Kisah adik Muas pernah tersiar dalam majalah Mingguan Wanita. Saya terpanggil untuk berkongsi kisah duka kakak Noorbiha ini dengan pembaca laman blog saya.
Moga ada yang sudi membantu kak Biha merawat anak lelakinya yang saya panggil Adik Muas. No. akaunnya ada saya sertakan di akhir cerita.
Pelajar sekolah menengah itu kecil sahaja tubuhnya. Sekali imbas, susuk badan Muhamad Muas bagaikan pelajar sekolah seusia 12 tahun, sedangkan dia sudahpun memasuki tingkatan 5.
Ibunya, Noorbiha Ahmad, 45 juga tertanya-tanya mengapa anak ketiganya itu tidak mahu membesar tubuhnya. Jauh berbeza daripada adik-beradik yang lain. Walhal anak sulungnya, Muhamad Muzammil, 20, Nursalsabila, 18 malah anak bongsunya, Muhamad Mustaqim, 15 mempunyai fizikal yang besar dan sempurna.
Walaupun bertubuh kecil, Muas sememangnya pelajar yang bijak. Pelajar aliran Sains ini sentiasa menunjukkan prestasi pelajaran yang cemerlang.
Kata ibunya dari kalangan adik-beradik, dialah yang paling bijak dalam keluarga. Tahun lalu, Muas jauh berubah. Prestasinya jatuh merudum. Dia tidak lagi fokus malah sering mengalami sakit kepala.
“Bila dia mengadu pening, saya selalu ingatkan dia mengalami migrain. Bila pening dia akan tidur sahaja. Saya biarkan sahaja tak nak ganggu dia.
Tapi sudah dua kali dia pengsan dan saya bawa ke hospital. Sampai di sana doktor maklumkan dia alami tekanan belajar.
“Selang beberapa bulan, dia alami sakit kepala yang teruk sampai dia hantuk kepala ke dinding. Sekali lagi saya bawa ke hospital dan doktor yang merawat hanya bekalkan ubat tahan sakit.
Tak lama kemudian, dia mengadu yang matanya rabun. Saya pun bawa ke kedai cermin mata. Waktu buat pemeriksaan itulah, pekedai memaklumkan yang ada sesuatu pada mata kirinya,” cerita Noorbiha yang juga seorang ibu tunggal.
Adik Muas Jalani Pemeriksaan
Kali ini, dia tidak mahu membawa anaknya ke hospital yang sama. Sebaliknya menjalani pemeriksaan ke hospital di Ampang. Di situ doktor menjalankan ujian untuk menguji saraf matanya.
Kesan daripada ubat itu, Muas hanya merasai sakit pada mata kanan sedangkan mata kirinya tidak memberi apa-apa respon.
Muas ditahan di wad untuk menjalani ujian imbasan Magnetic Resonance Imaging (MRI) dan hasil daripada ujian itu, doktor mengesahkan yang Muas mengalami mocopolaasisma atau ketumbuhan otak tahap 4.
Saiz itu pula telah sebesar penumbuk dan berada betul-betul di pusat saraf.
Ketika itulah Muas dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut. Tekanan darahnya juga menurun dan seluruh urat sarafnya telah tertutup.
Hampir dua minggu berada di HKL dan doktor juga mengesahkan yang Muas telahpun mengalami buta pada mata sebelah kirinya.
“Sekarang Muas bergantung pada ubat yang dibekalkan oleh hospital. Sebiji pil bernilai RM500 dan dalam tempoh sebulan, dia memerlukan RM12 ribu untuk bekalan ubat-ubatannya. Saya tak tahulah nanti macam mana hendak cari duit kalau dia telah habis sekolah.
“Memandangkan dirinya yang tidak boleh menerima tekanan, Muas direhatkan selama setahun dari menduduki persekolahan. Kata doktor, dia tak boleh terhantuk atau tertekan. Kalau dia pening sedikitpun saya kena cepat-cepat bawa dia pergi hospital.
“Sebab itulah saya tak boleh bekerja sekarang. Kadangkala selang beberapa hari, doktor akan telefon minta saya bawa Muas ke hospital untuk ujian darah dan sebagainya. Di sebabkan itu juga saya tak boleh pergi ke mana-mana,” luahnya lagi.
Pembedahan Anak Yang Mendebarkan
Doktor maklumkan yang anak saya berkemungkinan akan menjalani pembedahan selepas hari raya. Tapi perlu tengok keadaan anaknya itu.
Ketika ini, keadaan dirinya bagaikan anak kecil seusia 10 tahun, bimbang jika dirinya tidak mantap ia akan memberi impak kepada pembedahan dan mengganggu sistem saraf anaknya itu.
Sungguhpun, pembedahan itu hanya mempunyai peratusan 50-50, Noorbiha redha untuk menerima ketentuanNya. Sebagai ibu pastinya dia mengharapkan yang terbaik untuk anaknya. Ujian yang Allah berikan benar-benar menguji kekuatan dirinya sebagai seorang ibu.
“Saya redha dan sentiasa berfikiran terbuka. Kadangkala Allah mahu memberi kita pahala tapi tidak secara ‘direct’. Saya anggap ini ujian dariNya,” ungkapnya sebak.
Bawa Adik Muas Pulang Ke Rumah Dengan Teksi
Setiap kali perlu menghantar Muas ke hospital, Noorbiha akan dihantar oleh bekas suaminya. Apabila pulang barulah dia perlu menaiki teksi. Bukan tidak boleh menaiki bas, bimbang Muas keletihan dan itu akan membuatkan anaknya lebih tertekan.
“Sekarang ini pun, Muas bukannya boleh mengingat dengan sempurna. Kadangkala dia lupa banyak perkara. Itu adalah kesan daripada penyakitnya itu.
Dulu waktu mula-mula doktor maklumkan yang dia menghidap barah otak, dia langsung tak boleh terima. Dia tak mahu makan dan hanya menangis sampai tertidur.
“Doktor pun datang ke katilnya dan pujuk. Akhirnya, cikgunya datang dan memujuknya. Diapun boleh terima ujian Allah,” ceritanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Sri Nanding, Hulu Langat.
“Muas juga hilang selera makan dan mengalami kesukaran untuk membuang air besar. Dulu dia seorang yang bijak matematik, sekarang ini dia semakin keliru dan tak dapat menyelesaikan persoalan matematik yang mudah.
Ada ketikanya juga dia akan hilang ingatan,” sayu suara Noorbiha menceritakan simptom yang dialami anaknya.
Baca : Masih ada harapan mencari MH370
Ibu Tunggal Bergantung Dengan Bantuan
Sememangnya ibu tunggal ini hanya bergantung kepada bantuan yang diberikan oleh pihak Kebajikan Masyarakat. Selebihnya, mengharapkan wang bulanan hasil jahitan yang tidak seberapa.
Dengan penyakit anaknya itu, pastilah dia memerlukan lebih perbelanjaan untuk rawatan dan perjalanan ke hospital.
Ada ketikanya dia menjadi tertekan kerana memikirkan di mana hendak mencari wang setiap bulan. Namun, dia percaya Allah ada untuk orang-orang yang sabar.
Atas dasar itulah, dia sentiasa menitipkan doa agar Allah memberi kemudahan untuknya menempuhi ujian untuk keluarganya itu.
Bagi anda yang mahu membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam bernombor 12-092-02-272983-2 atas nama Noorbiha Binti Ahmad.