Nurul Syuhada hamil | Malam kian larut, anak-anak dan en suami masing-masing sudah lama lena diulit mimpi. Itupun kalau mimpi sudi mengulit kalian.
Saya pula perlu gigihkan diri ‘update’ blog ini. Kalau tidak sia-sia sahaja memahamkan ‘update’ entri 40 hari tanpa culas’ sebagai panduan tingkatkan trafik blog.
Pengambaran saya bersama Nurul Syuhada sudah lama berlalu. Kali ini saya promosi saja keluarannya yang masih panas lagi di pasaran.
Cepatlah dapatkan sebelum edisi ini kehabisan di pasaran. Apa yang menarik adalah bagaimana tugasan ilmiahnya membantu proses kehamilan Nurul, petua Nurul pikat hati mentua dan dedikasi Nurul sebagai duta sebuah badan biasiswa.
Di sini saya selitkan artikel edisi ‘uncut’. Ada gambar Nurul Syuhada yang sudah berbadan dua, di majalah Mingguan Wanita di Pesta Buku Antarabangsa yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur dari 24 April – 4 Mei ini.
Kata orang Korea, “Palli… Palli…”
Cerita Muka Depan, Nurul Syuhada Hamil
Penantian Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain, 30 dan suami, Raja Amir Syah Raja Azwa, 32 mahu menimang cahayamata telah Allah makbulkan apabila pengacara cantik manis ini disahkan hamil tiga bulan.
Pagi itu, Nurul hadir ke studio Kumpulan Media Karangkraf dengan riak wajah yang berseri-seri. Tanda hatinya, sedang menanti kehadiran ‘bunga hati’ yang telah lama diidamkan sejak hampir lima tahun bergelar seorang isteri.
Siapa yang tidak terasa apabila diri dibanding-bandingkan dengan wanita-wanita lain yang telah melalui proses kehamilan dan kelahiran. Nurul Syuhada juga pernah melalui situasi yang sama. Sayu hatinya setiap kali ada yang bertanya tentang perihal ‘anak’. Yang mana semua itu, bukan di bawah kawalannya. Bukankah rezeki, jodoh mahupun persoalan anak itu adalah ketentuanNya.
“Dalam tempoh setahun perkahwinan, saya dan suami masih memikirkan biarlah kami bertenang dahulu. Lagipun, masih awal lagi. Masuk tahun kedua, kami mula merasakan sebaik-baiknya membuat pemeriksaan kesuburan. Dalam tempoh itulah saya mula membuat pemeriksaan dalam masa yang sama menjaga pemakanan dan bersenam kerana ia ada kaitan dengan kesuburan seseorang.
“Apabila ada orang sekeliling mula bertanya tentang ‘tidak mahukah menimang cahayamata’, saya jadi tertekan. Apabila dibanding-bandingkan saya lebih merasai tekanannya. Walhal semua itu kerja tuhan. Sebelum doktor sahkan saya buat juga ujian kehamilan di rumah.
Nurul Syuhada Disahkan Mengandung
Masa mula-mula tengok keputusan itu rasa tak percaya. Betul ke? Saya terus tertanya-tanya sampailah saya membuat pemeriksaan dan doktor sahkan yang saya benar-benar mengandung,” ceritanya yang kini sudahkan memasuki trimester yang kedua.
Cerita kehamilan Nurul sebenarnya bermula sejak setahun yang lalu. Selepas menamatkan perkhidmatan dengan stesyen televisyen terkemuka, Nurul langsung menumpukan sepenuh perhatiannya terhadap pengajian Sarjana di Universiti Malaya dalam bidang Teknologi Sains dan Kelestarian.
Setahun yang lalu, Nurul membuat kajian dan pembentangan untuk salah satu kertas pengajiannya. Ketika itu juga dirinya sedang mencari tajuk untuk kajian kertas Sarjananya dan dalam masa yang sama, Nurul sedang melalui proses pemeriksaan kesuburan. Tiba-tiba timbul pemerhatian di dalam diri berkaitan pasangan muda yang sukar memperoleh cahayamata. Secara taboo, masyarakat sering beranggapan apabila terjadinya masalah kesuburan, mereka mula menuding jari pada wanita. Walhal ianya hanyalah satu andaian.
Temuramah Pasangan Muda Mahu Hamil
“Lalu saya berbincang dengan penyelia untuk membuat kertas kajian Sarjana berkaitan ‘Kesedaran awam tentang kesuburan’. Apatah lagi, ketika ini negara kita sedang berhadapan kadar kelahiran yang menurun. Di Kuala Lumpur sahaja peratusannya menurun sebanyak 1.4 peratus. Saya mula melihat ini sebagai satu isu yang menarik dan mencabar. Dari situlah saya mula bekerjasama dengan Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan badan-badan berkaitan.
“Saya juga perlu menemuramah beberapa pasangan baik muda mahupun berusia. Ada wanita berusia 40-an yang saya temui cukup teruja mahu menimang cahayamata. Dia sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk mengandung. Ternyata lebih mudah berbual dengan wanita-wanita yang berhadapan dengan masalah kesuburan ini kerana saya juga memahami apa yang mereka alami. Malah kami juga ada komuniti untuk meluahkan pandangan, pendapat malah sokongan sesama ahli,” luahnya yang kelihatan cantik dirias jurusolek terkemuka, Saidatulnisa.
