“Mak Senah, dulang ini nak letak dekat mana?” Lamunan emak terhenti. Hati emak tambah kuat. Hari itu bukan masanya untuk emak menyalahkan diri. Syafikah akan melangsungkan perkahwinan dengan Jamal hari ini.
Perasaan malunya pada orang kampung telah lama di buang jauh-jauh. Emak tak mahu peristiwa hitam Syafikah menyerabutkan fikirannya. Sememangnya emak seorang yang ringkas dan memandang ke hadapan.
“Kalau dulang kosong, letak sahaja bawah dapur. Kalau berisi susun dekat tepi almari. Nanti mudahlah orang kenduri hendak mengambilnya…”
Prang!
Belumpun habis emak memberi arahan terdengar bunyi pinggan pecah berderai dari arah halaman dapur. Mak Senah benar-benar susah hati kali ini. Mengapa sukar benar menyempurnakan majlis perkahwinan Adik dengan bakal pengisi hatinya itu.
Debaran Suara Manja Syafikah
“Abang sayang Ika tak?” tanya Syafikah sambil memaut erat lengan suaminya. Tangan kanannya meraba kulit pipi suaminya yang dipenuhi dengan jambang dan sedikit kesan jerawat.
Suaranya semakin manja dan sengaja di tekan-tekan bagi menampakkan kesan godaan yang nyata. Sebolehnya dia mahu Jamal mengetahui isi hatinya sekarang ini. Jamal tiada reaksi. Tidak pula dia menjawap pertanyaan isterinya itu dengan segera. Lama dia termenung sebelum isterinya itu mengejutkan lamunannya.
“Abang! Kenapa ini? Tak sayangkah abang pada Ika?” tanya Syafikah sedikit merajuk.
“Hmmm… sayang,” balasnya ringkas tanpa emosi. Adik benar-benar terasa dengan sikap suaminya itu.
“Dulu waktu hendakkan kita bukan main lagi madahnya. Sekarang bila dah sah jadi isteri buat tak tahu pula. Malas layan awak.” Adik menyentak lengan suaminya keras. Marah benar dia dengan tindakan tanpa emosi dari suaminya itu.
Malam itu, Adik terasa dirinya begitu sunyi dan sepi. Walaupun sekujur tubuh Jamal berbaring di sebelahnya, tapi Adik merasakan kasih Jamal begitu jauh sekali. Adik semakin sepi, tangisan tanpa suara terus membasahi bantal pengantin barunya itu.
Malam itu Adik langsung terlena dalam tangisan yang dia sendiri tidak sedari bilakah waktunya matanya benar-benar terkatup
Terserlah Sikap Sebenar
Kokokan ayam jantan di halaman rumah mengejutkan Syafikah dari tidur. Pagi itu, dia mahu menyediakan sarapan pagi yang enak untuk suami tercinta. Selalunya dalam pagi hari begini, Syafikah kerap terserempak Jamal menghabiskan waktu yang ada di warung Mak Lijah.
Biarlah nanti bila dah berumahtangga ini Jamal minum hasil air tangannya pula. Nanti kalau kerap sangat minum di warung Mak Lijah, habislah reputasi Syafikah sebagai isteri Jamal.
Waktu Adik bangun ke dapur Jamal masih lena diulit mimpi. Beberapa kali Adik mengejutkan suaminya untuk bangun solat Subuh, tapi Jamal tak juga mahunya bangun.
“Isk! Biar betul suami aku ni. Takkan tak bangun solat Subuh kot? Dulu bukan main lagi dakwahnya kat aku?” Adik bersoal jawab dalam hati sendirian.
Malas Adik hendak terus bermain perasaan. Cukuplah malam tadi dia berendam air mata dengan kerenah Jamal yang tidak menghiraukannya.
Biarlah apa pun perbuatan Jamal terhadapnya, Adik mahu menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan sebaik-baiknya.
Semakin Dingin, Syafikah Buntu
“Abang hendak ke mana tu? Tak sarapan dulu? Saya dah siapkan nasi lemak dengan air kopi.” Sopan Adik bertanya.
“Tak apalah Ika, abang minum di warung Mak Lijah hari ini.” Jawab Jamal tanpa menghiraukan perasaan isterinya.
“Ke mana suami kamu hendak pergi pagi-pagi buta tu Adik?” sapa Mak Senah kehairanan.
“Tak tahulah mak…” jawab Adik menyimpan perasaan kecewanya.
“Abang jangan lama-lama keluar ya. Kita perlu bertandang ke rumah mak long dengan mak usu hari ini.” Jerit Adik sebelum kelibat suaminya hilang dari pandangan.
Adik tidak pasti sama ada Jamal mendengar atau tidak jeritannya tadi. Adik semakin pelik dengan perubahan sikap suaminya itu.
Mengapa Jamal dingin sekali dengannya? Bukankah Jamal juga yang berjanji akan sehidup semati bersamanya? Jika tidak masakan dia membenarkan tangan Jamal singgah sehingga ke pipi gebunya itu.
Jika tidak masakan dia membenarkan Jamal menyentuhnya sebelum tiba hari pernikahannya itu.
