Cara kekal positif agar emosi bahagia terpancar auranya | Ketika sedang berbual dengan Kak Maizan (Wartawan Cantik dari majalah Keluarga, kini majalah Nona), tiba-tiba saya disapa oleh adik-adik comel dan manja di Island.
Iaitu lokasi menaip para wartawan untuk menyiapkan artikel. Siti Ramlah (wartawan majalah Rasa), Saylo (wartawan majalah Rapi) dan Elin (wartawan majalah Pa n Ma) mahu bertanyakan sesuatu.
Ingatkan mahu bertanya tentang apa, rupa-rupanya ingin tahu kenapa saya sekarang sudah berbeza. Ceria positif kah?
Pada hemat saya yang tidak seberapa ini, saya masih sama seperti dulu. Cuma mungkin sedikit berubah dari segi penampilan.
Lewat bulan Ramadan yang lalu, saya pernah berbual panjang dengan Editor Pengurusan Kanan MW, Kak Nuri Supian.
Antara sembang kami menyentuh tentang pentingnya keterampilan dalam membangkitkan keyakinan dalam diri.
Waktu itu saya sudah mula bau-bau bacang untuk kembali menulis di blog. Dalam pada itu, saya sudah mula mengikuti perkembangan Masayu Ahmad.
Yang kemudiannya, dialah menjadi mentor dan sifu saya dalam dunia online ini. Saya ceritakan padanya apa yang saya hadapi dan hari itu dia mempelawa saya untuk mengikuti kelas online yang dikendalikannya.
Antara Cara Kekal Positif, Fokus Menulis Blog
Sebelum ini, ada juga saya hello-hello padanya. Tapi sekadar bertanya khabar dan tanya serba sedikit apa sebenarnya yang dia usahakan itu.
Sungguh saya tak faham apa kerja si Ayu ini. Sekejap-sekejap update tentang mengajar orang menggunakan blog.
Hish! Saya fikir ada ke orang nak belajar dalam kelas itu. Lagipun, ramai orang dah tahu membuat blog. Tapi saya diamkan saja apa yang terbuku dalam hati.
Tapi hari itu, apabila Ayu tawarkan sekali lagi untuk sertainya tanpa banyak berkira saya bayar sahaja yuran kelas online membuat blog.
Sebolehnya saya cuba kekal positif untuk terima akan perubahan mendatang.
Hari pertama, saya blur. Bukan kecik-kecik anak blurnya. Blur yang teramat sampai asyik kena ‘hentam’ dengan Ayu. Niat mahu belajar, saya sabar dan kikis sedikit demi sedikit benda-benda yang selama ini telah membuatkan saya blur.
Saya kembali fokus berblogging dan faham maksud tersirat di sebalik kelas ini. Dan perubahan pemikiran mula meresap ke seluruh urat nadi.
Sedikit demi sedikit juga saya belajar ilmu baru. Belajar ilmu baru juga menjadikan saya insan yang serba baru dan ia menyeronokkan.
Baca : Mingguan Wanita dari tabloid bertukar majalah
Ditawarkan Mengendalikan Ruangan Fesyen
Minat mahu update entri baru sentiasa berkobar-kobar dalam diri. Sebolehnya mahu berkongsi ilmu dengan siapa sahaja yang sudi membacanya.
Yang tak sudi, dipersilakan remove awal-awal ya.
Terasa semuanya serba berbeza. Kebetulan, Kak Nuri beri kepercayaan untuk saya kendalikan semula ruangan fesyen di majalah Mingguan Wanita.
Di situpun ada titik perubahan menyuntik emosi bahagia dalam diri. Saya masih ingat kata-kata makcik saya waktu kami sembang santai.
Seronok jirannya maklumkan “Pasti pengelola ruangan fesyen ni (sayalah tu) bergaya orangnya kan?”. sambil matanya tak lepas menatap gambar model di ruangan fesyen yang saya kendalikan.
Makcik saya balas, “Kau kena tengok orangnya dulu baru boleh komen,” sambil tersenyum.
