menulis-dari-hati

Menulis Dari Hati Biar Sampai Ke Jiwa Pembaca

Menulis dari hati biar sampai ke jiwa pembaca | Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah… Mengapa saya ucapkan berkali-kali perkataan ‘Segala Puji Bagi Allah Tuhan Semesta Alam’ ini?

Ya, saya bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan kepada saya. Selama saya bernafas di muka bumi ini, betapa saya telah mensia-siakan waktu yang ada.
 
Seharusnya saya bersyukur kerana dikurniakan tubuh badan yang sihat, akal yang waras, minda yang mampu berkata-kata dalam bentuk penulisan malah peluang untuk bernafas pada ketika ini.

Saya juga bersyukur kerana di kelilingi insan yang sentiasa memudahkan urusan saya, mak abah, adik-adik, suami, anak-anak, ketua-ketua yang memahami, teman-teman yang sudi membantu hatta tikus-tikus yang tidak lagi mengganggu kediaman saya.
 
Dalam sehari berapa kali kita bersyukur. Adakah dalam solat lima waktu, solat sunat (jika ada kekuatan untuk melakukannya) atau dalam bacaan doa harian kita. Cukupkah semua itu? Belum lagi wahai Netty. Banyak lagi yang perlu dipelajari dalam memahami maksud bersyukur.

Konsep Syukur

Hm, puitis terlebih malam ini. Itu tazkirah untuk diri sendiri dan juga siapa sahaja yang sudi membaca blog ini. Kerana konsep bersyukur itu cukup unik sekali.

Bersyukur tidak menjadikan kita lemah sebaliknya semakin kuat membina kekuatan spiritual dalaman. Energinya cukup besar sehingga kita sendiri tidak sedar gelombang kesyukuran itu (andai berjaya dirasai dalam diri) ia mampu sampai kepada orang yang dekat dengan kita. 
 
Beberapa hari lalu, saya berkesempatan berbual-bual dengan beberapa orang kenalan yang mahu tahu lebih lanjut tentang kelas asas blog dan penulisan.

Antara yang menarik perhatian apabila mereka berkongsi rasa tentang ‘tiada masa untuk menulis’. 
 
Sungguh saya tak nafikan, itulah yang kadangkala saya alami. Memanglah kerjaya saya sebagai penulis, tetapi apa yang saya tulis adalah perkongsian saya tentang orang lain.

Menulis Dari Hati

Saya tidak menulis tentang apa yang saya mahu atau apa yang saya ingin membebel ikut suka. Tapi di ruangan yang tidak terbatas ini saya boleh menulis tentang apa saja.

Hatta soal saya tidak dapat menetapkan temujanji dengan si polan-si polan pun boleh saya khabarkan di ruangan ini.
 
Tapi perlukah begitu? Saya kira jika ia memberi manfaat kepada orang lain, tidak salah berkongsi rasa hati. Menulis itu sebenarnya memerlukan ‘passion’, minat yang mendalam dan keinginan untuk mengubah diri sendiri.

Pertama kali saya masuk ke kelas asas blog bersama Masayu Ahmad, saya jadi tersentap. Berkali-kali beliau maklumkan betapa tepunya saya. Oh!
 
Saya muhasabah diri, mencari kelemahan dan mengumpul kekuatan di sebalik maksud kata-kata ‘saya sudah tepu’ itu. Hampir sebulan saya gigihkan diri belajar untuk keluar dari kepompong keselesaan.

Jalannya masih jauh dan dalam pada saya mencipta alasan tiada masa untuk menulis itu, akhirnya Allah beri kekuatan kepada saya untuk menulis dan terus menulis untuk entri di blog ini. Walaupun tidak setiap malam, sekurang-kurangnya selepas dua malam pasti saya update perkongsian yang baru.
 
Mengapa perlu rajin menulis entri? Ini juga sebenarnya sebahagian daripada latihan membina asas penulisan yang baik.