Pengorbanan Syafikah Bagai Sia-sia
Malangnya Jamal tidak menghargai pengorbanannya. Jamal terlalu dangkal untuk mengerti perasaan seorang isteri ketika ini. Jamal membuatkan fikirannya tidak keruan sejak malam pertama bergelar isteri.
Hari itu hampir seharian Adik menanti Jamal pulang ke rumah. Malangnya kelibat Jamal langsung tidak kelihatan. Puas sudah Adik mendail telefon bimbit suaminya. Sayangnya semua panggilan itu masuk ke dalam peti simpanan suara.
Jiwa adik semakin membara.
Tidak sanggup rasanya dia menanti sebegini lama. Benarlah penantian itu satu penyeksaan dan Adik sedang terkena panahan derita itu.
Menjelang malam barulah, deruan motosikal Jamal kembali kedengaran. Adik menahan perasaan amarahnya. Dia tidak mahu emosinya yang tidak stabil itu semakin mengeruhkan keadaan
“Abang dah makan?” Sapa Adik ringkas.
“Dah. Tak payahlah kamu susah-susah tunggu abang Ika. Pandailah abang jaga diri.” Balas Jamal terus terang.
‘Orang tanya baik-baik. Dia jawap macam itu pula. Ingat aku ini tak ada hati dan perasaankah?’ Adik bermonolog sendiri.
Adik mengalah lagi. Perasaan yang berkecamuk sejak dari pagi tadi tidak dapat dibendung lagi. Benteng kesabarannya semakin menipis.
Malam itu Adik nekad mahukan jawapan segera. Adik mahu tahu punca apakah yang telah mengubah sikap suaminya itu.
Berkonflik Dengan Suami
“Abang, ke mana abang pergi hari ini? Abang tahukan yang kita kena ke rumah Mak Long dan Mak Usu. Ika perlu kenalkan abang dengan mereka.
Mesti Mak Long dan Mak Usu tertanya-tanya kenapa Ika dan abang tak datang hari ini. Entah-entah dituduhnya kita sombong,” terang Adik panjang lebar.
“Itulah keluarga awak ini. Benda-benda kecil macam ini pun hendak dijadikan isu. Aku kahwin dengan engkau ini pun dah cukup baik.” Sergahan Jamal sungguh di luar jangkaan Adik.
“Abang! Kenapa cakap macam itu? Kenapa abang marah-marah ini? Apa salah Ika? Ika cuma beritahu apa yang patut dan tak patut kita buat saja. Kenapa mesti diungkit tentang keturunan Ika?” Adik mempertahankan maruah keluarganya.
“Kalau tak kerana Mak Esah paksa emak aku meminang engkau, tidaklah sampai aku terhegeh-hegeh berkahwin dengan engkau.” Kata Jamal berterus-terang.
“Sampai hati abang cakap macam itu. Ika tak pernah pun paksa abang menikah dengan Ika. Cinta Ika ikhlas untuk abang.” Rayu Syafikah dalam tangisan yang tersekat-sekat. Terkejut benar dia mendengar pengakuan Jamal.
“Aku dah tak boleh hendak berlakon lagilah Ika. Dulu pun aku rapat dengan engkau sebab Sudin cabar aku. Katanya kalau aku dapat tawan hati engkau yang keras macam batu itu, maknanya aku lelaki sejati. Dan dia sanggup beri aku RM1000 kalau kau jadi milik aku. Hari ini seharian aku cari jantan sial itu, mahu tagih janji. Sampai ke petang tak juga dia muncul-muncul.”
Kejamnya Kau Jamal
Setiap kata-kata Jamal itu bagaikan menyiat-nyiat tubuh mugilnya itu. Benarkah tiada perasaan cinta di hati Jamal terhadapnya. Waktu mereka keluar berdua dahulu, tiadakah sekelumit rasa kasih terdetik di hatinya.
Adakah semuanya kerana wang RM1000 ringgit itu. Semurah itukah nilai dirinya.
Ika tidak dapat berfikir lagi. Berkecamuk mindanya, segalanya bagaikan berputar pantas membuatkan dia tidak dapat bernafas dengan jelas. Ruang udara terasa semakin menyempit.
Perlahan-lahan Ika meninggalkan ruang kamar yang semakin lama semakin kecil di pandangannya. Jamal memerhatikan langkah Ika dengan penuh keegoan yang menebal.
Epilog
“Ya Allah, dugaan apakah ini? Sungguh aku cintakan suamiku dengan sepenuh hati. Walaupun kata-katanya malam tadi cukup menyakitkan namun aku tidak dapat menidakkan perasaan kasihku terhadapnya. Aku tahu suamiku itu baik orangnya. Bantulah aku meruntuhkan ego yang bersarang dihatinya.” Adik meraup wajahnya berkali-kali.
Bersambung…
Baca cerpen siri 1 di sini
Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis

nak tahu kesudahan perkahwinan mereka ini. jeng…jeng..jeng…..
ya Allah besar harapan abang Kie ni.. moga ada kekuatan lah nak sambung balik.hahaha