Sebab realitinya pengelolanya tidaklah seperti bayangan kawan makcik saya itu.
Masa itu saya biasa-biasa saja. Malas mahu berlawa-lawa. Sebenarnya ini bukan soal lawa atau tidak, tapi bagaimana kita bijak menyuaipadan baju sedia ada di dalam almari.
Dan selepas saya semakin serius dengan penulisan blog dan mengendalikan ruangan fesyen, pengetahuan dan keinginan untuk tampil berbeza mula terdetik di dalam hati.
Apa yang dipelajari sepanjang sesi pengambaran fesyen, saya aplikasikan dalam diri. Terutama bab melilit selendang, mencari baju dan skirt yang sesuai dengan saya dan sebagainya.
Mood Positif Dalam Diri Dirasai Orang Sekeliling
Sesekali bila kebosanan, saya putar-putarkan tudung kawan-kawan sampai jadi satu fesyen tudung yang terkini.
Itu keseronokan yang tidak boleh dibeli di mana-mana. Dalam pada itu, saya turut menyokong produk kawan-kawan.
Beli suplemen kesihatan dan makan. Kononnya biar nampak lebih segar dan sihat. Tapi saya kira, kalau mahu betul-betul sihat bersenamlah selalu. Yang ini saya masih culas!.
Saya ambil Maixara MCS sejak produk itu mula diperkenalkan. Alhamdulillah, ia serasi dengan saya. tak lama kemudian, saya berkenalan pula dengan produk Nour Ain.
Itu produk penjagaan kulit muka. Sudah dekat dua set saya gunakan. Syukur, ia juga serasi dengan saya. Bila saya asyik menyebut produk ini tak bermakna saya ini obses dengan produk. Cuma itulah amalan yang saya gunakan untuk tampil berbeza.
Apabila kita sendiri sudah berubah dan mengekalkan mood positif dalam diri, maka tanpa disedari ia juga memancarkan mood positif kepada orang di sekeliling.
nettyahhiyer.com
Saya kira individu yang sentiasa positif dalam apa jua keadaan adalah Kak Nuri Supian. Saya belum sampai tahap itu. Cara kak Nuri kekal positif itu, tahap ‘raja’.
Baca : Panduan hasilkan penulisan berjiwa
Pancarkan Minda Yang Kekal Positif
Belum pernah satu perkataan pun yang bersifat negatif keluar dari bibirnya. Tapi bab-bab tercarut itu macam sudah sinonim.
Barangkali itulah sedikit aura Pak Samad Ismail yang terlekat dalam diri Kak Nuri.
Ok berbalik pada cerita minda positif, sebab itulah, pentingnya minda positif. Tenaga baiknya mengalir sealiran dalam diri teman-teman yang dekat dengan kita.
Saya kira, pasti ada yang sedang muntah hijau sepanjang membaca entri saya ini.
Entah apalah saya merepek ini kan? Cerita masalahlah, kelaslah, produk cantiklah, apa motif saya sebenarnya? Hendak jual minyakkah? Walaupun dalam hati ada sekelumit perasaan macam itu. Kena jujurkan.
Hakikatnya, entri kali ini saya tujukan khas buat adik-adik comel yang bertanya pada saya tempoh hari; Siti Ramlah, Saylo dan Elin.
Sebabnya saya tahu Siti baca blog saya! Macam seronok saja bila tahu ada orang baca tulisan personal saya ini. Ya, entri saya malam ini memang ada elemen syok sendiri. Agak-agak terjawab tak soalan kamu hari itu?
Sebelum mengakhiri bicara, salam takziah buat Saylo yang baru berhadapan musibah kehilangan ayah tercinta.
Semoga Saylo tabah hadapi ujian Ilahi dan arwah ayahnya ditempatkan di kalangan orang beriman. Al Fatihah.
Disclaimer : Catatan ini bertarikh 12 Disember 2013
Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis
Telegram : https://t.me/NettyAhHiyerTulis
sentiasa tenang dan bersangka baik akan menjadikan kita lebih baik dari hari ke sehari