Ujian 44 Entri

Lama saya tidak menulis di ruangan blog ini. Saya sengaja biarkan untuk melihat sejauhmana ia memberi impak kepada jumlah pengunjung blog saya. Mahu menguji adakah benar teori 44 entri itu dan perkaitannya dengan aliran trafik. Ternyata, teori itu amat bersangkut paut sekali.
Saya melihat dengan jelas aliran trafik yang perlahan dan kurang menarik angkanya apabila saya kurang konsisten apatah lagi istiqamah dalam kerja yang saya lakukan ini. Sebab itulah di dalam kelas online, guru saya, Masayu Ahmad sentiasa menekankan peri pentingnya menyudahkan 44 entri secara konsisten. Ada sebab dan musabab yang manfaatnya akan dirasai oleh pelajar itu sendiri.
 
Anak-anak juga boleh menjadi sumber inspirasi untuk menulis dalam entri ini. Ops! abang Mirza tiada dalam gambar. Barangkali sedang leka bermain ipadnya.
 
Teori tentang konsep saling membantu dalam meningkatkan aliran trafik ini juga turut saya perhatikan rentaknya. Jika kita bergerak secara individu, kekuatan itu tidak seperti kita bergerak bersama berjemaah. Sekali lagi, itulah yang ditekankan oleh guru saya. Hari-hari beliau berteriak di dalam grup akademik online ini tentang manfaat berganding bahu bersama 130 buah blog yang bertapak di dalam kelas ini.
 
Saya kira, manfaat itu juga sedang saya alami ketika ini. Apabila saya posting sendiri-sendiri entri saya ini, pengunjungnya tidak selaju posting yang dibantu oleh jemaah yang lain. Aliran trafik kisah ‘Lenggong Kami Datang’ juga sedang bergerak memotong barisan entri ‘Berani Gagal’. Mengapa? kerana ada bantuan hebahan dari sifu untuk entri ‘Lenggong Kami Datang’. Barangkali ada yang tertanya-tanya mengapa pentingnya gabungan blog ini. Selain tujuan jana wang, apa lagi yang kami harapkan.
 
Trek cantik sebegini sebenarnya sedang dibina di dalam kelas online penulisan ini. Dan yang paling unik sekali, di dalam gabungan ini terdapat banyak blog dari kalangan individu yang mahir dan pakar dalam bidangnya. Gabungan ini jugalah yang banyak membantu saya mendapatkan maklumat terbaik untuk kerja harian saya. 

Ujian 44 Entri

Dalam dunia serba pantas dan sentiasa mahukan info yang segar, saya amat memerlukan perkara-perkara seperti ini. Supaya, saya sentiasa memperoleh info terkini jika mahu tahu tentang sesuatu perkara; dunia penjagaan anak-anak, menghias kediaman, fesyen terkini dan hatta cerita semasa sekalipun. Setiap penulis kelas online ini cukup unik dan tersendiri. 
 
Oh! mengapa ya pagi-pagi buta begini saya mengulas tentang kelas online? Banyak sekali perkara yang terjadi kebelakangan ini. Tapi mood saya pagi ini mahu mengulas kelas pula. Barangkali saya mula melihat bagaimana hebatnya kuasa penulisan dalam menjana pendapatan tetap mahupun sampingan. Baik untuk penulis bebas mahupun yang baru berjinak-jinak dalam dunia penulisan.
 
Modalnya hanya idea dan sebuah komputer riba atau meja hatta tablet mahupun android. Cuma saya lebih senang dengan cik ‘lappy kecik’ saya ini. Walau tiada cerita untuk dikarang, bila sudah mengadapnya bermacam-macam perkara meluncur laju di hujung jari.
 
Berbekalkan modal itu serta kemahiran menulis yang diasah perlahan demi perlahan, bertahun-tahun lamanya akhirnya ia mampu memberikan satu hasil yang memberangsangkan. Dalam keadaan ekonomi yang ‘biasa-biasa’ sekarang ini, baiklah kita mencari satu pekerjaan yang kurang modalnya, namun untungnya nampak di depan mata. Anda boleh bermula dengan menulis cerpen dahulu. Menulis blog juga ada manfaatnya. Cuma perlu belajar untuk ketahui apakah manfaat itu.
 
Banyak penerbit akhbar mahupun majalah menyediakan ruang untuk penulisan cerpen. Penulisan rencana juga begitu dialu-alukan. Cuma untuk menjadi penulis rencana yang mahir perlu belajar dan hadiri kelas. Pembacaan dari bahan bacaan yang berkualiti juga amat penting sekali. Supaya rencana yang dihasilkan tidak longgar isinya.
 
Lebih menarik, jika ia disertai dengan sumber sebagai bahan bukti kukuh yang meningkatkan kredibiliti dalam penulisan. Mahu menghasilkan penulisan yang ada kredibiliti bukan sekadar menulis kosong di atas kertas. Anda juga perlu belajar menjadi seorang penulis yang miliki ciri-ciri itu.

Jujur Ketika Menulis

 
Bagaimana caranya; sumber haruslah sahih. Berita atau rencana tidak mempunya unsur penipuan. Jujurlah ketika menulis. Tapi ada ketikanya, penulis memang menulis dengan jujur. Cuma sumber pula yang menipu. Dalam kes sebegini, penulis perlu miliki ‘six sense’ atau deria keenam untuk membolehkan dirinya mengesan sumber itu palsu atau sengaja menggunakan penulis untuk mengisi kepentingan peribadi. Dalam hal ini, pengalaman banyak mengajar penulis mendapatkan deria keenam itu. Jika bukti sudah ada di depan mata, janganlah pula diteruskan hubungan sebegitu. Padahnya penulis juga yang akan rasa nanti. 
 
Mahu menjadi penulis yang mahir, anda sebenarnya memerlukan seorang mentor. Saya pernah cerita tentang pentingnya miliki mentor sebelum ini. Betapa pengaruh mentor itu kepada diri seorang penulis. Dalam bab berniaga juga begitu. Seseorang memerlukan mentor untuk terus berjaya dan meniru acuan mentornya itu.
 
Dalam industri MLM, mentor amat penting sekali. Mentor mencipta formula kejayaan dan hasilnya dikongsi bersama anak-anak buah yang lain. Jangan pula tersalah pilih mentor, kelak merana badan. Dah alang-alang saya tersebut cerita MLM biarlah saya tegaskan di sini ramai yang kurang faham tentang konsep MLM itu. Banyak yang beranggapan negatif malah ada yang mengaitkannya dengan skim piramid. MLM adalah perniagaan yang sah dan ada produk jualan. Usahawan MLM bukanlah usahawan yang mengaut keuntungan di atas derita orang lain. Berbeza dengan skim piramid yang sama sekali dilarang perniagaannya di negara ini.
 
Eh… eh… jangan pula nanti kata saya berniaga MLM? Bukan begitu, sejak menulis di meja Mingguan Wanita saya sering bertemu usahawan MLM dan serba sedikit saya faham bagaimana konsep perniagaan itu. Barangkali ada yang tertipu itu kerana mereka kurang menyelidik jenis dan konsep perniagaan yang ditawarkan. Cari yang benar-benar sesuai barulah boleh offer diri. 
Kelas online penulisan blog ini juga begitu. Jika kurang pasti bertanyalah sampai anda benar-benar faham mengenainya. Semoga penjelasan ringkas saya ini memberi kebaikan untuk semua.

Leave a Reply

error: Content is protected !!