Deadline Setiap Minggu, Mencabarnya Jadi Wartawan Mingguan Wanita

Posting ini saya tulis tahun 2015, waktu itu masih lagi menjadi wartawan di majalah Mingguan Wanita. Berdepan deadline secara mingguan. Terkejar sana, terkejar sini. Bila kenang balik, rasa rindu ada.. lega ada. Yang penting, pengalaman itu mematangkan.

Sudah dua malam saya beremosi. Banyak berfikir tentang masa depan dan apa yang saya cari sebenarnya selepas ini. Memandang anak-anak pun boleh buat hati jadi sayu.
 
Peluk Zarif ketat-ketat sambil minta maaf dengan dia sebab banyak abaikan Zarif dan kurang berikan kasih sayang padanya. Barangkali sebab itulah, Zarif sedikit ‘keras’ sifatnya. Rupa-rupanya, Mirza juga begitu. Dalam diam memprotes ibu.
 
Jadi, sejak akhir-akhir ini saya lebih banyak berlembut dan berikan anak-anak pelukan. 

Mengejar Deadline Mingguan Yang Mencabar

Jauh beza daripada saya yang dulu. Garang tak bertempat dan sesuka hati marah anak-anak. Mungkin juga saya stress dengan kerjaya saya waktu itu.
 
Benar menjadi wartawan Mingguan Wanita adalah pekerjaan paling mencabar sekali. Dengan deadline setiap minggu dan perlu menyiapkan sekurang-kurangnya 8 artikel berbentuk temubual sememangnya memeritkan jiwa.
 
Jangan ada anak-anak yang tersilap kata, rotan habuan mereka. Owh! Saya banyak tersilap langkah.

 
 

Deadline Setiap Minggu, Mencabarnya Jadi Wartawan Mingguan Wanita
Gambar ini tak ada kena mengena dengan entri saya. Emak dan Qaseh waktu menghantar adik lelaki saya, Yanto bernikah dengan pasangannya, Erin. Dah selamat pun kedua-duanya. Moga berbahagia till Jannah ya adik-adikku.

Sibuk Sekalipun, Memasak Untuk Anak Satu Kemestian

Bertukar majalah bulanan membuatkan saya lebih mesra anak-anak. Setiap kali pulang ke rumah, saya ada masa untuk memasak. Walaupun balik jam 8 malam, anak-anak setia menanti dan kami akan mula makan jam 9 lebih.
 
Kadangkala anak-anak sudah makan pun di rumah nenek, tapi mereka suka jika dapat makan air tangan ibu.
 
Kata Mirza, “ibu masak apa pun sedap.”.
 
Ibu, kembang semangkuk. Rasa tak jejak di bumi. 
 
Rupa-rupanya, bila hati ibu tenang dan lembut, jiwa anak-anak pun akan terkesan sama. Mereka lebih relaks dan mendengar kata. 
 
Jadi, apa sebenarnya yang mahu dikongsi? Cerita tentang seorang ibu yang entah apa-apa menjadi lebih apa-apa.
 
Memasak untuk anak-anak lebih-lebih lagi pada malam hari tak boleh ambil masa yang lama. Balik rumah sinsing lengan terus sediakan lauk mudah sedia yang tak perlu berlama-lama. 
 
Janji anak dapat makan dengan senang hati. Telur dadar dengan kicap pun sedap jugakan. Yang penting tahu bagaimana hendak memasak cepat.
 
Caranya gunakan bahan paling ringkas dan tak cerewet. Kadangkala cuma bawang merah dan cili pun kalau kena gayanya boleh jadikan masakan tu enak. 
 
Paling penting adalah air tangan ibu. Memasaklah untuk anak-anak supaya kasih kita tumpah di jiwa mereka.

Leave a Comment