air daun pandan

Rebus Air Daun Pandan 20 Minit, Amazing Banyak Khasiat

Daun pandan ini banyak kegunaan untuk masakan malah minuman juga. Kali ini saya mencuba resepi air daun pandan untuk dibuat minuman rebusan yang menyegarkan. Air pandan ini jadi macam pati.

Daripada air pati ini, boleh buat macam-macam jenis air yang diinginkan. Masa merebus itu, harum satu rumah dengan bau pandan. Saya tak rebus dengan halia atau serai, sebab memang nak buat air daun pandan untuk dijadikan minuman yang menyegarkan.

Boleh diminum panas-panas, bagus untuk kesihatan dalaman. Namun, saya memilih untuk disejukkan dalam peti ais. Kebetulan cuaca panas ini, sesuailah jadikan air daun pandan sejuk sebagai penghilang dahaga. Sama enaknya dengan air sirap bandung soda. Bayangkan, dari satu air rebusan daun pandan, boleh ditambah macam-macam lalu menjadi air berasa lain yang enak.

Resepi Air Daun Pandan Simple 

Durasi penyediaan memasak : 20 minit

air daun pandan

Bahan-bahan

  • 10 helai daun pandan (bahagi dua)
  • Air 
  • Gula secukupnya (lagi bagus ada gula batu)
  • Periuk untuk merebus

Cara Buat Air Daun Pandan Sedap

  1. Isi air dalam periuk, masukkan 4 helai daun pandan dalam periuk tadi.
  2. Hidupkan api gas dan rebus selama 10 minit.
  3. Sementara itu, boleh kisar selebihnya 6 helai daun pandan tadi.
  4. Boleh tutup api dalam periuk dan keluarkan daun pandan dari periuk.
  5. Gunakan penapis kain, kalau tak ada guna penapis yang bertutup halus pun boleh. Tapis air pandan kisar, masukkan dalam periuk tadi. 
  6. Setelah selesai, boleh hidupkan api. Masukkan gula ikut citarasa. Kalau guna gula batu lagi bagus untuk manfaat kesihatan sebenarnya. Rebus semula dalam 10 minit dan bolehlah tutup api.
  7. Biarkan sejuk, boleh masukkan dalam bekas air dan simpan dalam peti sejuk.

Tip

  • Air daun pandan ini boleh diminum panas-panas atau disejukkan. 
  • Sedap jika dicampurkan bersama kordial sirap, susu, asam limau mahupun cincau. 
  • Boleh juga gantikan gula pasir dengan gula merah semasa merebus. Rasanya pun akan jadi berbeza nanti.
  • Jadi, semasa merebus sekadar meletakkan gula untuk memberi rasa manis buah saja pada air pandan tu.
air daun pandan

Resepi Air Pandan Susu

Bahan-bahan

  • Air pati pandan
  • Susu pekat
  • Susu cair
  • Selasih atau cincau (tapi saya tak ada kedua-duanya)

Cara Buat Air Pandan Susu Cincau

  1. Masukkan sedikit susu pekat dan susu cair dalam gelas.
  2. Tuang pati air daun pandan dalam gelas tadi.
  3. Masukkan juga selasih dan cincau (jika ada).
  4. Kacau air pandan susu sampai sebati dan boleh letak ais untuk lebih kesegaran.
air daun pandan

Khasiat Daun Pandan Dijadikan Rebusan

Sebagaimana yang dikongsikan di atas, ada bermacam jenis khasiat daun pandan ini. Antaranya,

  1. Air rebusan daun pandan ini boleh mengharumkan badan. Dengan kata mudahnya, boleh menghilangkan bau badan. Baguslah kan untuk dijadikan amalan. Cuma tidaklah hari-hari wajib ambil. Orang kata, ambil dalam jumlah berkadaran.
  2. Air daun pandan ini pun bagus juga untuk menurunkan kadar kolesterol. Baguslah juga untuk orang ada darah tinggi.
  3. Kalau ada masalah selera makan menurun, cubalah minum air pandan. Sebab dikatakan daun pandan ini boleh meningkatkan selera makan. Mungkin bauannya yang harum itu mendorong selera makan.
  4. Jika ada sakit-sakit urat pun bagus untuk kesihatan pesakit yang alami sakit-sakit sebegitu. 

Read More

Leave a Reply

error: Content is protected !!