereka sangka emak terjatuh waktu mengejar pencuri di malam hari.
Lagipun, sudah hampir lima malam emak berjaga sampai dinihari. Emak bimbang jika rumahnya menjadi salah satu mangsa rompakan pencuri. Kampung emak dekat dengan pembinaan perumahan baru. Setiap hari emak dengar macam-macam cerita mengenai pekerja Indonesia yang mogok tidak dibayar gaji.
Lebih membimbangkan emak, di kampungnya sahaja sudah masuk tiga buah rumah dipecah masuk. Khabarnya pencuri yang menyelinap membawa senjata tajam dengan bunyi bahasa seperti orang seberang.
“Mak Senah, dulang ini nak letak dekat mana?” Lamunan emak terhenti. Hati emak tambah kuat. Hari itu bukan masanya untuk emak menyalahkan diri. Syafikah akan melangsungkan perkahwinan dengan Jamal hari ini. Perasaan malunya pada orang kampung telah lama di buang jauh-jauh. Emak tak mahu peristiwa hitam Syafikah menyerabutkan fikirannya. Sememangnya emak seorang yang ringkas dan memandang ke hadapan.
“Kalau dulang kosong, letak sahaja bawah dapur. Kalau berisi susun dekat tepi almari. Nanti mudahlah orang kenduri hendak mengambilnya,” terang emak jelas.
Pesanan saya:
Bersambung ya! Kalau tak buat versi online, gamaknya tak menjadi ‘usaha’ aku nih..So, pelan2 kayuh ya. Kalau ‘mood’ baik dan ada kelapangan, ceritanya bersambung dalam minggu ini juga.