Konsepnya samalah mengasah pisau yang tumpul, semakin kerap diasah semakin tajamlah ia. Besi pisau tidak akan berkurang, malah semakin tajam dan pantas digunakan untuk memotong cili besar. (Sebabnya, sukar hendak memotong cili besar menggunakan pisau tumpul. Tak percaya, cubalah!).

menulis-dari hati

Entri Menulis Dari Hati

Bagaimana mahu mencari idea menulis entri, menulis dari hati? Tentu sukar jika tidak biasa. Sebab itu perlu jadikan menulis satu kebiasaan.

Prosesnya akan menjadi mudah. Bagaimana jika sudah berusaha, idea tetap tidak mahu keluar? Maka, bermulalah menulis perkara yang anda suka.

Jika suka melihat bunga, ceritalah tentang koleksi bunga anda. Jika gemarkan kucing, berkongsilah rasa hati keletah kucing anda. Masih tidak juga keluar idea itu?

Baiklah, ceritalah tentang diri anda. Namun, bukan semua orang mampu menulis tentang dirinya. Baik keburukan mahupun kelebihan, mereka tidak berdaya. Jadi tiada paksaan dalam penulisan.
 
Menghasilkan penulisan yang berkesan juga ada tipnya. Pertama, menulislah dari hati. Tapi perlu berhati-hati, terlebih emosi boleh membuatkan perkongsian menjadi bosan.

Macam entri kali ini, saya kira sedikit membosankan. Semacam sedikit ilmiah dan lari dari ruang lingkup gaya penulisan harian saya.
 
Penulisan yang baik apabila mampu mencipta konsistensi dari awal sampai akhir. Yang mana, pembaca seronok mahu meneruskan pembacaannya bermula dari intro atau pengenalan sampailah ke bahagian penutup.

Jika boleh menggabung dan menyimpulkan dengan baik intro dan isi, penceritaan akan jadi lebih bermakna. Tapi, tidak semua orang mampu melakukannya. 

Baca : Berani gagal tanda orang berjaya dalam hidupnya

Bahan Bacaan Menyuntik Idea

Saya pernah terbaca sebuah cerpen yang ditulis oleh penulis tersohor Ummuhani Abu Hasan berkenaan seorang ibu yang dahagakan kasih anak-anak yang hebat kerjayanya.

Beliau  menggunakan medium facebook untuk meluahkan emosi rindunya itu. Namun, tiada seorang pun daripada anak-anaknya tahu bahawa wanita misteri yang berchit chat dengan mereka adalah ibu kandung sendiri.

Pembaca juga tidak mengetahuinya, sampailah di penghujung cerita barulah penulis membuka rahsia. Klimaks penceritaannya cukup menarik sekali.
 
Saya berharap suatu hari nanti saya juga mampu menulis dan diberikan ilham seperti itu. Indah dan mengasyikkan kala berkongsi rasa hati. Amin.
 
Mahu menguasai ilmu penulisan perlukan latihan. Jadi berlatihlah menulis di dalam blog dahulu. Tiada siapa yang akan menghalang anda atau menentukan gaya penulisan anda. Andalah tuan tanahnya dan andalah yang menentukannya.

Teruslah menulis perkara yang baik-baik agar tulisan itu mampu memberi manfaat kepada generasi di masa hadapan. 
 
Penulis juga membawa satu tanggungjawab sosial yang besar kepada masyarakat. Dan inilah yang telah diajar kepada saya sejak dari sekolah jurnalism lagi. Mana lagi kalau bukan UiTM Di Hatiku! Opss… maaf kawan-kawan USM.

Disclaimer : Ini catatan bertarikh 9 Oktober 2013

Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis

8 Comments

  1. Naroswati Naib October 10, 2013
  2. fasyafazida October 11, 2013
  3. Sii Nurul February 28, 2022
    • nettyahhiyer April 16, 2022
  4. mamapp February 28, 2022
  5. Fieza Sani March 2, 2022
    • nettyahhiyer April 16, 2022

Leave a Reply

error: Content is protected !!