Asalkan tidak syok sendiri I Saya masih lagi di dalam kenderaan comel ini. Setia menanti makanan yang ditempah sampai ke tangan. Alunan lagu-lagu klasik menemankan halwa pendengaran saya yang semakin kesunyian. Ada satu dua penyanyi yang saya cam suaranya. Sememangnya suara Allahyarham Dato’ Ahmad Jais ini unik dan tersendiri. Ada juga suara yang langsung tidak saya kenali. Tak mengapa, lupakan tentang lagu-lagu lama ini. Sekadar intro pembuka bicara.
Sebenarnya saat saya mula menaip, minda saya kosong. Kali ini, tiada gambaran tentang entri yang mahu saya coretkan di ruangan ini. Tidak seperti selalu. Sebelum anganan diluah dalam bentuk tulisan, saya sudah mula berimaginasi. Tentang apa yang mahu saya kongsi. Cerita apa yang mahu saya tulis dan bagaimana pengakhirannya nanti. Tapi dua tiga minggu lalu, minda saya tiba-tiba menjadi begitu ‘stress’ dan tidak tahu hendak mula dari mana.
Pemandangan menarik di Hentian Awan Besar yang sempat saya rakam gambarnya sekitar penghujung Oktober 2013. |
Adakah ini bermakna momentum saya dalam penulisan juga sudah menurun. Akhirnya saya hanya membebel tidak tentu hala. Sayang bukan? Mujurlah ini bukan ruangan berbayar. Jika tidak sudah tentu saya akan jadi orang yang paling rugi kerana telah mendapat tapak jualan yang serba mahal namun disia-siakan.
Lalu saya sendiri jadi bebal kerana asyik tenggelam dalam dunia syok sendiri. Perasan orang suka pada tulisan kita, walhal orang jelik membacanya. Saya masih ingat minggu lalu saya sempat mengikuti kelas bersama idola saya dalam dunia penulisan di Karangkraf, Dato’ Abd Jalil Ali.
Wartawan veteran ini kalau bercerita pasti ada unsur geli-geli dan cerita-cerita ‘seksi’ (khusus untuk mereka yang sudah berumahtangga. Boleh saja orang bujang pasang telinga, asalkan sanggup tahan muka yang merah merona). Namun, di sebalik cerita humor seksi itu terkandung panduan penulisan yang sarat pengajaran.
Asalkan Tidak Syok Sendiri
Antara panduan yang saya masih ingat adalah tentang tidak menulis syok sendiri. Sebelum menulis, perlu tahu audiens yang bakal membaca tulisan kita. Jika pembacanya wanita, bagaimana teks kita itu perlu digarap. Tapi pembaca di Malaysia ini mereka lebih gemar penulisan yang santai dan tidak memenatkan minda.
Penulisan yang terlalu kritis masih kurang mendapat tempat. Kalau ada pun audiensnya tidak ramai tetapi mereka ini eksklusif sifatnya. Sebab itulah, cabaran menjual buku-buku ilmiah lebih berliku berbanding majalah hiburan mahupun kewanitaan. Bagi menawan hati pembaca, terdapat buku-buku panduan, travelog mahupun motivasi menggunakan teknik penulisan santai.
Dalam cerita santai penulis itu, ada panduan dan nasihat berguna. Kadangkala pembaca tidak sedar bahawa mereka sebenarnya sedang dinasihati. Itulah teknik penulisan yang hebat sebenarnya! Menguasai minda bawah sedar pembaca lewat penulisan kita. Fuh! Bilalah saya boleh sampai ke tahap itu.
Menarik!