Sedikit demi sedikit, kajian dan penyelidikan yang dilakukan itu telah mengubah konsepnya berfikir. Jika sebelum ini, Nurul akan terasa hati apabila ada pandangan negatif dilemparkan kepadanya. Kini, setelah menyelidik, memahami dan menyelami jiwa-jiwa wanita ini, Nurul semakin positif.
Fikirnya setiap komen negatif itu bermakna individu yang bertanya itu belum memahami. Tiada lagi istilah ‘makan dalam’ terhadap kata-kata negatif yang diterima. Rupa-rupanya, fikiran positif itu juga turut memberi kesan yang baik kepada dirinya terutama dalam soal rezeki cahaya mata.
Baca : Mengejar sutradara Mamat Khalid demi pengisian majalah
Telur dadar tawan hati ibu mentua
Walaupun ketika ini jadualnya sibuk dengan pengajian, Nurul masih mengisi waktu untuknya bersiaran dalam rancangan Malaysia Hari Ini. Kesibukan ternyata tidak menghalang dirinya menjadi isteri yang setia kepada suami malah menantu yang menghormati mentuanya.
“Sekarang ini Nurul tinggal bersama ibu mentua. Dia wanita Inggeris yang telah memeluk agama Islam. Selepas ayah mentua meninggal dunia, ibu ambil keputusan menetap di Malaysia kerana mahu anak-anaknya terdedah dengan suasana Islam masyarakat di sini.
“Yang menarik tentangnya, dia tidak meminta saya melakukan sesuatu yang boleh menarik perhatiannya. Katanya, biarlah saya jadi diri saya sendiri. Kalau saya masak telur dadar sekalipun, ibu mentua saya cukup menggemarinya. Katanya sedap sekali.
“Setiap pagi dia akan ketuk pintu bilik kami untuk kami solat jemaah bersama-sama. Setiap hari Ahad pula, ibu akan adakan kelas pengajian tafsir al-Quran di rumahnya. Kelas ini terbuka kepada kenalannya dan ada juga sukarelawan dari masjid negara datang untuk menimba pengetahuan agama di kediamannya,” tutur Nurul lagi.
Nurul juga membahagikan waktu untuknya pulang ke rumah ibunya di Shah Alam. Selalunya dia akan mengambil salah satu dari hari bekerja itu untuk menziarahi ibu.
Sambung Belajar Di Universiti
Keputusannya menyambung pengajian di universiti juga sebenarnya membuka peluang kepada Nurul untuk aktif bersama kerja-kerja sukarela dengan ‘Program Biasiswa MyBrain15’. Dirinya dilantik menjadi ikon ‘My Master’ yang akan mempromosikan program biasiswa yang ditawarkan. Yang mana, dalam kerja-kerja sukarela ini Nurul perlu menjelajah dari satu universiti ke satu universiti yang lain untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang program biasiswa itu.
“Ianya satu program yang bagus kerana bukan setakat menawarkan biasiswa, malah turut membolehkan peserta mengikuti kursus jangka pendek mengikut kursus yang ditawarkan. Penglibatan saya ini sekurang-kurangnya boleh membuka minda para pelajar sekolah tentang kepentingan belajar ke peringkat yang lebih tinggi.
“Misalnya di negara luar, walaupun mereka telah bekerja. Para pekerjanya walaupun yang telah bertaraf profesianal tetap meluangkan sedikit waktu yang mereka ada untuk mendalami ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam kursus jangka pendek. Dan hal inilah yang cuba diwar-warkan oleh program ini,” ulasnya bersungguh-sunggh.
Walaupun sentiasa sibuk dengan kerja-kerja pengacaraan, penyelidikan dan sukarelawan, Nurul sebenarnya cukup mementingkan penjagaan kesihatan dan kecantikan.
Baca : Aziz Sattar tak sunyi disapa orang sekeliling
Berbadan Dua, Perlu Menjaga Kesihatan
Pastinya dalam keadaan berbadan dua ini, dirinya perlu menjaga kesihatan diri dengan lebih baik lagi. Selain mengamalkan pemakanan tambahan yang dibekalkan oleh doktor. Nurul juga sentiasa ingat pesanan ibunya agar mengambil susu. Walaupun hakikatnya, dia bukanlah seorang yang gemar meminum susu.
“Andai saya tidak bergelar pengacara, saya sentiasa menyimpan impian untuk menjadi pensayarah. Andai impian ini jadi kenyataan, saya lebih senang memilih universiti tempatan yang berteraskan Islam untuk membolehkan saya mengajar para mahasiswa di negara ini.
“Sebenarnya niat untuk menyambung pengajian sudah terdetik lama. Tapi saya pendamkan dahulu memandangkan ketika itu sibuk dengan kerjaya pengacaraan. Saya fikir, sempat lagi ini memandangkan usia saya masih lagi muda. Namun, tahun 2012 saya fikir menyambung pengajian adalah yang terbaik untuk diri saya dan tahun itulah saya melepaskan jawatan saya sebagai pengacara,” tuturnya yang turut mengakui suaminya seorang yang bertanggungjawab dan begitu memahami dirinya.
Penyelaras dan teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Tuan Azman Tuan Muda
Solekan: Saidatulnisa
Busana: Butik Saidatulnisa, 21, Jalan Plumbum P7/P, Seksyen 7 Shah Alam
Tudung: Ariani Galeri Skaf & Selendang, No. 135 & 137, Jalan Bunus Off Jalan Masjid India, Kuala Lumpur
Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis
Telegram : https://t.me/NettyAhHiyerTulis